(Artikel ini pernah tersiar di Berita Minggu pada 26 Julai 2004)
SAMBUTAN bulan kemerdekaan negara yang ke-47 bakal menjelang tiba. Umumnya hampir lima dekad kita bebas daripada belenggu penjajahan pelbagai kuasa asing selama lebih 450 tahun.
Boleh dikatakan cukup banyak kemajuan dinikmati oleh bangsa merdeka ini malah ia satu pencapaian yang jika mahu dibandingkan dengan negara bekas tanah jajahan lain, pembangunan kita cukup jauh membanggakan.
Dengan rasa rendah hati dan asas nasionalisme tulenlah, pimpinan terdahulu seperti Datuk Onn Jaafar meredah jauh pemikiran terkehadapan dengan keupayaan menggabungkan 41 persatuan Melayu yang sebelumnya bersifat setempat, bersatu membentuk sebuah pertubuhan Melayu yang dominan, punyai satu matlamat dan harapan.
Dengan slogan Hidup Melayu, legasi bangsa, kedaulatan raja dan kemurnian agama berupaya dipertahankan dengan penerimaan British untuk menggugurkan `Malayan Union'. Ia adalah suatu usaha licik penjajah untuk cuba menukar status Tanah Melayu dari negeri naungan kepada negeri jajahan penuh.
Almarhum Tengku Abdul Rahman, dengan keikhlasan jiwa dan perjuangan murninya, atas nama kecintaan pada bangsa dan negara bertuah ini, sanggup mengusahakan kemerdekaan Tanah Melayu.
Dengan berkorban wang ringgit, iaitu menjual deretan rumah kedainya di Pulau Pinang, beliau turun ke bawah meninggalkan status mulianya sebagai anak raja untuk bersama-sama rakyat bawahan berjuang memerdekakan negara ini dalam suatu kaedah perundingan yang tanpa setitik pun menitiskandarah, agar negara dan bangsa ini tidak lagi berjiwa hamba dan mampu membentuk konsep pentadbiran kendiri.
Dengan tunjang nasionalisme bangsa yang mulia jugalah, pimpinan seterusnya Tun Abdul Razak, merencana Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.
Ia juga mematangkan dan menyuntik semangat perkasa bangsa agar mereka mampu duduk sama rendah dan berdiri lebih tinggi dari orang lain. Ibarat kata-kata keramat beliau: "Apalah ertinya kemerdekaan jika kemiskinan, kemunduran dan perpecahan melanda negara, kemerdekaan akan lebih bermakna jika diisi dengan pembangunan, kemajuan dan perpaduan di kalangan rakyat".
Allahyarham Tun Hussein meneruskan legasi itu dengan merencana sekian banyak institusi bagi mengukuh, membantu bangsa Melayu dan Bumiputera agar terus mendapat agihan kekayaan negara.
Dengan ketelusan hati budi beliaulah Petronas, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN) dan begitu banyak perbadanan diwujudkan bagi dijadikan tongkat untuk membimbing bangsa Melayu yang lesu, dan dinafikan hak mereka selama dijajah.
Perdana Menteri seterusnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan idealisme dan pandangan jauh melangkaui batas pemikiran bangsanya, kemudian melakukan `futuristic thinking'. Beliau menganalisis dan berusaha mengubati penyakit rendah diri bangsa Melayu dengan melakukan banyak `kejutan, perubahan struktur dan prosedur bagi menjadikan bangsa Melayu yang sinonim dengan budaya feudalnya beralih menjadi kuasa kapitalis dan mampu menyesuaikan diri dengan apa yang dikatakan sebagai modenisasi dan perindustrian.
Mereka inilah antara nasionalis bangsa tulen, berkorban diri, jiwa, tenaga, masa , idea dan wang ringgit hanya atas satu matlamat, mahu melihat sebuah bangsa yang bernama Melayu, tonggak kekuasaan politik dan sumber kestabilan di Malaysia mampu terus hidup dengan bermaruah.
Persoalannya, berapa ramai daripada kalangan bangsa kita pada era ini, mampu mengingati, menterjemahkan panduan dan legasi yang ditinggalkan oleh patriot negara itu dalam membina kehidupan seharian mereka.
Akibat kemerdekaan yang diperoleh secara mudah, dianugerahkan British dalam `dulang perak' menjadikan fikiran, pegangan kekuatan bangsa moden kini semakin pudar.
Malah kemuncak kepada kelemahan peradaban dan kekuatan nasionalis dalam diri bangsa di negara ini semakin diancam dengan gelombang modenisasi yang bercelaru arah tujuannya.
Ambil sebagai contoh, sistem pendidikan yang ada, hanya mahu mengajak insan pelajar mengejar tuntutan kecemerlangan akademik, dijanjikan dengan status elit, dan melatih mereka untuk melihat pekerjaan kolar putih sebagai matlamat terakhir yang dikira boleh membahagiakan hidup.
Justeru, bidang pekerjaan lain, seperti pertanian, pembinaan, perkhidmatan pembantu rumah dilihat jijik sehingga mengundang hampir dua juta rakyat asing bekerja di negara ini. Pendidikan juga tidak lagi diterjemah sebagai usaha mendidik, melatih masyarakat untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.
Penuntut dan graduan universiti pula dijanjikan dengan retorik kosong, bahawa universiti adalah jaminan mereka bakal bergelar elit menengah bangsa, yang boleh mencipta imej dan status mulia di kalangan masyarakat.
Lantaran itu apabila janji retorik dan impian ini gagal dikotakan maka akhirnya sistem yang telah melahirkan ribuan teknokrat, pimpinan korporat, pengusaha dan pekerja mahir akhirnya menjadi mangsa kononnya gagal melahirkan graduan berkualiti.
Yang disalahkan kegagalan menguasai bahasa Inggeris, kurang daya saing, personaliti kurang menarik selain kurang kemahiran berkomunikasi.
Ironinya, falsafah pendidikan yang bermatlamat untuk mengembangkan potensi pemikiran insan dan mewujudkan individu seimbang, rohani dan jasmani tidak lagi dipedulikan.
Masyarakat yang kini tenggelam dengan apa yang dikatakan modenisasi, revolusi ICT dan globalisasi lebih cenderung dengan alam benda dan mentakrifkan semua isu, masalah dan punca penyelesaiannya hanya dari sudut kebendaan semata-mata.
Sama seperti fahaman ajaran Karl Marx dan Engel yang melihat pertentangan masyarakat hanya berkisar pada dua kelompok golongan di antara kaum pemodal dan pekerja.
Sedangkan sejarah sebenarnya adalah pertentangan antara yang hak dan batil, dan kemuliaan bertentang dengan kehinaan insan serta antara kebenaran dan kepalsuan. Nasionalisme itu adalah kebenaran, dan sikap mengabaikannya adalah satu kepalsuan.
Sebab itu, kegelisahan rakyat lebih ditumpukan kepada isu graduan menganggur, kemuraman ekonomi, kesukaran mendapat pekerjaan dan, bukan lagi ditumpukan kepada isu kemanusiaan.
Isu seperti rendahnya akhlak moral muda-mudi masa kini dan terpinggirnya bahasa Melayu yang seakan dilihat rendah oleh bangsanya sendiri tidak mendapat tempat sangat.
Betapa berleluasanya penyimpangan sosial dengan gejala zina, pembuangan bayi, jenayah, pembunuhan, meluasnya aktiviti pelacuran yang membabitkan anak gadis Melayu sebenarnya amat membimbangkan.
Begitu juga peningkatan ibu tunggal, pertambahan GRO Melayu, perempuan simpanan Melayu yang akhirnya menjadi habuan pemuas nafsu bangsa lain, kegilaan kepada arak, dan unsur hiburan melampau, `budaya berfoya-foya, budaya clubbing di kalangan anak-anak muda Melayu juga semakin serius.
Selain itu turut merisaukan adalah peningkatan gejala penagihan dadah di kalangan remaja Melayu, peratusan kemiskinan dan kemelaratan hidup bangsa Melayu. Betapa juga bangsa Melayu saban hari dalam paparan media misalnya terpaksa merayu seperti peminta sedekah untuk mengubati anak yang ditimpa penyakit kronik, atau rayuan untuk menyekolahkan anak, memberi anak-anak makan atau rintihan untuk mendapat tempat perlindungan yang sesuai dikatakan sebagai rumah.
Semua ini, realiti semasa, namun akibat dangkalnya nasionalisme di kalangan sebahagian besar daripada kita sama ada yang berkuasa mahupun tidak, bangsa Melayu terus menyanyikan lagu `Bangau oh bangau'. Kenapa persoalan ini ditinggalkan?
Puncanya kerana jiwa insan dan naluri kecintaan kepada penyakit yang dideritai bangsa semakin pudar dan bukanlah lagi menjadi agenda penting untuk diperjuangkan.
Oleh kerana beranggapan dengan kemajuan, pemodenan, proses pembaratan dan `kemerdekaan' yang telahpun berjaya dicapai bermakna perjuangan kita telahpun selesai.
Budaya individualistik, terpinggirnya konsep `ukuwahnul Muslimin' kecintaan kita kepada keutamaan memenuhi keperluan sendiri menyebabkan, ada tanggapan, `biarlah, asalkan bukan aku yang ditimpa musibah berkenaan".
Derita inilah yang menjadi barah bangsa pada abad baru. Pimpinan lebih sibuk dengan urusan memperkukuh kedudukan bagi mencapai kemahuan citra politik mereka.
Intelek Melayu lebih sibuk berdiskusi, angkuh dan berasa hebat dengan gelaran mereka tanpa adapun sifat di kalangan mereka secara berkumpulan untuk menjadi peneraju praktikal bagi mendekati penyakit bangsa ini.
Penjawat awam menjadi `musuh' kepada bangsa sendiri, lalai dan kerana berasa selamat dengan status sebagai penjawat awam. Justeru, rasuah mereka jadikan budaya, sistem penyampaian dan kerenah birokrasi berterusan diperkatakan. Permohonan dari rakyat dan perkhidmatan kepada masyarakat dilambat-lambatkan.
Apa yang menghairankan mereka ini tidak berasa bersalah apa-apa, walaupun akhirnya akibat kelemahan perbuatan mereka itu, bangsa sendiri menanggung rugi.
Sebab tanggapan keramat mereka, sebesar mana salah sekalipun, kerajaan sedia ada cukup liberal dan bertimbang rasa, sebab itu bukannya mudah mahu memecat atau membuang seorang pekerja di sektor awam.
Golongan peniaga, dan korporat Melayu yang kaya raya dan berjaya pula, banyak sibuk memikirkan usaha mengkayakan lagi perusahaan mereka. Sebab itu nasionalisme mereka turut pudar dengan memandang rendah keupayaan graduan Melayu dan mencipta sistem monopoli sesama mereka agar, usahawan baru akan ditekan dan tidak berpeluang untuk menjadi seperti mereka.
Manifestasi PhD (Perasan Hasad Dengki) yang kian menular sebagai budaya sebati masyarakat Melayu. Demikian juga dalam bidang politik dan dunia pekerjaan. Peluang bagi bangsa untuk menjayakan diri bukan lagi diukur berdasarkan bakat, usaha, kemahiran, tahap pendidikan tetapi satu lagi prasyarat unggul diperlukan.
Bermakna untuk berjaya atau mudah mendapat pekerjaan, mudah naik pangkat, peluang perniagaan dan jawatan dalam kepimpinan politik banyak bergantung kepada persoalan `siapa anda? Sejauh mana ketaatan anda kepada yang berkuasa, sampai tahap mana anda sanggup berpura-pura menyanjungi yang berkuasa? dan siapa yang anda kenal?
Anak-anak Melayu yang berjaya serta memegang jawatan tinggi dalam sektor korporat pula khususnya dalam syarikat MNC turut tenggelam ditelan arus kebanggaan.
Jawatan yang mereka ada bukannya digunakan untuk membimbing anak Melayu lain turut sama berpeluang menabur bakti seperti mereka, malah setengahnya mengambil kesempatan misalnya meminta rasuah seks bagi anak Melayu yangmahu bekerja di syarikat besar dan berstatus antarabangsa seperti itu.
Inilah kesilapan paling besar bagi bangsa kita, yang melihat semangat nasionalisme sebagai suatu perasaan kolot yang tidak sesuai lagi dengan peredaran zaman.
Kita gagal melihat bahawa dengan kekuatan nasionalisme, usaha mahu membela bangsa, sama-sama melihat bangsa kita maju itulah sebenarnya perasaan mulia dan semangat paling moden bagi memastikan bangsa yang bernama Melayu itu tidak akan terhakis dan akhirnya, menjadi hanya satu puak minoriti yang sejarah asal-usul mereka, kegemilangan dan sumbangan mereka dipamerkan di muzium purba.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.