KULIT PUTIH BUKAN TANDA INDIVIDU ITU SEMPURNA

KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2013 - Pada kurun ke-16 di Amerika, masyarakat kulit hitam berharap dilahirkan berkulit putih bagi mengelak diskriminasi kaum dan diperdagangkan, namun, kini di Malaysia, masyarakat taksub berkulit putih untuk kelihatan cantik dan meraih populariti diri.

Lambakan produk pemutihan menjadi kegilaan baik lelaki atau wanita yang mahu kulit muka dan badan kelihatan putih kerana bagi mereka putih memberi persepsi menyerlah dan lebih unggul berbanding mereka yang berkulit gelap.

Pakar Perunding Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah memberitahu Bernama penjualan produk kecantikan yang menggunakan model berkulit putih, kemunculan ramai artis berkulit putih serta golongan kenamaan dan kerabat diraja yang biasanya berkulit putih dan bersih menjadi faktor kepada ketaksuban golongan itu untuk terus memutihkan kulit masing-masing.

"Sebenarnya persepsi dari dulu lagi, yang putih itu punyai 'high class', ia lebih 'superior' berbanding kulit yang berwarna lain.

"Bahkan ada dalam kalangan masyarakat kalau mendengar kelahiran bayi pun terus bertanya kulitnya putih ke tidak...itu seperti sudah tertanam di minda masyarakat," katanya.

Sehinggakan Dr Haslee berkata ketaksuban untuk kelihatan putih telah menyebabkan ramai antaranya mengabaikan aspek lain yang lebih penting iaitu kecantikan keperibadian dan kesihatan diri.

"Yang patut diperbetulkan adalah kecantikan keperibadian dan kesihatan diri...contohnya tingkah laku dan sikap..dan juga Indeks Jisim Badan (BMI), kalau BMI dah terlebih...itu lagi perlu diambil tindakan awal.

"Walaupun putih, tetapi ada penyakit dan sakit...macam mana putih itu boleh jadi cantik. Selain itu aspek kebersihan, kelihatan elok tetapi perlu juga berbau elok (looks good, smells good), sesetengah orang nampak 'handsome' (segak), cantik tetapi mulut dan badan berbau," katanya.

Justeru Dr Haslee berkata memiliki kulit yang putih semata-mata tanpa mengambil berat aspek lain tidak mampu menjadikan seseorang itu sempurna kerana kecantikan itu subjektif dan perlu seiring dengan kebersihan dan kesihatan diri.

Katanya masyarakat perlu dididik untuk tidak terikut-ikut dengan trend kulit putih sehingga memberi impak negatif termasuk penyalahgunaan produk kecantikan yang boleh memudaratkan kesihatan diri.

Bagi Eksekutif Pengiklanan Siti Zallika Zahid, 29, beliau mengakui agak terpengaruh untuk menggunakan produk pemutih semasa remaja kerana sering menganggap dirinya yang berkulit sawo matang, tidak cantik berbanding
rakan-rakan.

"Itu dahulu...sekarang saya dah berhenti menggunakan sebarang produk pemutihan kerana pernah mengalami masalah jerawat apabila produk yang digunakan tidak sesuai dan suami pun memuji suka tengok orang berkulit sawo matang kerana ia lebih manis dipandang," katanya.

Pereka fesyen, Jeffri Ismail, 27, berkata beliau adakalanya turut obses untuk memiliki kulit yang agak cerah dan putih biarpun beliau seorang lelaki.

"Kulit putih buat lelaki nampak lebih bersih, tetapi tidaklah terlampau putih sehingga kelihatan pelik. Apapun saya memang bersetuju bahawa untuk kelihatan menarik ia bukan sekadar kulit yang putih, tetapi kebersihan dan kesihatan juga," katanya.

Bagi kerani syarikat swasta, Faisal Ahmad, 35, pula berkata sebagai lelaki beliau tidak terlalu memandang pada warna kulit kerana apa yang penting keperibadian dan akhlak murni yang dimiliki kaum wanita.

"Wanita kulit putih ni kalau sekali pandang mungkin nampak lebih menyerlah, tapi kalau diperhatikan betul-betul wanita yang berkulit sawo matang sebenarnya lebih cantik dari wanita yang berkulit terlalu putih...yang penting perangai tu sopan...itu lebih menarik perhatian," katanya. - Bernama

Post a Comment

0 Comments