PROMO DAN HEBAHAN 1MALAYSIA ENTREPRENEURS (1MeT)

1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) merupakan satu program pengukuhan keusahawanan di Malaysia yang dilaksanakan melalui kolaborasi kreatif di kalangan Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan yang berkaitan. 1MET juga merupakan inisiatif kesembilan di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dan sejahtera. 

NBOS merupakan antara langkah bersepadu Kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi program transformasi sosial, selain Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sedang dilaksanakan Kerajaan. 

Melalui agenda transformasi, adalah menjadi harapan agar ia dapat menjadikan Malaysia sebuah Negara berpendapatan tinggi dan rakyat gembira serta sejahtera tanpa dibebani masalah pengangguran, kadar cukai yang tinggi, kuasa membeli yang rendah, kemiskinan atau masalah keselamatan.

Tujuan utama inisiatif 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) ini adalah:
o untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk memulakan dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka sehingga berjaya menggunakan sumber-sumber awam dan swasta yang ada;
o untuk menyelaraskan semua program keusahawanan sedia ada yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta secara bersepadu supaya lebih berkesan; dan 
o untuk mewujudkan jaringaan perniagaan yang lebih luas dan persaingan yang sihat di kalangan para usahawan dalam mengendalikan perniagaan mereka.

Sebagai langkah awal ke arah merealisasi inisiatif 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) ini, Kementerian Kewangan telah merancang untuk mengadakan boot camps usahawan belia. Bagi tahun ini, Kementerian Kewangan telah merancang untuk menganjurkan 21 siri boot camps yang melibatkan seramai 5000 usahawan belia dari seluruh Negara sebagai usaha untuk menggalak dan memberi pendedahan kepada belia mengenai keusahawanan. Lokasi Bootcamps dilampirkan.

Para peserta boot camps 1MeT seterusnya berpeluang untuk berjumpa dengan YAB Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat semasa acara pelancaran 1MeT di persidangan 4th Global Entrepreneurship Summit pada 11-12 Oktober 2013 di Kuala Lumpur.

Bagi pihak Kementerian Kewangan dan Kerajaan Malaysia, NSU mengalu-alukan penyertaan para remaja di dalam bootcamp ini dengan mendaftar secara dalam talian dilaman website http://www.1met.org/ Kementerian Kewangan juga berharap para belia dapat mengambil peluang ini dengan menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan sebagai persediaan untuk menjadi usahawan berjaya kelak.

KEMENTERIAN KEWANGAN
PUTRAJAYA
27 OGOS 2013

Post a Comment

0 Comments