PROGRAM PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTRA : PUNCA DAN CABARAN

Oleh : Beruang Biru

Mengumumkan sesuatu program memanglah mudah. Membentangkan projek tersebut di atas kertas dan persembahan ‘powerpoint’ juga mudah.  Membuat kira-kira mencari aggaran dan jangkaan tidaklah sesukar mana. Justeru, sesiapa sahaja dengan kebolehan berbahasa yang baik, pengetahuan mengenai ekonomi yang cukup serta keyakinan diri yang tinggi mampu membuat pengumuman yang cukup hebat didengar. Dalam kata lain, seorang eksekutif baru di mana-mana syarikat mahupun seorang graduan peringkat kepujian juga mampu mempersembahkan satu ‘teori’ yang hebat.

Oleh itu, kita dapati, dalam era teknologi maklumat di mana rakyat semakin kritikal dan sinis, sebarang pengumuman tidak lagi mengujakan. Malah ia disambut dengan kritikal dan sinis juga. Mungkin ada yang bersorak gembira dengan pengumuman ini tetapi kumpulan ini amatlah terhad di kalangan mereka-mereka yang telah pun berada dalam lingkungan penerima hasil langsung dari program-program terdahulu.

Mungkin tulisan ini bukanlah tulisan yang akan menggembirakan kepimpinan, namun inilah hakikat yang dapat disimpulkan setelah beberapa hari pengumuman mengenai pemerkasaan ekonomi bumiputera dibuat oleh YAB Perdana Menteri.

Kesungguhan Perdana Menteri untuk mempertahankan bumiputera tidak perlulah dipertikaikan. Kita pasti bahawa program tersebut dibuat kerana beliau benar-benar prihatin dan mendengar keluh-kesah rakyat. Sama ada ia dibuat bersempena Pemilihan UMNO, ia adalah cerita lain. Yang penting, program-program yang diumumkan cukup mantap dan bertepatan dengan kedudukan kewangan negara dan bukan sekadar janji manis ala Anwar Ibrahim.

Namun, kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat yang semakin bijak meneliti, menganalisa dan mengkritik sebarang pengumuman yang dibuat oleh kerajaan.  Rakyat menjadi begini setelah melihat beberapa kelemahan dan kesilapan jelas lagi ketara dalam urustadbir negara sejak pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Mungkin mengungkit kelemahan pentadbiran terdahulu bukanlah perkara yang baik. Namun, jika benar kerajaan ikhlas ingin melakukan perubahan yang bermakna, maka segala kesilapan dan kelemahan wajib diakui terlebih dahulu bagi membolehkan pembaikan dan pembetulan dilakukan.

Malang sekali, apa yang dikhuatiri rakyat masih tidak dapat ditangani sepenuhnya melalui program pemerkasaan ini. Ini kerana, walaupun rakyat menghargai program baru yang cukup baik lagi hebat yang diumumkan kerajaan untuk bumiputera tetapi hakikatnya, rakyat bukan mendambakan program baru, tetapi lebih berminat  untuk melihat pembaikan atau pembetulan ke atas program yang telah tersasar.

Penting untuk difahami bahawa apa yang paling menggusarkan hati bumiputera ialah apabila melihat badan-badan yang bakal terlibat dalam perlaksanaan program-program baru ini, turut berhadapan dengan kontroversi.

Antaranya, GLC-GLC termasuk Petronas yang mana kedudukan bumiputera di jawatan tinggi dan tertinggi kini menjadi persoalan. Kita musykil dengan berita bagaimana personaliti-personaliti yang dikenali sebagai nasionalis yang telah berjaya mengangkat Petronas sehingga ke puncak, telah ‘terbuang’ atau terpinggir secara sistematik. Tempat mereka kemudian digantikan dengan liberalis dan bukan Melayu yang gemar memperlekehkan para nasionalis konon tidak cukup bijak. Apa yang berlaku dalam GLC-GLC ini kemudiannya semakin mencurigakan dan prestasi sebahagiannya juga semakin lembab selepas diambil-alih oleh kumpulan yang kononnya lebih ‘bijak’ dari para nasionalis tersebut. Di bawah pentadbiran mereka juga, vendor-vendor bumiputera semakin terpinggir secara perlahan-lahan.  

Justeru, rakyat melihat rancangan kerajaan untuk meletakkan pembangunan usahawan bumiputera di bawah sayap GLC-GLC ini, sebagai sesuatu yang sinis sekali.

Dalam memperkatakan tentang ekuiti bumiputera juga, rakyat melihatnya dengan penuh curiga. Secara umumnya, inilah yang dipersoalkan rakyat:

Ekuinas yang bertanggungjawab untuk membantu syarikat bumiputera tidak melakukannya secara terus, tetapi melantik syarikat CIMB Private Equity, KFH Asset Management, Navis Capital Partners, CMS Opus Private Equity Sdn Bhd, KAF Fund Management Sdn Bhd (KFM), dan RM Capital Partners Sdn Bhd sebagai pengurus dana.  Dalam kata lain, ‘meng-sub-kontrakkan' kerja mereka. Selaras dengan itu, bumiputera tertanya-tanya, berapa banyakkah syarikat bumiputera yang telah atau akan dibantu dengan menggunakan dana yang berbilion itu? Atau, mungkin lebih tepat lagi, ke manakah dana itu dilaburkan dan siapakah yang akan mendapat manfaat terbanyak dari pelaburan tersebut? Syarikat pengurus danakah, ekuinaskah atau atau syarikat-syarikat bumiputera yang seharusnya dibantu? Lebih menyesakkan dada ialah apabila terdedah bahawa antara pemilik syarikat pengurus dana yang dilantik mempunyai kaitan dengan Ethos Consultant iaitu syarikat yang sedia menjadi kontroversi berkenaan penglibatannya dengan kerajaan Malaysia sehingga membawa kepada kejatuhan Tun Abdullah Badawi.  

Selain ekuiti dan penglibatan bumiputera dalam GLC, rakyat turut ‘cuak’ apabila mendengar bahawa UDA Holdings bakal bertanggungjawab dalam mengatasi masalah pemilikan hartanah di bandar bagi bumiputera.

Ini kerana UDA Holdings baru-baru ini telah dipersoal oleh Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) mengenai tindakannya memberi pajakan selama 75 tahun kepada syarikat bukan bumiputera iaitu Central Market Management bagi menguruskan Central Market. Central Market Management merupakan anak syarikat Kha Seng Group. Secara automatik, apabila sesuatu itu jatuh ke tangan Cina, maka kaum lain pun akan dipinggirkan.   Peniaga bumiputera di Central Market kini menghadapi masalah ‘klasik’ di mana pengurusan menaikkan sewa mendadak dan tidak memberi ruang untuk sebarang tolak ansur. Kita sedia maklum bahawa ‘method’ yang sama dilakukan oleh pengurusan KLCC, Alamanda, Subang Parade dan semua pusat perniagaan yang diterajui bukan Melayu untuk memberi tekanan kepada peniaga bumiputera termasuk yang berdaya maju, agar mereka tidak dapat bertahan dan akhirnya ‘gulung tikar’.

Ini hanyalah masalah yang melanda sebahagian dari ‘bakal’ badan pemantau atau perlaksana program pemerkasaan ekonomi bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, yang telah diketahui ramai. Tiada siapa tahu dengan pasti apa yang berlaku di dalam badan-badan yang lain-lainnya walaupun desas-desus mengenainya cukup membimbangkan.

Harapan rakyat ialah agar semua badan-badan perlaksana dan pemantau ini dipulihkan terlebih dahulu sebelum kerajaan meletakkan nasib bumiputera di tangan mereka.

Selain itu, keterdesakan kerajaan untuk meningkatkan jumlah graduan di dalam negara bagi memperlihatkan kesungguhan dalam membantu bumiputera dari segi pendidikan diambil sebagai isyarat bahaya, bukan penyelesaian.

Untuk pengetahuan kepimpinan, hampir semua rakyat setuju bahawa penambahan graduan bukanlah masalah sebenar, tetapi kualiti graduan. Dengan meletakkan matlamat untuk menambahkan kuantiti graduan, kursus dan juga kolej atau universiti maka ia dikhuatiri akan merendahkan lagi kualiti graduan yang telah sedia rendah pada masa ini. Ini tentunya akan menambahkan masalah dan bukannya menyelesaikan masalah.

Apa yang menggumam masyarakat hari ini ialah sikap para pendidik bermula dari sekolah rendah sehinggalah ke universiti. Ini termasuklah semua proses pembelajaran termasuk buku-buku teks yang tidak berkualiti.

Suka atau tidak, kita tidak dapat menafikan bahawa guru-guru hari ini jarang sekali mempunyai pengetahuan am yang secukupnya. Majoritinya tidak terdedah pada pembacaan yang luas serta tidak mempunyai ‘passion’ terhadap ilmu. Ini menjadi punca kenapa anak-anak murid tidak mampu mengembangkan imaginasi mereka dan tidak mempunyai minat yang mendalam terhadap subjek. Ia kemudian menjadi satu kitaran yang berterusan di mana murid-murid tadi mungkin akan menerapkan pemikiran yang sama kepada generasi selepas mereka apabila dewasa.

Jika kita masih tertanya-tanya kenapa Malaysia tidak mampu melahirkan walaupun seorang pencipta, maka inilah puncanya iaitu anak-anak kita mempunyai imaginasi yang terhad dan tidak mampu melihat ‘keseronokan’ dalam ilmu itu sendiri.

Secara dasarnya, rakyat Malaysia melihat dunia dalam konteks yang sempit dan Malaysia hari ini dipenuhi oleh anak-anak muda (dan dewasa) yang malas berfikir, ingin mencari wang mudah, sering terbawa-bawa dengan emosi serta tidak tahu ke mana hendak di arah bakat, minat dan kebolehan semulajadi mereka. Masyarakat kita terkongkong dalam dunia yang berkisar mengenai wang, politik, glamour, status, populariti dan agama semata-mata serta tidak mampu membayangkan dunia yang lebih luas di sebalik semua ini.

Contohnya, jika seorang barat mempunyai wang yang banyak, beliau akan mengembara mencari ilmu dan meneroka sejarah, tetapi seorang Melayu yang punya banyak wang hanya memikirkan tentang membeli belah dan status. Itulah bezanya pandangan kita dengan barat mengenai ‘dunia’ dan ‘kehidupan’.  

Sebenarnya, inilah punca kepada semua masalah bumiputera. Ia juga menjadi punca kenapa badan perlaksana, pemantau dan apa saja yang dirancang untuk membantu bumiputera, sukar untuk berfungsi dengan baik dan mencapai matlamatnya.

Justeru, jika kerajaan benar-benar ingin memperkasakan bumiputera, maka segala tenaga, peruntukan dan perhatian harus diberi kepada pembentukan minda yang bermula dari sekolah, atau lebih baik lagi dari maktab perguruan iaitu semua penuntut bidang pendidikan termasuklah tenaga pengajar kepada mereka. Daripada membawa tenaga pengajar dari luar untuk mengajar anak-anak kita di sekolah, adalah lebih baik membawa tenaga pengajar dari luar untuk mengajar bakal pengajar anak-anak kita, iaitu bakal-bakal guru. Bentukkan dahulu minda bakal-bakal guru agar mengagumi kehebatan ilmu dunia ciptaan Maha Esa. Hanya dengan cara itu, mereka dapat mengembangkan imaginasi dan daya fikir bakal anak-anak murid mereka.  

Apa yang dapat dilihat, perkara asas ini tidak pun dijadikan sebagai perkara utama dalam program pemerkasaan bumiputera. Sebaliknya program-program yang bersifat ‘memberi’ dan ‘membantu secara langsung’ diberi penekanan penuh. Maka, tidak hairanlah jika ramai yang sangsi dengan keseluruhan program ini kerana ia dilihat sebagai tidak mampu menyentuh perkara pokok, tetapi hanya membaja tumbuhan termasuk parasit dan lalang yang tidak lagi dimahukan.

Lebih dari itu, bumiputera dan juga seluruh rakyat tertanya-tanya apakah projek atau program hebat yang bakal menjana kewangan negara bagi membolehkan segala program pemerkasaan ekonomi ini berjalan lancar? Jangan nanti, bumiputera tenggelam dalam keterbukaan pasaran atas alasan mencari wang untuk menampung program ini. Jika ini berlaku, bumiputera bukannya semakin perkasa tetapi berkemungkinan hilang di telan pasaran terbuka.

Post a Comment

0 Comments