TEKS UCAPAN KETUA PEMUDA UMNO @Khairykj DI PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO 2013 #PAU2013


BERIKUT adalah ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur, Rabu 4 Disember 2013:

Melayu itu kalau merantau sampai ke Deli
Kalau berperang sampai ke rawan
Kalau mempertahan putih sumsum tulang
Kalau menjajah langsung jadi pahlawan
Dari Riau ke Selat Melaka
Dari Palembang ke Tanah Jawa.

Melayu baru bila berfikir jadi Dr. Maza
Bila berseni indie, jadi Wani Ardy
Bila bikin muzik jadi Yuna
Bila menyanyi dengan sopan... jadilah Siti Nurhaliza

Melayu itu halus
Bila marah menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Jangan lupa tempelak Usman Awang
Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tapi itu Melayu yang dulu
Melayu sekarang melanggar pantang
Kadang tersadung adat dan sopan

Menata merdeka menonggak wawasan
Melayu hari ini Melayu cemerlang
Gah bak helang menyongsong awan Minda progresif menakhoda masa depan
Jadi obor menyuluh zaman

1. Alhamdullilah, segala puji-pujian untuk Allah S.W.T, Tuhan yang maha pemurah lagi penyayang. Juga selawat dan salam ke atas junjungan terpuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat. Kita mensyukuri rahmat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bertemu pagi ini di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ke 61.

2. Jika di perhimpunan tahun lepas, kita sibuk melurus barisan, mengatur strategi, untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) – pilihan raya paling getir dalam sejarah Umno, tahun ini, saya mulakan dengan setulus terima kasih kepada seluruh jentera Pemuda Umno. Anda semua tak kenal siang malam, tak hirau penat di badan, ketika mengharungi pilihan raya Mei lepas. Bukan calang-calang rintangan yang kita tempuh, tanpa Pemuda di barisan hadapan, belum tentu kita menang, silap haribulan boleh kecundang!

3. Di perhimpunan tahun ini juga kita membuka lembaran segar dengan meraikan barisan kepimpinan yang baru. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara sekalian yang telah memenangi jawatan di peringkat pusat, bahagian dan juga cawangan masing-masing. Saya juga amat berterima kasih dengan jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh barisankepimpinan sebelum ini. Kalau tiada yang lama, manakan dapat mereka yang baru. Kalau yang lama enggan menunjuk jalan, masakan yang baru tahu haluan.

4. Sebelum PRU-13, kita gesa Presiden kita, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak, untuk memberi peluang kepada wakil pemuda diangkat jadi calon. Rasionalnya enteng saja, bila bercakap tentang soal suara anak muda, ia wajib dicorongkan melalui orang muda juga. Alhamdullilah,pucuk pimpinan mendengar cadangan kita bila 45 daripada sayap Pemuda Umno jadi calon ahli parlimen dan Adun. Ini suatu pengiktirafan yang besar kepada institusi Pemuda Umno. Memang lumrah kehidupan, kalah menang adat pertandingan. Walau begitu, saya bangga dengan pengiktirafan yang diberi, bila dua dari calon Pemuda diangkat jadi menteri dan timbalan menteri. Manakala enam lagi duduk di kerusi exco kerajaan negeri. Kami Pemuda Umno, InsyaAllah, akan melunaskan amanah yang diberi dengan kamil.

5. Cuma peluang orang muda dijadikan calon itu, sebenarnya boleh diunjur, boleh diperlebihkan lagi. Kalau kita perhatikan pihak sebelah sana, PAS, DAP dan PKR, mereka tampak lebih bersedia menonjolkan calon muda, jika nak dibandingkan dengan kita. Mungkin ini sesuatu yang boleh pucuk pimpinan pertimbangkan di masa akan datang, barulah Umno dilihat segar danmelaksanakan peremajaan sepenuhnya.

Sidang perwakilan sekalian,

6. Tahun ini kita telah melakar sejarah baru untuk Umno dengan menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti. Inilah bukti transformasi yang dimaksudkan oleh presiden untuk parti Umno. Ini adalah suatu pengiktirafan yang ulung dari pucuk pimpinan. Walau bagaimanapun Pemuda menggesa agar post mortem segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapipenambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian. Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat.


Khairy berucap sempena Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu. Foto: GLENN GUAN/The Star
7. Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi. Jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian. Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila keputusan diisytiharkandi ibu pejabat. Menyentuh tentang logistik pula, aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang semasa proses mengundi dijalankan. Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang. Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses rayuan itu juga tidak boleh dilihatumpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak. Kriteria untuk pengundian semulahendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.

8. Namun demikian, kita bersyukur kerana Umno terbukti mampu memberi ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti. Fitrah antara kita dan pembangkang tak serupa, gerombolan pembangkang hanya gah bertempik, kononnya merekalah juara demokrasi, tapi sumbang di gelanggang sendiri.

9. Lihat sahaja DAP dan PAS yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri. Pilihan raya DAP yang ada dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang disalahkan. Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan bulan pemilihan pertama dibatalkan. Tapi biasalah... semua itu bukan salah mereka.

10. PAS bulan lepas apa kurangnya? Berdalih melewatkan keputusan, konon silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu. Tiba giliran PKR, lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid sendiri kebal demokrasi. Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam perlembagaan parti.

11. Inilah bezanya kita dengan pembangkang. Berbanding DAP dan PAS yang hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat, kita pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk mengundi. Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan, seluruh jawatan dalam Umno sah termaktub mengikut perlembagaan parti.

12. Selagi kita masih bercakap soal pemilihan parti, saya bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada setiap ahli Pemuda, yang telah memberi mandat seratus peratus untuk saya. Insya-Allah, amanah dan kepercayaan ini akan saya lunaskan sebaik mungkin.

13. Dalam pada itu, proses demokrasi parti kita juga menyaksikan persaingan sengit di peringkat naib ketua Pemuda, Exco serta jawatan-jawatan Pemuda di peringkat bahagian, mahupun cawangan. Tapi sidang perwakilan yang saya hormati, kita ini carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali. Janganlah apa yang terkhilaf semasa pemilihan Umno dijadikan kudis di badan atau api di dalam sekam. Jalan di hadapan masih panjang, inilah masa dan ketikanya untuk kita bersatu kembali mengukuhkan parti.

14. Hakikatnya, pemilihan parti adalah persaingan kekeluargaan sesama kita. Marilah kita hulurkan tangan, dakapkan ukhwah, eratkan perpaduan. Sedarlah semua, musuh politik yang sebenar bukan sesama kita tapi pembangkang di luar sana. Bak kata orang, menembak beralamat, berkata bertujuan – sesama pemuda kita muafakat, dengan musuh kita berdepan.

15. Dalam keutuhan persaudaraan ini, dalam kita menyusun langkah dan strategi, dalam kita menyahut peranan dan tuntutan organisasi, jangan kita sesekali terleka dibuai jawatan. Kita perlu sentiasa menginsafi bahawa apa yang kita pegang ini adalah satu amanah – bukan sahajakepada rakyat, parti dan negara, tetapi yang paling utamanya amanah dan accountability kepada Yang Maha Esa. Amanah itu bukan sahaja luas dan berat tetapi juga perlu di jaga, kerana kita tak boleh menyimpanginya, walau tersorok di lubuk hati. Accountability kepada Allah S.W.T.bukan sekadar kepada tindak tanduk kita tetapi juga niat yang tersirat dalam hati kita, sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 284:Yang bermaksud: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allahdan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya,nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.”

16. Ingatlah juga, amanah yang ditanggung demi harapan rakyat dan ahli Umno ini hendaklah kita lunaskan dengan terbaik dan penuh keadilan. Bahawasanya jawatan yang kita pegang ini hanyalah dipinjamkan oleh rakyat dan ahli dengan harapan kita menengakkan keadilan untuk semua, sepertimana pesanan Allah S.W.T. kepada kita di dalam surah An-Nisa’, ayat 58:Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenisamanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

17. Pada masa yang sama, selain dari melunaskan amanah sebaik mungkin, akhlak dan budi dilupa jangan, kerana jawatan itu bukannya tiket untuk bermegah dan sombong. Sama-samalah kita sentiasa merendah diri, sama-samalah kita sentiasa ingat pada akar umbi. Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 37: Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

18. Atas nama saling mengingati sesama sendiri, saya berpesan untuk mereka yang di atas pentas ini, janganlah kita sombong dan lupakan kawan-kawan, jangan hanya bangga dengan jawatan. Jangan setelah menang tak angkat telefon atau jawab Whatsapp dan BBM. Peringatan yang serupa saya beritahu diri sendiri juga.

Ayam rintik di pinggir hutan

Nampak dari tepi telaga

Rapatkan saf luruskan barisan

Bersatu teguh kita bersama

Pisang kelat digonggong helang

Jatuh ke lubuk di Indragiri

Amanah rakyat kukuh dipegang

Sumpah keramat hidup dan mati

Sidang perwakilan sekalian,


19. Bila cerita PRU-13 dan pemilihan parti kita arkibkan, kini tiba masanya kita tentukan kemudi Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

20. Kita muhasabah, kita cermin diri, kita perhalusi sekali lagi jalan perjuangan yang sudah diteroka sekian lama. Nilai yang bagaimana ingin kita teladankan untuk rujukan pelapis? Peranan mana paling molek untuk kita kelek dalam menyumbang ke arah kejayaan parti? Untuk menjawab soalan-soalan ini mungkin elok jika kita mengimbau perjalanan kita beberapa tahun ini, agar sumbangan kita kepada parti tidak monolitik dan tradisional. Pemuda Umno sentiasa perlu berada dalam langgam orang muda.

21. Gemala rukun Pemuda Umno yang digariskan empat tahun lalu, masih jadi paksi perjuangan mutakhir kita – yakni Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu. Saya percaya lima terasini telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif – satu pendekatan yang telah membuka lembaran baru dalam perjuangan kita. Lembaran baru yang kita selak bersama harapan untuk jadi lebih baik. Pengalaman itu guru paling berkesan untuk insan. Dan pengalaman harus dilalui, ia tak bisa dipinjam atau dibeli.

22. Progresif tidak bermakna lupa diri atau perjuangan asas, percaya kepada pendekatan berbeza dan moden, tidak bermakna Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka.

23. Gagasan progresif Pemuda bukan sekadar sembang kosong atas angin. Malah, pendekatanprogresif kita telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan sebenar di akar umbi. Melalui pendekatan ini kita telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai kiblatperjuangan kita.

24. Pelbagai isu yang membelenggu rakyat – dari pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk orang muda – telah dibangkitkan dan diperjuangkan oleh Pemuda Umno. Di atas antelas yang sama, kita bukan sekadar suara pembela rakyat, politik khidmat bakti telah menuntut kita melangkah jauh, mendahului zaman, sebagai ejen penyelesai masalah rakyat. Anak muda kini semakin menilai, bagi mereka retorik janji sudah tak laku.

25. Alhamdulillah, kita kotakan apa yang dikata melalui program Pemuda Umno dan BN seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, Expo Perumahan Pemuda BN (HOPE), Jelajah 1Malaysia (JOM), Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES) dan pelbagai program lain. Pemuda Umno telah merintis jalan, membawa harapan untuk rakyat. Ternyata kita bukan hanya lantang bersuara tapi juga berjaya bertindak. Di mata generasi baru, Pemuda yang hebat bukan Pemuda yang sembang deras, cerita lebat. Pemuda yang hebat adalah Pemuda yang membawa kesan jelas dalam kehidupan seharian rakyat.

26. Orang lama telah mengajar kita agar selalu beringat, jangan jadi seperti orang hendak menepung, tiada berberas. Program-program kita ini tidak pernah bersifat syok sendiri yang hanya diketahui dan dirasai dalam kepompong sesama kita sahaja. Terbentang untuk rakyat hari ini, program-program anjuran Pemuda Umno yang terkenal seantero negara.

27. Kita dakap pendekatan progresif ini kerana sekadar melaungkan “Hidup Melayu” itu lompong jika nasib anak bangsa masih di takuk lama. Walau ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak “Hidup Melayu,” kita jangan ambil pendekatan yang serupa. “Hidup Melayu” itu sudah ketentuan –tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? Sudah tentu lebih mulia bilaMelayu hidup bermartabat dari hidup merempat. Sudah tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan slogan semata-mata.

28. Nyata perlaksanaan program melalui lensa sejagat dan pendekatan progresif telah menjadi wahana bakti kita untuk bangsa. Lihat sahaja daripada 160 ribu yang berjaya mendapat kerja melalui Karnival Kerjaya kita, majoritinya adalah anak Melayu. Daripada 500 ribu yang bakalmenikmati Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), majoritinya adalah anak Melayu. Daripada pelajar yang telah ditaja melalui Biasiswa Pendidikan Pemuda BN, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila gaji minimum diperkenalkan dek desakan Pemuda – golongan yang meningkat pendapatan mereka, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila kita memperjuangkan isu pelepasan status muflis untuk orang muda, siapa golongan yang bakal mendapat peluang kedua? Tetap anak Melayu.

29. Natijahnya, usaha kita tertumpu kepada isu-isu utama yang dialami pemuda Melayu. Melalui pendekatan dan program sejagat, agenda bangsa jelas terlaksana, nasib bangsa tetap terpelihara.

Sidang perwakilan yang saya hormati,

30. Tujuan saya membangkitkan pencapaian kita, bukan untuk mendabik dada. Kita kongsi semula pencapaian kita hari ini, agar jadi pemangkin untuk melahirkan idea-idea baru di masa akan datang. Saya dambakan sayap Pemuda mendahului zaman, tak gentar dengan perubahan, tetap relevan dalam ekosistem politik yang sentiasa berubah.

31. Dalam konotasi yang serupa, fitrah politik Pemuda Umno perlu sejajar dengan tuntutan semasa. Kita tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama, sekadar jadi geng pendesak – membangkit semangat dan emosi semata – tapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Apa guna jadi Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai? Apa guna mengerah jentera mengangkat sepanduk, jika nasib dan pencapaian bangsa tak sampai ke mana?

32. Pemuda Umno bukan seperti pancang digoyang arus, bukan niat kita memperkecilkan pendekatan lama – di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan, pasca merdeka. Pendekatan sebegitu sesuai dengan keperluan semasa – dan ternyata telah membawa kejayaan kepada Pemuda, di era tersebut. Tetapi zaman sudah berubah, masyarakat alaf ini sentiasa mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Dalam konteks ini, rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya ia tidak membawa apa-apa kesan progresif dalam hidup mereka.

33. Penjenamaan baru ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip. Sepertimana saya sebut beberapa tahun dahulu, kita perlu berani mengubah manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan maqasid yakni matlamat sesebuah perjuangan. Agenda memperkasa agama, bangsa dan negara takkan sirna dari jati diri Pemuda, seperti mana juga tugas kita sebagai sayap utama Umno untuk membantu ke arah kejayaan politik parti. Dalam mencapai matlamat ini, kayu ukur yang menilai betul atau khilaf sesuatu pendekatan adalah melalui pilihan raya – melihat sama ada rakyat menerima kita sebagai pembela kepentingan mereka. Jika pendekatan dan pengisian perjuangan tak serasi dengan nadi rakyat – khususnya generasi muda yang menjadi tumpuan kita – maka mereka tidak akan mengundi Barisan Nasional.

34. Kejayaan BN dalam PRU-13 menjadi bukti bahawa pendekatan progresif ini lebih tepat. Malah, kajian Merdeka Centre mendapati 54 peratus pengundi Melayu bawah umur 30 tahun, telah mengundi Barisan Nasional dalam PRU baru-baru ini. Bukan mudah berdepan janji-janji manis minyak turun, tol percuma, pendidikan percuma, PTPTN tak payah bayar semula, dalam nirwana ciptaan pembangkang. Kendatipun cabaran menggunung, kemampuan kita bergerak bersama zaman, mencorak pendekatan, telah membawa pulangan politik, bila Barisan Nasional dikekalkan di tampuk pentadbiran.

35. Tapi jangan lupa rakan-rakan, walaupun kita berjaya meraih sokongan sebahagian besar golongan muda Melayu, kita masih punya banyak kelemahan. Kita ingat fenomena tsunami politik 2008 dahulu – di mana kedengaran ungkapan “berubah atau rebah” dari segenap pengulas dan pemerhati. Pada waktu itu, kita bermuhasabah – menyedari bahawa Umno dan BN memerlukanpembaharuan hakiki untuk kembali bangkit dari belenggu kekecewaan PRU-12. Syukur, kita tidak perlu pandang jauh untuk mencari inspirasi – kerana kita telah mengambil iktibar dari contoh perubahan hampir serupa yang dilalui presiden kita sendiri.

36. Saya masih teringat ketika mana presiden telah melalui cabaran getir di kerusi Parlimen Pekan pada tahun 1999. Namun, berkat kebijakan mencongak strategi yang progresif dan inklusif, beliau berjaya mengubah pendulum politik sehingga mencatat antara majoriti kemenangan terbesar pada pilihan raya umum 2004. Inilah satu kisah kejayaan dan peringatan yang besar untuk kita semua. Sebagaimana pepatah Arab ada menyebut: “man jadda wa jada, wa man shabara zhafira” yang bermaksud siapa yang bekerja keras pasti beroleh kejayaan, dan siapa yang sabar, merekalah yang beruntung.


37. Saya sendiri telah belajar dan mengambil iktibar dari pengalaman presiden. Di PRU-12 dahulu, saya menang dengan majoriti kecil lima ribu undi – turun jauh dari majoriti BN sebanyak 18,000 lebih pada pilihan raya sebelumnya. Saya sedar pada waktu itu, kalau salah catuan dantanpa pendekatan yang betul, mungkin saya di Rembau sepenggal cuma. Lalu saya terapkanpendekatan politik progresif cara saya di sana – kerap turun padang selesai masalah, cuba meningkat taraf hidup dan ekonomi Rembau, tak kisah lah kawasan putih, kelabu atau hitam. Waima kawasan Melayu, Cina, India, atau orang asli, pekan atau desa, tua atau muda, tidak terkecuali dari tanggungjawab selaku wakil rakyat. Malah ada yang mempersoal pendekatansaya, “kenapa KJ masih layan peti undi bukan Melayu walhal dulu tewas semua?”

38. Tetapi selain daripada kegigihan, saya juga telah melihat presiden sebagai contoh terbaik bahawa kepimpinan sejati adalah berteraskan kebenaran dan keadilan untuk semua. Selaku pemimpin dan wakil rakyat, kita wajib berusaha berlaku adil kepada semua; berusaha meraih sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Alhamdulillah, berkat usaha serta bantuan keluarga,taulan dan Pemuda Umno, di PRU-13 tempoh hari, saya berjaya meningkatkan majoriti tiga kali ganda – mendapat undi bukan sahaja dari pengundi Melayu, tetapi juga bukan Melayu. Maka percayalah, usaha gigih berterusan, insya-Allah akan membuahkan hasil – ingatlah bila berjuang biar dahi berluluk, asal tanduk mengena. Namun, sungguhpun kerja keras itu pucuk pangkalnya,adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia pula menjadi terasnya. Ini kerana, rakyat juga nanti yang menilai, mana yang baik mahupun buruk, bak kata bicara orang dahulu, alang berjawab, tepuk berbalas.

39. Saya pohon sahabat perwakilan mencontohi presiden. Kalau kena gaya, didorong pula oleh pendekatan dan strategi yang tepat, Umno akan kekal jadi pemimpin dan pembela untuk semua – sejajar dengan hasrat bapa-bapa pengasas parti Umno sebelum ini. Tak betul jika mereka kata Umno disokong sesetengah kelompok sahaja. Tak betul jika mereka kata Umno telah “senja,” bagaimana pula kita “senja” bila kita menambah lebih lapan kerusi pada PRU-13 yang lepas? Bahkan Umnolah parti yang mendahului zamannya dan progresif, dengan formula kerjasama pelbagai kaum yang meliputi semua, bukan sahaja yang di bandar mahupun di desa, yang berharta mahupun yang berkelana. Umnolah jua parti yang menerajui perpaduan tanahair.

40. Ini sejajar dengan pendekatan wasatiyyah yang dibawa presiden – pendekatan yang sederhana, pertengahan, seimbang dan adil. Falsafah yang datang dari agama suci Islam kita sendiri, menjadi petunjuk kepada satu model kepimpinan negara yang bijaksana dan berhikmah,sesuai dengan tuntutan realiti kepimpinan dalam sebuah masyarakat majmuk. Dalam konteks ini, konsep wasatiyyah yang diterajui presiden di negara kita amat penting dalam menolak pendekatan ekstrim atau melampau, sekaligus menghancurkan formula kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

41. Malah jika kita imbas sejarah tamadun manusia pun, persoalan falsafah kesederhanaan ini sudah lama bertapak di kalangan tokoh-tokoh pemikir dunia. Tokoh falsafah Yunani, Aristotle, menulis lebih 2000 tahun dahulu mengenai Golden Mean yang mencari titik tengah antara dua kutub, mencari ramuan seimbang antara dua baku. Serupa juga dengan konsep Middle Path yang diikuti oleh penganut agama Buddha, di mana mereka percaya bahawa kunci kepada keamanan jiwa dan rohani bila seseorang itu tidak terserong dengan godaan nafsu melampau.

42. Natijahnya, prinsip haluan tengah inilah yang patut kita amalkan dalam mencorak pendekatan Pemuda hari ini. Malah, konsep dan budaya sederhana ini bukan asing kepada kita – jauh sekali, ia jelas tercatit dalam perjuangan awal bapa-bapa kemerdekaan.

43. Jangan terpadam dalam ingatan, ketika mana pemimpin Umno, Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan meneroka era baru kemerdekaan negara, mula-mula di bawah gerbang Perikatan, kini Barisan Nasional. Kegemilangan dan kerjasama ini bukannya ditempa atas dasar pura-pura atau sekejap cuma, tetapi termeterai demi maslahat besar kepentingan majmuk dan nusa. Sesungguhnya, benih pendekatan progresif ini sudah lama tertanam, jadi darah daging parti kita. Berbekal azam dan formula baru, kita bina satu era kegemilangan yang progresif untuk Umno – kekal memimpin negara untuk tahun-tahun mendatang.

Sidang perwakilan sekalian,

44. Semua usaha yang saya gariskan tadi – menyentuh pendekatan, kegigihan, keadilan ke arah kembali ke zaman kegemilangan – hanya mampu tercapai sekiranya diiringi oleh proses pemantapan organisasi. Maka, saya menyifatkan usaha dalaman ini sebagai salah satu agenda utama saya untuk penggal mendatang. Pemantapan organisasi yang saya maksudkan adalah tertumpu kepada modal insan Pemuda itu sendiri, mengukuhkan kekuatan akar organisasi kita, yakni pemimpin di peringkat bawahan.

45. Kemampuan modal insan di peringkat pimpinan atasan sahaja tak memadai. Sebaliknya, Pemuda di peringkat cawangan juga harus diberi nafas dan iltizam baru melalui kursus-kursus kepimpinan dan pemantapan organisasi. Atas semangat yang sama, presiden telah bersetuju dengan cadangan Pemuda menubuhkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI),sempena penghormatan kepada Ketua Pemuda yang pertama. AKHI akan menjadi pusatpengkaderan pemimpin-pemimpin masa depan – sekaligus memastikan generasi seterusnyakekal unggul dalam meneraju Pemuda dan Umno pada masa akan datang.

46. Agenda peningkatan modal insan Pemuda juga memperlihatkan beberapa usaha baru diperingkat Exco. Saya telah melantik dua individu profesional dalam umur 20-an dari luar struktur tradisi parti, dan buat pertama kalinya, wakil dari mahasiswa tempatan diberikan ruang untukberucap di perhimpunan kita. Biro-biro juga telah disyaratkan melantik sekurang-kurangnya seorang profesional muda berumur 20-an dan seorang mahasiswa, di mana kaedah ini insya-Allah, akan memudahkan proses peremajaan parti melalui pembabitan muka-muka baru. Untuk menunjang pencapaian, setiap biro akan diukur menurut skala KPI masing-masing. Apa yang kita mahukan adalah prestasi dan pencapaian dari saudara-saudara yang berada atas pentassekarang.

47. Semua usaha ini adalah untuk menyediakan landasan menuju kegemilangan. Kemampuan pemimpin-pemimpin dari kilang Pemuda telah diiktiraf parti, bahkan kita mengucap terima kasih kepada perwakilan parti induk, kerana memilih tiga mantan Pemuda ke Majlis Tertinggi baru-baruini. Ia merupakan penghargaan besar kepada seluruh jentera Pemuda. Tetapi kita perlumeningkatkan modal insan supaya kepimpinan Pemuda masa hadapan terus dilihat sebagaisumber kekuatan kepada parti. Kelangsungan Pemuda besok adalah amanah dantanggungjawab kita selaku pemimpin Pemuda hari ini. Sedarlah, kejayaan seseorang pemimpin diukur bukan hanya melalui pencapaiannya sewaktu memegang jawatan, tetapi juga melalui apa yang ditinggalkan kepada organisasi dan juga kewibawaan penggantinya.

Sidang perwakilan sekalian,

48. Sebagaimana tradisi sanawi setiap ucapan dasar saya di Perhimpunan Agung Pemuda Umno, sekali lagi Pemuda membawa cadangan-cadangan bernas untuk dipertimbang, dan kalau elok boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

49. Menjunjung prakarsa sulung tahun ini, Pemuda menyambut baik Agenda PemerkasaanBumiputera yang menjadi contoh afirmatif, bahawa kita tidak pernah bersifat rasis. Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah diumumkan oleh presiden September lalu, adalah pelan tindakan menyeluruh untuk menaik taraf tahap sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera, berlandaskan prinsip keadilan sosial. Agenda ulung itu langsung tidak mencantas hak orang lain, malah, apa yang kita usahakan adalah untuk memastikan kek ekonomi dapat dibesar dan diagihkan dengan adil untuk kemakmuran bersama.

50. Walaubagaimanapun, Agenda Ekonomi Bumiputera ini tidak akan berjaya selagi dikekang halangan-halangan yang sama ada sengaja atau tidak sengaja didirikan untuk membantutkan kemajuan orang Melayu. Sebagai contoh kajian yang dibuat oleh Dr Mohammed Abdul Hamid dari UKM dan Dr Lee Hwok Aun dari UM, mendapati amalan pilih kasih dan diskriminasi masih berleluasa terutama dalam syarikat bukan Bumiputera terhadap pekerja Bumiputera. Menurut kajian tersebut, sungguhpun menepati dari segi merit dan kelayakkan, rata-rata Bumiputera tidak menerima perhatian yang sewajarnya. Malah ada yang dapat gaji yang kurang berbanding dengan pekerja lain yang sama kebolehan atau kelayakan. Apa yang lebih menyedihkan, kita sering nampak iklan-iklan pekerjaan yang terang-terang mengutamakan satu bangsa sahaja, dan menganaktirikan bangsa lain.

51. Diskriminasi ini harus segera dikekang, jadi Pemuda menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa perkara seperti ini tidak lagi membantut usaha Kerajaan untuk melihat lebih ramai professional Bumiputera di sektor swasta. Kita akur mungkin ada yang berkata bahawa dalam aspek pengambilan pekerja, kaum Bumiputera lebih diutamakan di sektor awam. Tetapi dari segipengurusan kanan, semakin ramai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian dilantik dari kaum bukan Bumiputera. Malangnya hingga kini, kita masih susah sangat untuk melihat seorangpun ketua pegawai eksekutif Melayu, di syarikat-syarikat milik kaum lain.

52. Cadangan kedua tahun ini melibatkan aspek keusahawanan – ramai kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G7, merungut tentang kekurangan kerja. Sungguhpun macam-macam projek mega diumumkan kerajaan, mereka masih ketinggalan dan perlu diberi peluang. Sehubungan dengan itu, Pemuda meminta kerajaan untuk mempelbagaikan projek-projek berskala kecil melalui inisiatif Unit Pemerkasaan Bumiputera. Pada masa yang sama, kita cari jalan untuk menambahkan peluang kepada kontraktor kecil dan sederhana yang berwibawa, agar mereka dapat menyerta projek berskala besar menerusi proses pengecilan kerja dan carving out.

53. Beralih pula kepada cadangan yang ketiga. Pemuda meminta kerajaan mengkaji semula pendekatan syarikat di bawah seliaan kerajaan untuk membeli barangan pembinaan seperti simen, batu, pasir dan besi, sebagaimana model terdahulu iaitu Pernas dan UDA Trading. Langkah ini boleh membantu kontraktor binaan mengatasi kekangan penawaran bahan dan harga. Namun demikian, pendekatan baru yang tuntas perlu diadakan untuk membantu usahawan yang benar-benar mahu berjaya – bukan yang mahu jadi broker saja. Cadangan ini sebenarnya sudah lama diperjuangkan tetapi masih belum jadi realiti. Pemuda meminta kerajaan menyegerakan penubuhan satu entiti yang dapat membeli bahan pembinaan dengan pukal dan menjualnya kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana pada harga berpatutan.

54. Dalam melestarikan tradisi sebagai pejuang orang muda, Pemuda juga mendesak agar penekanan dapat ditingkatkan dalam bidang vokasional dan kemahiran. Bagi Pemuda, inilah juga agenda bangsa yang sebenar. Latihan kemahiran bukan sahaja dapat menempa ruang kerjaya, tetapi mampu mengubah masa depan anak bangsa. Jangan kita lupa, tidak semua anak-anakmuda kita berkeinginan untuk melanjutkan pengajian akademik di peringkat lebih tinggi. Untuk yang tidak sampai ke menara gading, laluan alternatif perlu disediakan. Sebagai Menteri Belia dan Sukan yang memayungi institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara atauIKBN, saya amat mengerti masalah ini.

55. Saya berterima kasih kepada presiden yang telah bersetuju untuk menambahpengambilan pelatih IKBN sebanyak lima ribu lagi. Kualiti dan kepelbagaian latihan sertapembelajaran IKBN juga akan ditingkatkan sewajarnya. Walaubagaimanapun, Pemudamenyarankan supaya jumlah pengambilan pelatih kemahiran dapat digandakan lagi,memandangkan pelajar lepasan SPM setiap tahun mencecah hampir 500 ribu orang. Daripada jumlah ini tak sampai 40 peratus yang dapat masuk ke IPT. Apa pula tindakan kita untuk 60 peratus yang tak dapat masuk IPT? Mestilah kerajaan menyediakan lebih tempat di institusi-institusi latihan awam supaya mereka ini juga ada masa depan yang cerah dan tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan.

56. Dan yang kelima, kerajaan telah menyediakan macam-macam peruntukan dan kemudahan untuk golongan petani, nelayan dan penternak – yang majoritinya adalah golongan Bumiputera. Walaubagaimanapun, objektif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan ini tumpul dekkerenah orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan. Faktor ini juga menyebabkan harga makanan di pasaran lebih tinggi daripada sepatutnya, yang mana mendatangkan beban besar kepada rakyat. Dalam hal ini, Pemuda menggesa agar rantaian nilai produk pertanian dapatdikuasai oleh golongan petani, nelayan dan penternak itu sendiri, dengan bantuan agensikerajaan yang berkaitan. Pemuda menyokong usaha Menteri Pertanian dalam memerangi gejala orang tengah, yang telah sekian lama membantutkan usaha kerajaan memajukan petani kecil dan menghalang penurunan harga barang-barang perlu. Selain itu, sistem AP bagi produk pertanian perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka, agar tidak wujud monopoli atau kartel yang akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Melalui langkah-langkah terperinci ini, Pemuda yakin rakyat akan memperolehi manfaat dari segi harga pasaran yang lebih berpatutan.


57. Begitu juga apabila kita menyentuh soal rasionalisasi subsidi. Ya, Pemuda akur bahawa demi kelangsungan dan kemampanan ekonomi, subsidi perlu distruktur semula, supaya tidak bersifat pukal dan lebih menjurus kepada mereka yang memerlukan. Dalam semangat yang sama, konsisten pula dengan cadangan yang dibawa oleh Pemuda tahun lalu, kami menggesa agar kerajaan mengkaji semula sistem kebajikan yang ada sekarang. Jika perlu, kita rombakmekanisme sedia ada, kita tambah peruntukan bulanan, agar ianya benar-benar membantugolongan yang memerlukan.

58. Bayangkan, ada satu kes di Kampong Bongek Tengah, di kawasan parlimen saya sendiri. Seorang ibu tunggal, berumur 64 tahun, sudahlah anaknya ramai lapan orang, yang ketujuh pula OKU dan mampu terlantar saja. Si ibu tak bekerja demi menjaga anak, tapi tuan-tuan bayangkan, bantuan kebajikan yang diterima hanya RM300 sebulan sahaja. Apalah yang boleh dibeli, apa yang mampu ditampung dengan RM300 itu? Nak makan pun tak cukup, apalagi nak beli ubat atau lampin. Justeru, nilai bantuan kebajikan perlu dikaji semula supaya dalam kes-kes tertentu apa yang dihulurkan benar-benar dapat meringankan beban yang ditanggung.

59. Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan. Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit jumlahnya. Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata. Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa.

60. Seterusnya yang ketujuh, saban tahun kita dengar laporan Ketua Audit Negara yangmendedahkan salah laku dan kecuaian dalam menguruskan aset atau perbelanjaan negara.Pemuda memandang serius hal ini dan mendesak agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terbukti bersalah. Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera. Ini bagimembolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.

61. Isu yang kelapan ini sebenarnya tidak baru. Sebagaimana tahun lalu, Pemuda sekali lagi menyentuh isu perumahan yang merupakan masalah ruji anak muda hari ini. Kita sambut baik langkah Kerajaan mengadakan Program Rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin. Tapi kerajaan mesti menambah jumlah rumah transit ini, kerana setakat 632 unit yang bakal dilancarkan tahun depan, itu tidak mencukupi berbanding dengan keperluan yang amat mendesak. Bagi tujuan ini, Pemuda memohon agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta DewanBandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi generasi muda.

62. Kesembilan, dalam aspek hal ehwal bandar, Pemuda mengalu-ngalukan langkah kerajaan yang akan menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di 148 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seluruh negara. Moga-moga JPP yang dilantik akan menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk bandar dan pinggiran bandar bersama kerajaan – sama seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk kawasan luar bandar. Namun demikian, memandangkan ramai anak muda bermastautin di bandar, Pemuda harap agar ada kuota khas untuk golongan muda dalam setiap JPP 20 atau 30 peratus, supaya isu dan keperluan mereka akan dapat diambilkira oleh kerajaan.

63. Akhir sekali, Pemuda mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini. Jangan sesekali ada yang mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa. Ini suatu penjarahan terhadap kedaulatan serta maruah negara kita. Lantaran itu, Pemuda menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan. Pada masa yang sama, kita mesti tahu adakah negara punyai kapasiti untuk mengesan hubaya mengintip di peringkat awal lagi. Jika perlu, negara harus melaburkan wang untuk menambahbaik sistem mengesan dan memantau pengintipan asing. Kita tidak boleh ambilpendekatan acuh tak acuh dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

64. Dewasa ini, makin jelas tembelang pembangkang di mata rakyat. Kalau dulu mereka pukul canang, Selangor paling hebat dalam mengamalkan pentadbiran berhemah dan berjimat-cermat, kini tindakan kerajaan Selangor menaikkan gaji Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka sehingga ratusan peratus, apa pula ceritanya? Takkan itu juga demirakyat?

65. Matematik saya senang saja, kalau gaji Speaker Selangor RM22,500 sebulan, bermakna setahun RM270,000. DUN Selangor pula bersidang kira-kira, kita ambil purata, 30 hari dalam setahun. Malahan tahun lalu, persidangan DUN Selangor hanya sebanyak 21 hari sahaja. Dengan sehari saja speaker bertugas, sudah dapat RM9,000. Gaji Menteri Besar usah cerita, lagi banyak daripada gaji Perdana Menteri yang menjaga satu negara. Pihak pembangkang ini macam bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.

66. Ego dan keceluparan pembangkang pula tiada batas. Semakin lama berkuasa semakin angkuh dan bongkak. DAP apabila tak kena gaya, mereka tak teragak-agak untuk memanggil penjawat awam atau sesiapa saja “anjing” atau “kucing kurap”. Bila minta maaf pun nampak sangat tak ikhlas.

67. Itu baru kes celupar, belum kes Karpal Singh mahu mengharamkan parti politik berasaskan kaum dan agama di negara ini. Terus naik angin Dewan Pemuda PAS dibuatnya. Sekarang, barulah PAS sedar dan lihat belang sebenar DAP, sehingga tercetus semula isu untuk muzakarah dengan Umno. Pemuda Umno tidak menolak apa-apa kebarangkalian, cuma harapnya janganlah idea muzakarah itu sekadar untuk menggertak DAP, tetapi lahir ikhlas dari hati PAS sendiri. Bagi Pemuda Umno, ia satu langkah yang murni ke arah impian menyatupadukan orang Melayu, demi kelangsungan survival ummah, bangsa dan agama.

Anak punai anak merbah

Terbang turun meredah awan

Umno dan PAS satu ukhwah

Rapatkan jurang berpisah jangan

Saudara-saudara sekalian,

68. Walaupun kepincangan pembangkang semakin nyata, jangan hanya kita bersandarkan kepada kelemahan mereka untuk menang dalam pertaruhan akan datang. Biarkan si luncai terjun dengan labunya tetapi kita mesti mara dan berjuang atas kekuatan kita sendiri. Kita mestimenang bukan atas kekurangan musuh tetapi atas kehebatan kita sendiri. Tetapi jangan kita ingat perang yang akan datang itu sesuatu yang mudah. Kita berada dalam persekitaran politik yang amat mencabar. Betul kita menang PRU lepas tetapi kita masih tidak dapat menebus maruah kita sepenuhnya. Di bandar kita ketinggalan, undi bukan Bumiputera kita ketinggalan,undi popular pula tidak memihak kepada kita. Jangan kita nafikan kelemahan yang nyata.

69. Empat tahun bukanlah satu masa yang lama, dalam sekelip mata sekali lagi kita kembali kepada rakyat untuk menentukan survival parti. Tetapi Umno tak pernah gentar dengan cabaran. Kita tak pernah lekang dari diuji dan telah bangkit berkali-kali dalam sejarah. Ingatlah, perananPemuda penting untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di PRU-14. Saudara semuatelah memberi mandat yang besar untuk saya kekal sebagai Ketua Pemuda, tetapi saya tidak mampu melaksanakan tangggungjawab ini sendirian. Saya pohon bantuan anda semua, saya perlukan kita semua bersatu, hanya dengan bersatu kita mampu mengatasi cabaran mendatang.

70. Dalam seiras semangat juang, bangunlah anak bangsa jangan kau diam. Kita kerah segala kudrat atas nama perjuangan, atas nama melunas amanah, membangun nusa dan membela bangsa. Membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, tetap cekal walau jalan berliku.

71. Janganlah kau gentar wahai orang muda, walau sebesar mana badai melanda, walau setinggi mana puncak cita-cita, walau jauh beribu batu, walau sepanas mana lautan api –kita Pemuda Umno tetap tidak berganjak, sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah merdeka.

Saudara-saudaraku sekalian,

Jika ditanya siapa kita, siapa kita?

Kitalah sayap hulubang parti,

Kitalah penabur khidmat dan bakti

Kita bangkit bila jatuh, berjalan kita dengan tegap, berlari kita dengan memecut,

Kitalah pejuang paling hadapan,

Kitalah denyut dan nadi anak watan,

Kitalah penegak kewarasan iltizam,

Kitalah nakhoda meredah zaman,

Kitalah sayap Pemuda Umno!

Post a Comment

0 Comments