Oleh : Md. Asham b. Ahmad, Felo Pusat Kajian Undang-undang, Shariah dan Politik (Institut Kefahaman Islam Malaysia)
Zaman ini adalah zaman orang menuntut hak dan kebebasan. Di sana sini riuh rendah golongan itu dan ini menuntut apa yang didakwa hak mereka, yang mesti diserahkan dan dibebaskan dari belenggu itu dan ini. Salah satu hak yang heboh diperdebatkan akhir-akhir ini ialah apa yang dikatakan hak orang Kristian menggunakan kalimah ‘Allah' bagi merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh mereka. Mereka mendakwa itu hak mereka, justeru mereka mesti diberi kebebasan memperlakukan apa sahaja dengan kalimah itu.
Pastinya mereka telah mengemukakan hujah mereka bagi mempertahankan ‘hak' itu, dan tidak kurang golongan Muslim sendiri yang termasuk golongan ustaz-ustaz yang memperakui kebenaran hujah itu serta menyokongnya pula. Di antara mereka ialah ustaz-ustaz politik yang hanya melihat keuntungan politik dari masalah ini. Akibatnya, belumpun mahkamah memutuskan apa-apa umat Islam di negara ini sudah berkecamuk fikirannya dan berpecah-belah pandangannya.
Hujah utama yang dikemukakan bagi mempertahankan hak orang Kristian itu ialah bukti sejarah, bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga kini. Justeru, mereka berhujah, orang Islam, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya.
Sebelum kita mematahkan hujah yang dikemukakan itu perlu dinyatakan dua perkara dasar: pertama, bahawa isu ini berkait dengan penggunaan kalimah ‘Allah' dalam bahasa Melayu, yakni salah satu dari bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Islam; kedua, hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu tidak lain dari hakikat yang dimaksudkan oleh kalimah itu, justeru menjadi kesalahan bagi seseorang yang meletakkan gelar Ir. di hadapan namanya jika dia bukan seorang jurutera, dan dia tidak boleh mendakwa itu haknya.
Hujah di atas boleh dipatahkan dengan jawapan-jawapan berikut.
Pertama: kalimah Allah adalah nama khas, bukan kata terbitan dari mana-mana perkataan Arab. Justeru ia bukan boleh digunakan sebagai kata ganti bagi menterjemahkan sesuatu perkataan dari bahasa lain. Sebagai bandingan seorang yang bernama Mr. Black tidak boleh ditukarkan namanya kepada Encik Hitam kalau kita berbicara tentangnya dalam bahasa Melayu kerana nama itu adalah nama khas yang merujuk kepada orang yang tertentu.
Kedua: memang benar kalimah itu telah sedia wujud dan digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, akan tetapi itu tidak bermakna mereka memahami maknanya yang hakiki. Sebaliknya mereka telah mensyirikkan maknanya sehinggakan kalimah Allah yang mereka sebut itu sudah hilang hakikatnya, yakni mereka menyebut Allah, tetapi mereka maksudkan yang lain. Contohnya: sekiranya yang dimaksudkan itu ialah Tuhan yang beranak atau diperanakkan maka itu bukanlah Allah, kerana Allah Maha Esa, tidak beranak mahupun diperanakkan. Sekiranya mereka berkeras dengan pendapat mereka walaupun setelah nyata kebenaran maka itu adalh pendustaan dan kekufuran. Justeru al-Qur'an mengisytiharkan: "Sesungguhnya kufurlah orang-orang yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga" (al-Ma'idah: 73). Mereka kufur kerana apa yang mereka katakan tentang Allah itu tidak benar, dengan kata lain apa yang mereka maksudkan itu bukanlah Allah.
Ketiga: kedatangan Islam adalah bagi menyucikan kalimah itu dari penyelewengan makna yang telah berleluasa dan berlarutan zaman-berzaman. Justeru Islam datang dengan kalimah tayyibah (kalimah yang elok): la ilaha illallah, yang mengandungi penafian segala kepalsuan yang dinisbahkan kepada Allah dan pengistabatan bahawa yang layak disembah hanyalah Allah. Adalah jauh dari kebenaran mereka yang mendakwa Islam tidak pernah melarang sesiapapun menggunakan kalimah Allah. Bukankah syirik kemungkaran terbesar yang diperangi oleh Islam? Sesiapapun yang mensyirikkan Allah pada hakikatnya telah memalsukan makna kalimah itu walaupun mereka tetap menuturkannya.
Keempat: oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa Islam, makna yang diisbatkan bagi kalimah Allah ialah makna yang dikehendaki oleh al-Qur'an. Justeru, usaha memberikan makna yang lain bagi kalimah itu mesti dianggap sebagai usaha merosakkan bahasa Melayu, dan oleh itu menjadi tanggungjawab orang-orang Melayu dan kerajaan yang dipimpin mereka memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidupnya.
Dalam kekalutan menghadapi acahan ini kita melihat langkah sumbang para ustaz yang diharapkan oleh masyarakat ke hadapan meleraikan kekeliruan mereka. Seorang ustaz berkata: bahasa dan kalimah yang disebut tidak penting dalam soal akidah Islam. Penyelesaiannya, ujar beliau, ialah dengan merujuk kepada al-Qur'an dan Sunnah, dan mencari hukum dari kedua sumber ini.
Daripada ustaz ini harus dituntut penjelasan apakah perbezaan antara kalimah yang baik (kalimah tayyibah) dengan kalimah yang keji (kalimah khabithah) kerana al-Qur'an sendiri membangkitkan persoalan ini (Ibrahim: 24-27), dan menegaskan bahawa "Allah menetapkan hati orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang sabit (yakni la'ilaha illallah) dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim".
Apa yang ustaz itu katakan adalah suatu kekeliruan kerana akidah yang benar tidak boleh dipisahkan dari kalimah yang benar. Alangkah berlawanan sekali apa yang dikatakan itu berbanding seruannya agar umat Islam kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah sedangkan apa yang tercatat pada keduanya itu tidak lain dari kalimah-kalimah!
Ustaz yang sama juga dengan semberononya menyalahkan ilmu kalam sebagai punca kelemahan akidah kaum Muslimin hari ini. Pada hakikatnya para ustaz yang jahil ilmu kalam seperti beliaulah yang menjadi punca kemerosotan pemikiran Muslim hari ini. Mereka ini, lantaran kejahilan sendiri, telah memusuhi ilmu kalam dan ahlinya (mutakallimun) yang banyak berjasa itu. Bagaimana boleh dimusuhi ilmu yang memberikan keahlian kepada seseorang bagi memahami Kalam Allah?
Para mutakallimun adalah orang-orang yang amat menginsafi hakikat bahawa bahasa tidak boleh dipisah dari akal. Justeru al-Qur'an diturunkan dalam bentuk bahasa kepada makhluk Allah yang berakal kerana hanya yang berakal mampu memahami dan memanfaatkan bahasa. Sebagaimana Allah mengajarkan kita agamanya dengan perantaraan bahasa demikian jugalah kita menyampaikannya kepada seluruh manusia. Adakah bahasa yang lebih baik dari yang disusun menurut tertib berfikir yang sihat?
Kerana bahasa juga menjadi alat menyebarkan pemikiran dan akidah yang sesat. Di sinilah sumbangan besar ilmu Kalam dan para mutakallimun. Mereka mara ke hadapan menghadapi ancaman pemikiran asing menggunakan bahasa bertertib logik bagi mengisbatkan tawhid dan menghancurkan syirik.
Syirik dalam bentuk penyembahan berhala amat mudah difahami walaupun oleh si badwi yang hidup berkelana di padang pasir. Akan tetapi Islam bukan diturunkan hanya untuk orang yang tahap pemikirannya seperti si badwi itu. Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan dikurniakan ilmu kepada darjat-darjat yang berbagai (al-Mujadalah: 11) kerana tahap akal dan kefahaman mereka tidak setaraf.
Persoalan yang mendasari perbezaan antara agama khususnya antara agama Islam dan Kristian memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap dasar-dasar pemikiran, yakni falsafah. Asas-asas pemikiran yang mendasari Kebudayaan Barat yang begitu berpengaruh pada hari ini juga adalah berakar-umbikan falsafah. Justeru, bagi menghadapi mereka ilmu kalam dan tradisinya perlu dihidupkan kembali bukan diperangi dan diperlekehkan.
Unsur-unsur syirik yang terkandung dalam falsafah dan ideologi tidak mungkin difahami oleh si badwi dan orang-orang yang memiliki tahap pemikiran setaraf dengannya. Demikian jugalah tawhid, ia hanyalah omongan kosong jika diserahkan pengajarannya di tangan orang yang bukan sahaj tiada kewibawaan tetapi juga terlalu bongkak untuk mengenali dan mengakui empunya wibawa yang sebenar. Inilah masalah sebenar kita
Artikel ini telah diterbitkan pada 07 Mei 2008 di akhbar Utusan Malaysia
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.