Oleh : Beruang Biru
Pertelingkahan antara Khalid Ibrahim dan Azmin Ali sudah tidak boleh dibendung lagi dan kini sudah menjadi perang mulut secara terbuka.
Malangnya ketua umum PKR, Anwar Ibrahim gagal menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk menyelesaikan masalah dalaman partinya sehingga membarah ke peringkat sekarang.
Jika Anwar tidak mampu memimpin sebuah parti yang kecil, bagaimana hendak menjadi nakhoda kepada pakatan pembangkang apatah lagi memimpin negara sebagai perdana menteri?
Isu berlaga angin antara Menteri Besar dan Azmin bukannya perkara baru.
Ia bermula sejak pasca Pilihan Raya Umum 2008 apabila Khalid di angkat oleh Anwar sendiri sebagai menteri besar.
Jawatan itu sememangnya menjadi idaman Azmin tetapi beliau dikecewakan oleh bos kesayangannya sendiri apabila tidak menjadi pilihan.
Perasaan dendam yang membuku di hati Azmin akhirnya terkeluar juga apabila tekanan demi tekanan dipaksa ke atas Khalid sehingga beliau terpaksa melepaskan jawatan Pengerusi PKR Selangor.
Jadi berlakulah senario di mana Selangor mempunyai dua 'menteri besar' - satu yang dilantik secara rasmi dan satu lagi berlagak seperti menteri besar.
Namun cara mana sekali pun Azmin cuba memalukan Khalid dengan apa jua cara pun, menteri besar tetap berdiri teguh.
Jawatan Azmin menerajui PKR Selangor tidak lebih daripada posisi politik yang kosong tanpa kuasa ekonomi yang dipegang erat oleh Khalid.
Jadi Azmin dan kuncu-kuncunya bolehlah menyalak sekuat hati mengkritik sehebat mana terhadap menteri besar tetapi sedikit pun ia tidak menggugat atau menggoncang kedudukan Khalid.
Yang menjadi masalah apabila ahli politik bergaduh, penjawat awam yang menjadi mangsa.
Apabila timbalan presiden PKR itu digugurkan sebagai anggota lembaga pengarah PKNS semua jari menuding kepada Khalid tetapi ini dinafikan beliau.
Khalid menjelaskan itu bukan kerja beliau dan merujuk perkara ini kepada pengurus besar dan penasihat undang-undang PKNS.
Anwar pun masuk campur dan berkata tidak bersetuju dengan tindakan terhadap Azmin tetapi setakat itu saja lah yasng termampu oleh penasihat ekonomi Selangor itu seperti melepaskan batuk di tangga.
Apa pun Setiausaha Kerajaan Negeri telah berkata keputusan memecat Azmin dari PKNS adalah muktamad dan tidak boleh dipertimbangkan lagi.
Akhirnya dua pegawai tinggi PKNS tersebut menjadi mangsa kemelut politik Khalid-Azmin dan mereka ditukarkan serta merta ke SUK.
Persoalan utama yang patut ditanya oleh semua pihak bukannya tindakan PKNS menggugurkan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah tetapi mengapa tindakan drastik dan mengejut itu diambil.
Pernah satu ketika Azmin merajuk dalam pertikaiannya dengan Khalid sehingga memaksa beliau menghantar surat perletakan jawatan dari PKNS namun setelah dipujuk Anwar surat itu ditarik balik.
Jadi sebenarnya Azmin tidak kisah pun samada beliau berada di dalam PKNS kerana pernah berhasrat untuk berhenti.
Jadi kenapa pula kali ini apabila benar-benar hasrat beliau termakbul mahu buat bising pula?
Apa sebenarnya yang berlaku di belakang tabir dan juga di dalam bilik mesyuarat lembaga pengarah PKNS sehingga tindakan tersebut diambil.
Khalid dikenali ramai sebagai seorang yang kedekut dan mentadbir Selangor seperti badan korporat kerana pernah menjadi CEO Guthrie sebelum menceburi politik dahulu.
Azmin pula dikenali sebagai ahli politik yang licik, rakus dan bercita-cita besar dan dengarnya makan pun besar.
PKNS merupakan sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang terbabit secara aktif dalam pembangunan hartanah di Selangor sejak ia ditubuhkan.
Jawatan ahli lembaga pengarah PKNS adalah bagai bulan jatuh ke riba kerana sesiapa pun menjadi ahli lembaga pengarah akan terbuka kepadanya banyak peluang untuk menggaut kekayaan.
Adalah ini puncanya Azmin di pecat apabila menteri besar yang 'telus' dan 'transparen' itu telah menghidu Azmin telah melakukan sesuatu bagi kepentingan dirinya di belakang beliau?
Mungkin maklumat telah sampai kepada Khalid daripada orang kuatnya, Faekah Husin yang kini diletakkan sebagai bos nombor satu di MBI bagi mengawal semua anak-anak syarikat termasuk PKNS?
Adalah Azmin telah melakukan penyelewengan kuasa di dalam PKNS sehingga informasi ini dijadikan senjata untuk menyahkan beliau dari organisasi itu?
Seharusnya menteri besar, Faekah dan PKNS bersikap telus dan transparen di dalam isu pemecatan Azmin. Ketiga-tiga pihak itu harus memberitahu rakyat mengapa Azmin dipecat.
Sebagai sebuah kerajaan negeri yang sentiasa mewar-warkan nilai-nilai keadilan dan ketelusan dan segala tindak tanduknya inilah masa untuk berbuat demikian.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.