Oleh : Jebat

Assalamualaikum para pembaca yang budiman. 


 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا (٣)

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu Jadi agama bagimu.” (Al-Maaidah: 3)


تَرَكْتُ فِيْكُمْ  اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ.

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya"
(H/R Muslim (2137) Al-Haj.  Abu Daud (1628).  Al-Mnasik, Ibn Mahaj  (3060) al-manasik.)

Kami rasa rakyat Malaysia sudahpun terbuka dalam menilai sesuatu perkara. Dapat menilai pihak mana yang berhujjah bersandarkan hawa nafsu dan akal, dan pihak mana pula yang berdasarkan Al-Quran dan Hadis.

Berdasarkan kajian, pembacaan, dan penelitian kami dalam beberapa buah buku yang membahaskan mengenai persoalan maulid ini, tidak didapati satupun hujjah yang membawa bukti bahawa sambutan Maulid Nabi S.A.W ini pernah dicontohi oleh Nabi dan juga para sahabat baginda. Namun apa yang kami jumpai pula, Maulid Nabi ini mula disambut oleh pengikut fahaman Syiah ketika era pemerintahan dinasti Fatimiyyah di Mesir. Pada mulanya ianya disambut untuk mengenang Rasulullah namun akhirnya mereka meraikan kematian Zainab, Ali, Hassan dan Hussin. Pada hari tersebut mereka bersuka ria, bersyair dan mengadakan jamuan.

Lagipun wahai saudara-saudaraku, Nabi S.A.W meninggal dunia pada tarikh yang sama beliau dilahirkan. Maka apakah pula justifikasi kita bersuka ria ataupun bersedih pada sambutan ini?

Kami yakin, anda semua cintakan Rasulullah S.A.W. Jadi marilah kita mencintai Nabi kita yang mulia SETIAP HARI dan tanpa mengkhususkan hari-hari yang tertentu.

Mengambil jalan selamat, kami ingin mengajak saudara-saudara pembaca sekalian agar mengikuti sahaja sunnah nabi yang telah jelas dalilnya. Dan dalam bab-bab yang meragukan ini, adalah baik ditinggalkan.

Semoga ALLAH menyelamatkan diri kita semua di dunia dan akhirat.