[JOM BELAJAR ILMU POLITIK - SIRI 1] : ANALISIS POLITIK

Oleh : K. Ramanathan 

Secara umumnya, tiada sesiapa pun yang dapat mengecualikan diri sepenuhnya dari terlibat dengan politik. Seorang rakyat terlibat dalam politik di negaranya, bandar, sekolah, firma perniagaan, persatuan perdagangan, kelab, parti politik, pertubuhan sivik dan lain-lain lagi.


Tujuan seseorang menganalisa politik ialah kerana analisa politik membantu seseorang memahami tentang sesuatu keadaan untuk membuat pilihan yang paling bijak, seseorang itu perlu berhati-hati memilih arah atau tujuannya dan perlu meningkatkan pencapaiannya sebanyak mungkin.

Ada empat orientasi berhubung tindakan politik : 

1) Orientasi empirik : Sesuatu keadaan itu dikaji dengan cara yang sistematik untuk mendapatkan sesuatu gambaran, menerangkan dan meramalkan sesuatu peristiwa. Para pengkaji cuba mendapatkan penemuan dan menghuraikan secara statistik, probabiliti, fungsional dan hubungan yang menjadi sebab dalam sesuatu peristiwa dan lain-lainnya.

2) Orientasi normatif : Penilaian atau ukuran yang dibuat berdasarkan nilai. Dalam analisis politik, sesuatu itu berlaku berdasarkan kepercayaan bahawa ia lebih baik dan yang lain. Keadaan yang normatif tidak boleh diuji secara saintifik kerana ia tidak boleh dibuktikan sama ada benar atau tidak benar. Analisa normatif adalah tindakan yang bersifat falsafah dan budaya.

3) Orientaso polisi : Analisis polisi melibatkan polisi atau tindakan untuk merapatkan jurang diantara satu hal yang wujud berkenaan negara dengan masa depannya yang lebih baik. Yang penting dalam orientasi polisi ialah pertimbangan mengenai berbagai pilihan dan kesan-kesannya.

4) Orientasi semantik : Tujuan analisa semantik ialah untuk menjelaskan maksud sesuatu konsep. Ia dikenali juga sebagai analisa konsep. Penjelasan tentang sesuatu maksud itu penting dalam analisa politik kerana konsep itu digunakan tidak berdasarkan definisi umum. Kerap kali maksud sesuatu konsep itu berbeza di antara ahli-ahli politik dengan ahli-ahli sains politik.

Jelaslah bahawa ahli-ahli sains politik sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan teknik-teknik analisa dan menggunakan kaedah-kaedah yang telah berkembang dalam berbagai disiplin. Berbanding dengan pendekatan-pendekatan deskripsi dan yang lebih bersifat tradisional, pendekatan analisa dalam kajian politik memberikan tumpuan kepada hubungan, sebab dan kesan peristiwa dan tindakan politik.

Bibilografi :

K. Ramanathan, 1988. Konsep asas politik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka 

Post a Comment

0 Comments