[JOM BELAJAR ILMU POLITIK - SIRI 2] : ANARKISME

Oleh : K. Ramanathan

Falsafah politik yang mengesyorkan penghapusan pemerintahan dan undang-undang. Walaupun berbagai kegiatan yang bercorak ekstremis berlaku tetapi kekerasan bukanlah menjadi sebahagian daripada doktrinya. Sekiranya kegiatan bercorak kekerasan berlaku, kedudukan pemerintah akan tergugat.

Golongan anarkis berpendapat bahawa manusia tidak memerlukan negara atau pemerintah. Mereka tahu apa yang penting, kerana mereka makhluk yang suka berkelompok dan rasional. Oleh kerana manusia mempunyai daya berfikir, dan dorongan moral, maka dia akan mendirikan satu masyarakat yang aman.

Ideologi atau falsafah ini mempunyai berbagai bentuk dan meliputi beberapa idea yang berbeza. Pendapat-pendapat tentang anarkisme dapat dilihat dalam beberapa golongan anarkis seperti Putera Peter Kropotkin (1824-1921); Mikhail Bakunin (1814-76); Leo Tolstoy (1828-1910); Max Stirner (1806-1856); Wiliam Godwin (1756-1836); William Morris (1834-96); Alaxender Berkman (1870-1936) dan ramai lagi.

Sepertimana dipertahankan oleh Alexander Berkman, "Anarkisme mengajar bahawa kita dapat hidup dalam masyarakat yang tidak mengenakan sebarang paksaan. Kehidupan tanpa paksaan pada hakikatnya bererti kebebasan : yakni kebebasan daripada dipaksa atau ditindas, dan seterusnya diberi peluang untuk hidup dalam keadaan yang paling sesuai." (Alexander Berkman, ABC of Anarchism. 3rd. ed. London : Freedom Press. 1964, p.10).

Pada dasarnya, andaian-andaian falsafah anarkisme bergantung kepada lima asas doktrinnya :

a) Manusia pada semula jadi dilahirkan bebas dan baik, tetapi keadaan sedemikian tidak bebas dan baik, tetapi keadaan mereka dicemari dan dirosakkan oleh institusi-institusi pemerintahan, agama dan keadaan politik.

b) Manusia merupakan satu makhluk yang sering berkelompok. Segala keperluan pula tercapai melalui sikap bekerjasama. Sikap ini pula akan dan telah mengalakkannya bermasyarakat. Pewujudan negara (pemerintah) tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakatnya.

c) Pengumpulan harta benda oleh orang-orang perseorangan serta institusi-institusi masyarakat yang wujud itu tidaklah semula jadi. Seterusnya kewibawaan yang terdapat di kalangan ahli masyarakat itu menyekat wujudnya manusia yang sempurna.

d) Perubahan masyarakat akan terjadi dengan sendirinya. Ini adalah kerana manusia atau masyarakat sendiri mengkehendakinya, dan bukan dirancangkan oleh mana-mana pihak pun termasuk negara.

e) Masyarakat yang bertamadun dan maju, menyekat wujudnya masyarakat yang sempurna.

Pada awal abad ini, falsafah ini mempunyai ramai penyokong. Kegiatan golongan yang berpegang kepada falsafah ini amat ditakuti. Kegiatan mereka yang bercorak ekstremis seperti membunuh pemimpin-pemimpin kerajaan atau pemerintahan telah menyebabkan kerajaan mengharamkan banyak kegiatan pertubuhan yang bersikap anarkis. Kerajaan Amerika Syarikat sendiri telah mengharamkan kemasukan golongan atau penyokong perjuangan anarkis. Dalam tahun-tahun 30an - 60an pengaruh serta kegiatan mereka hampir lenyap. Manakala pada tahun-tahun 70an pula pengaruh mereka menjelma semula terutama semasa pemberontakan pelajar-pelajar di Eropah Barat, Amerika Utara dan juga Asia.

Bibilografi :

K. Ramanathan, 1988. Konsep asas politik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka 

Post a Comment

0 Comments