LARANGAN HIDUP MEMBUJANG

Oleh : Abu Hafsh Usamah bin Kamal bin Abdir Razzaq

Erti tabattul (membujang), Imam an-Nawawi rahimahullah berkata: "Tabattul di sini ialah menjauhkan diri dari wanita dan tidak menikah kerana ingin terus beribadah kepada Allah."[1]

Hadis-hadis yang melarang hidup membujang cukup banyak, diantaranya :

1. Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dari Sa’ad bin Abi Waqqash Radhiallahu anhu, dia mengatakan: "Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menolak hal itu pada ‘Utsman bin Mazh’un. Seandainya baginda membolehkan kepadanya untuk hidup membujang, nescaya kami membujang."[2]

2. Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu, dia mengatakan: "Aku mengatakan: 'Wahai Rasulullah, aku adalah seorang pemuda dan aku takut memberatkan diriku, sedangkan aku tidak mempunyai sesuatu untuk menikahi wanita.' Tetapi baginda mendiamkanku. Kemudian aku mengatakan seperti itu lagi kepada baginda, tapi baginda mendiamkanku. Kemudian aku mengatakan seperti itu lagi, maka Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 'Wahai Abu Hurairah, pena telah kering dengan apa yang engkau temui (alami); mengebirilah atau tinggal-kan.'"[3]

Syeikh Mushthafa al-‘Adawi berkata -memberi komentar diatas sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam: 

"Mengebirilah atau tinggalkan"-: "Ini seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

‘Maka barangsiapa yang (ingin) beriman hendaklah dia beriman, dan barangsiapa yang (ingin) kafir biarlah dia kafir.' [Al-Kahfi/18: 29]

Dan ayat ini bukannya membolehkan kekafiran."[4]

Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu anhuma, ditemui oleh Sa’id bin Hisyam seraya bertanya kepadanya: 

"Aku ingin bertanya kepadamu tentang hidup membujang; bagaimana menurutmu?" Dia Aisyah Radhiallahu anhuma menjawab: "Jangan lakukan! Bukankah engkau mendengar Allah Azza wa Jalla berfirman :


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

‘Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum-mu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan...’ [Ar-Ra’d/13: 38]

Oleh kerana itu, janganlah engkau hidup membujang."[5]

Tidak Ada istilah Rahib Dalam Islam.

‘Aisyah Radhiallahu anhuma mengatakan “Aku menjenguk Khuwailah binti Hakim bin Umayyah bin Haritsah bin al-Auqash as-Salamiyyah, dan dia adalah isteri 'Utsman bin Mazh'un.” Ia melanjutkan: “Ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat keadaan tubuhnya yang buruk, baginda bertanya kepadaku: ‘Wahai ‘Aisyah, apa yang memperburuk keadaan Khuwailah?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah, dia seorang wanita yang mempunyai suami yang selalu berpuasa di siang hari dan bangun malam (untuk solat). Ia seperti orang yang tidak mempunyai suami. Oleh kerananya, dia membiarkan dirinya dan mensia-siakannya.’ 

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengirim utusan kepada ‘Utsman bin Mazh’un (agar dia datang menghadap). Ketika dia datang kepada baginda, maka baginda bertanya: ‘Wahai ‘Utsman, apakah engkau membenci Sunnahku?’ Ia menjawab: ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, bahkan Sunnahmu yang aku cari.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidur, solat, puasa, berbuka, dan menikahi beberapa orang wanita; maka bertakwalah kepada Allah wahai ‘Utsman, kerana isterimu mempunyai hak atasmu, tamumu mempunyai hak atasmu, dan dirimu mempunyai hak atasmu. Oleh kerananya, berpuasalah dan berbukalah, solatlah dan tidurlah.'"[6]

Asy-Sya’bi meriwayatkan: Ka’ab bin Sur pernah duduk di sisi ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu anhu, lalu seorang wanita datang seraya berkata: "Wahai Amirul Mukminin, aku tidak melihat seorang pun yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, dia senantiasa beribadah pada malam harinya dan senantiasa berpuasa pada siang harinya." Mendengar hal itu ‘Umar memohonkan ampunan untuknya dan memujinya, tetapi wanita ini merasa malu dan beranjak pulang. Ka’ab berkata: "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau membantu wanita ini (mendapatkan hak) atas suaminya. Sebab, dia telah menyampaikan keluhannya kepadamu." ‘Umar berkata kepada Ka’ab: "Putuskanlah perkara di antara keduanya, kerana engkau memahami urusan apa yang tidak aku fahami." Ia mengatakan: "Aku melihat sepertinya dia seorang wanita bersama tiga isteri lainnya, dan dia keempatnya. Oleh kerananya, aku memutuskan tiga hari tiga malam di mana dia (lelaki ini) beribadah di dalamnya, dan untuknya (wanita ini) sehari semalam." ‘Umar berkata: "Demi Allah, pendapatmu yang pertama tidak lebih mengagumkan dari-pada yang terakhir. Pergilah! Engkau menjadi qadhi (hakim) atas Bashrah. Sebaik-baik qadhi adalah dirimu."[7]

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiyallahu anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

"Wahai ‘Abdullah, benarkah apa yang aku dengar bahawa engkau selalu berpuasa di siang hari dan mengerjakan solat malam?" Aku menjawab: "Benar, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Jangan engkau lakukan! Berpuasa dan berbukalah, bangun dan tidurlah, kerana tubuh mempunyai hak atasmu, kedua matamu mempunyai hak atasmu, isterimu mempunyai hak atasmu, dan tamumu mempunyai hak atasmu. Cukuplah engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, kerana engkau akan mendapatkan pada setiap kebajikan sepuluh kali lipat gandanya. Jadi, itu seperti puasa sepanjang masa." Ketika aku berkeras, maka aku sendiri yang akhirnya kesulitan. Aku mengatakan: "Wahai Rasulullah, aku masih memiliki kesanggupan." Baginda bersabda: "Kalau begitu berpuasalah dengan puasa Daud Alaihissallam dan jangan menambahnya." Aku bertanya: "Bagaimana puasa Nabi Allah Daud Alaihissallam?" Baginda menjawab: "Separuh masa." ‘Abdullah berkata setelah tua: "Duhai sekiranya aku menerima keringanan dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam."[8]

Al-Marwazi mengatakan: Abu ‘Abdillah -yakni Ahmad bin Hanbal- berkata: "Hidup membujang sama sekali bukan dari ajaran Islam. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menikahi 14 isteri, dan baginda wafat meninggalkan sembilan isteri. Seandainya Basyar bin al-Harits menikah, niscaya urusannya menjadi sempurna. Seandainya manusia tidak menikah, niscaya tidak ada peperangan, tidak ada haji, dan tidak ada begini dan begitu. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menikah, sedangkan mereka tidak memiliki apa-apa, dan baginda wafat meninggalkan 9 isteri serta memilih menikah dan menganjurkan akan hal itu. Baginda melarang hidup membujang. Barangsiapa yang membenci Sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka dia berada di atas selain kebenaran. Ya’qub, dalam kesedihannya, masih menikah dan mendapatkan anak. Dan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: "Dimasukkan ke dalam hatiku kecintaan kepada para wanita."[9]

Aku mengatakan kepadanya, diceritakan dari Ibrahim bin Ad-ham bahawa dia mengatakan: "Sungguh, rasa takut seorang lelaki yang menanggung beban keluarga yang berat..." Belum sempat aku menyelesaikan ucapanku, tiba-tiba dia (memotongnya serta) berteriak kepadaku dan mengatakan: 'Kita terperangkap di jalan-jalan yang sempit.' Lihatlah -semoga Allah menyelamatkanmu- apa yang dilakukan oleh Nabi-Nya, Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para Sahabatnya." Kemudian dia mengatakan: "Sungguh tangisan anak di hadapan ayahnya kerana meminta roti kepadanya, itu lebih baik daripada demikian dan demikian. Bagaimana mungkin ahli ibadah yang membujang bisa menyamai orang yang menikah?"[10]

Syubhat:

Makna Tabattul Dalam Al-Qur-an.

Syeikh Muhammad bin Isma’il berkata: Di antara hal yang patut untuk disebutkan bahawa al-Qur-an memerintahkan tabattul dalam firman-Nya :


وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا

“Sebutlah Nama Rabb-mu, dan bertabattullah (beribadahlah) kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” [Al-Muzzammil/73: 8].

Makna ayat ini adalah perintah agar menggunakan seluruh waktunya untuk Allah dengan ibadah yang ikhlas. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya beribadah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (men-jalankan) agama yang lurus...” [Al-Bayyinah/98: 5].

Sementara ada larangan tabattul dalam Sunnah. Dan yang dimaksud dengannya ialah memutuskan hubungan dari manusia dan komuniti, menempuh jalan kependetaan untuk meninggalkan pernikahan, dan menjadi pendeta di tempat-tempat sembahyang. Jadi, tabattul seperti ini tidak diperintahkan dalam al-Qur-an dan dilarang dalam Sunnah. Kaitan perintah berbeza dengan kaitan larangan; maka keduanya tidak kontradiktif. Dan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam hanyalah diutus untuk menjelaskan kepada manusia tentang apa yang diturunkan kepada mereka
.
[Disalin dari kitab Isyratun Nisaa Minal Alif Ilal Yaa, Penulis Abu Hafsh Usamah bin Kamal bin Abdir Razzaq. Edisi Indonesia Panduan Lengkap Nikah Dari A Sampai Z, Penterjemah Ahmad Saikhu, Penerbit Pustaka Ibnu Katsir - Bogor]
_______

Nota kaki :

[1]. HR. Muslim, Syarh an-Nawawi (III/549).
[2]. HR. Al-Bukhari (no. 5074) kitab an-Nikah, Muslim (no. 1402) kitab an-Nikah, at-Tirmidzi (no. 1086) kitab an-Nikah, an-Nasa-i (no. 3212) kitab an-Nikah, Ibnu Majah (no. 1848) kitab an-Nikah, Ahmad (no. 1517).
Faedah: Apakah boleh mengebiri binatang? Kalangan yang membolehkan mengebiri binatang berargumentasi dengan hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda menyembelih dua kibas yang dikebiri. Mereka berkata: “Seandainya mengembiri haiwan yang dapat dimakan itu diharamkan, niscaya baginda tidak menyembelih kibas yang dikebiri sama sekali.” Ibnu Qudamah berkata dalam al-Mughni (VIII/ 625): “Mengembiri haiwan diperbolehkan kerana Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang dikebiri.” Al-waj' ialah menghancurkan kedua buah zakar, dan apa yang dipotong kedua zakarnya, atau dicabut, maka dia seperti dikekang, kerana semakna. Kerana mengembiri adalah menghilangkan bahagian yang tidak sedap sehingga membuat dagingnya sedap dengan hilangnya bahagian itu dapat memperbanyak dan menggemukkan. Asy-Sya’bi berkata: "Apa yang bertambah pada daging dan lemaknya lebih banyak daripada yang hilang darinya. Demikianlah pendapat al-Hasan, ‘Atha’, asy-Sya’bi, an-Nakha'i, Malik dan asy-Syafi'i, dan saya tidak melihat perselisiahan di dalamnya.
[3]. HR. Al-Bukhari (no. 5076) kitab an-Nikaah, Muslim (no. 1404) kitab an-Nikaah, Ahmad (no. 3642) lihat Shahiih al-Jaami’ish Shaghiir (no. 7832).
[4]. Jaami’ Ahkaamin an-Nisaa’, al-‘Adawi (III/20).
[5]. HR. At-Tirmidzi (no. 1982) kitab an-Nikaah, Ibnu Majah (no. 1849) kitab an-Nikaah, dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih Ibni Majah (no. 1499).
[6]. HR. Ahmad (no. 25776), yang di dalamnya terdapat ‘Abdullah bin Sa’id, ia adalah shaduq, dan para perawi lainnya adalah tsiqah, Abu Daud (no. 1369) kitab ash-Shalaah.
[7]. Majmuu’ al-Fataawaa Ibni Taimiyyah (XXXIV/85), al-Mughni (VII/30), dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam al-Irwaa' (VII/80).
[8]. HR. Al-Bukhari (no. 1975) kitab ash-Shaum, Muslim (no. 1159) kitab ash-Shaum, at-Tirmidzi (no. 770) kitab ash-Shaum, an-Nasa-i (no. 1630) kitab ash-Shaum, Ibnu Majah (no. 1712) kitab ash-Shaum, Ahmad (no. 6441), ad-Darimi (no. 1752).
[9]. HR. An-Nasa-i (VII/61) dalam ‘Isyratun Nisaa', bab Hubbun Nisaa', Ahmad (III/128), al-Hakim (II/160) dan ia menilainya sebagai hadits shahih sesuai syarat Muslim, dan disetujui oleh adz-Zahabi. Al-Hafiz al-‘Iraqi menilai sanadnya baik, dan Ibnu Hajar menilainya sebagai hadis hasan.
[10]. Raudhatul Muhibbiin (hal. 214).

Post a Comment

1 Comments

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.