JIHAD SEKSUAL : DR. FATHUL BARI GESA MAJLIS FATWA PERJELAS MAKNA JIHAD

Oleh : Diyana Ibrahim

Majlis Fatwa Kebangsaan digesa menjelaskan pengertian jihad sebenar berlandaskan Islam memandangkan semakin ramai umat Islam di negara ini terkeliru dengan konsep tersebut bahkan turut  menyertai gerakan pelampau yang hanya menghalalkan keganasan, kata Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan sewajarnya memberi penekanan dengan menjadikan isu tersebut sebagai perbincangan utama agar dapat memudahkan masyarakat Islam di negara ini membuat rujukan mengenai konsep jihad.

"Hal ini yang sewajarnya dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan dan saya tidak kata mereka (ulama) tidak bincang namun mungkin mereka ada banyak kertas kerja perlu diselesaikan.

"Ia amat mustahak supaya orang kita yang ada keinginan untuk berjihad namun kerana ada panduan dan penjelasan jadi mereka tidak akan mudah terikut dengan gerakan ekstremis," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan The Malaysian Insider semalam yang mendedahkan ada golongan wanita Islam di negara ini dan beberapa negara lain menyertai pasukan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) untuk menawarkan 'Jihad Al-Nikah' atau jihad seksual.

Memetik daripada sumber pegawai kanan risikan, pihak berkuasa mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis.

Fathul Bari berkata, beliau kesal dengan penglibatan wanita Islam di negara ini yang menyertai kumpulan pelampau itu dengan menggunakan alasan jihad seksual.

Beliau berkata, perbuatan itu jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam, malah gerakan Isis itu tidak pernah mendapat pengiktirafan mana-mana ulama terkenal dunia terutama negara Timur Tengah.

Katanya, gerakan itu kemungkinan memanipulasikan konsep 'mutaah' yang diperkenalkan pada satu masa dulu ketika zaman Rasullah sebelum ia diharamkan.

"Menurut sejarah, ketika zaman Rasullah sebelum ia diharamkan, tentera Islam yang terlibat  dalam peperangan kemudiannya keluar musafir mereka akan bermutaah iaitu maksudnya mereka berkahwin dengan wanita tempatan sehingga selesai perang lalu mereka balik ke tempat asal dan menceraikan isteri sementaranya itu.

"Bagaimanapun ia kemudiannya dimansuh dan dibatalkan hukumnya, jadi mutaah ini sudah tidak wujud lagi. Yang mengamalkan mutaah hanya golongan Syiah," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai erti konsep jihad sebenar mengikut sudut pandang Islam.

"Contoh apabila kita terima pensyariatan solat maksudnya kita juga wajib terima cara dan kaedah untuk bersolat, dan bukan melakukannya sesuka hati.

"Begitu juga dengan jihad ia ada cara dan kaedah bukan kata angkat senjata dan jom kita pergi perang. Kita tidak boleh mengambil nas Al-Quran dan hadis kelebihan jihad tanpa mengkaji (bagaimana untuk laksanakannya) terlebih dahulu," katanya.

Sumber : MalaysianINSIDER

Post a Comment

1 Comments

  1. Mana satu Islam sebenar pun ramai yg konpius, inikan pula jihad, sedangkan jihad adalah utk mempertahankan Islam atau mendakwahkannya. Bgmn berjihad, jika Islam sebenar pun dah konpius.

    ReplyDelete

بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.