KHAWARIJ ITU PEMIKIRAN BUKAN TUBUH BADAN ATAU PENAMPILAN.

Oleh : Nurfitri Hadi 

Sejak akhir-akhir ini, banyak sekali media massa baik dari dalam negeri mahupun luar negeri sibuk melaporkan berita tentang sebuah kelompok ekstrim Timur Tengah yang menyatakan diri telah mem'bina' sebuah negara Islam di wilayah Iraq dan Suriah (Syria). Kelompok ini dikenali dengan nama ISIS (Islamic State of Iraq and Syam) atau dalam bahasa Arab mereka dikenal dengan Da’isy (Daulah Islamiyah fi Iraq wa Syam). Dalam masa yang sama banyak para ulama telah memfatwakan bahawa kelompok ini sebagai kelompok Khawarij yang berbahaya.

Dalam masa yang sama, kelihatan media-media cuba memperingatkan masyarakat mengenai bahaya ISIS ini. Namun penerangan yang mereka lakukan sangat lemah. Media tidak memberikan maklumat yang sebenar, sebaliknya hanya sibuk memaparkan simbol-simbol ISIS yang sama sekali tidak mendidik masyarakat akan bahaya pemikiran ISIS atau Khawarij.

Media sibuk memaparkan sifat khawarij dalam bentuk fizikal semata-mata dengan mengatakan bahawa ciri ISIS, Khawarij, atau pengganas adalah berjanggut, suka berkumpul di masjid, berpakaian hitam, dan lain-lain lagi. Padahal banyak orang yang tidak berjanggut, tapi mereka berpemikiran Khawarij. Malah ada para pengganas yang menjauhi masjid, kerana gerakan mereka adalah 'underground' (tersembunyi).

Lalu bagaimana Islam mengajar dan memperingatkan masyarakat tentang pemikiran Khawarij dan bahayanya? Berikut ini penjelasannya dari hadis-hadits Nabi ﷺ:

Hadis pertama:


عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: بعث علي رضي الله عنه وهو باليمن يذهبة في تربتها إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقسم رسول الله صلى الله عليه وسلم في أربعة نفر: الأقرع بن حابس الحنظلي وعيينة بن بدر الفزاري وعلقمة بن علاثة العامري ثم أحد بني كلاب وزيد الخير الطائي ثم أحد بني نبهان. قال: فغضبت قريش. قال: أتعطي صناديد نجد وتدعنا؟! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إني إنما فعلت ذلك لأتألفهم. فجاء رجل كث اللحية مشرف الوجنتين غائر العينين ناتئ الجبين محلوق الرأس، فقال: اتق الله يا محمد! قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فمن يطع الله إن عصيته، أيأمنني على أهل الأرض ولا تأمنوني؟! قال: ثم أدبر الرجل فاستأذن رجل من القوم في قتله يرون أنه خالد بن وليد. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن من ضئضئ هذا قوما يقرءون القرآن لا يجاوز حناجرهم، يقتلون أهل الإسلام ويدعون أهل الأوثان، يمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية، لئن أدركتهم لأقتلنهم قتل عاد.

Dari Abu Said al-Khudri radhiallahu ‘anhu, dia berkata;

“Ali radhiallahu ‘anhu pernah diutus ke Yaman. Dia mengirim emas yang masih bercampur dengan tanah kepada Rasulullah ﷺ. Lalu, Rasulullah ﷺ membahagi-bahagikan emas tersebut antara empat orang: al-Aqra bin Habis al-Hanzhali, Uyaynah bin Badr al-Fazari, Alqomah bin Ulatsah al-Amri kemudian salah seorang dari Bani Kilab, dan Zaid bin al-Khoir ath-Thai kemudian salah seorang dari Bani Nabhan.

(Melihat hal itu) Sebahagian orang-orang Quraisy pun marah. Mereka mengatakan, ‘Apakah engkau hanya memberi kepada pembesar-pembesar Najd, lalu melupakan kami’? Rasulullah ﷺ menjawab, ‘Sesungguhnya aku melakukan hal itu untuk mengambil hati dan simpati mereka’.

Kemudian datang seorang lelaki yang lebat janggutnya, menonjol pipinya, cekung kedua matanya, lebar dahinya, dan gendul kepalanya, dia berkata, ‘Bertakwalah kepada Allah wahai Muhammad’!! Rasulullah ﷺ menjawab, ‘Siapa lagi yang boleh mentaati Allah, kalau aku dikatakan berbuat maksiat kepadanya?! Dia telah mempercayaiku untuk penduduk bumi, sedangkan kalian tidak mempercayaiku’?! Kemudian lelaki itu berlalu pergi.

Setelah itu, ada seorang lelaki di antara rombongan yang menyaksikan hal itu meminta izin untuk membunuh orang tadi (kerana kelancangannya). Orang-orang mengatakan bahawa yang meminta izin itu adalah Khalid bin Walid.

Rasulullah ﷺ mengatakan, ‘Sesungguhnya akan muncul dari keturunan orang ini, sekelompok orang yang mereka membaca Al-quran namun Al-quran tidak melewati kerongkong mereka. Mereka membunuh orang-orang Islam dan membiarkan para penyembah berhala (orang-orang kafir). Mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah meleset menembusi sasarannya. Kalau aku menjumpai mereka, nescaya akan kuhapuskan mereka sebagaimana terhapusnya kaum ‘Aad’.” (HR. Bukhari no. 3344 dan Muslim no. 1064).

Pelajaran dari hadis *:

1> Salah satu kaedah dakwah yang baik adalah 'menawan' hati seseorang dengan menggunakan harta. Khususnya ketika berdakwah kepada tokoh-tokoh dan para pemimpin. Nabi ﷺ sering melakukan hal ini, kerana para tokoh pemimpin itu memiliki imej dan pengaruh terhadap rakyatnya.

2> Nabi adalah orang yang paling bertaqwa. Oleh kerana itu, ibadah baginda ﷺ adalah ibadah yang paling bagus dan tidak ada satu pun amalan atau ketaatan ditinggalkan oleh Baginda ﷺ kecuali kesemua itu telah baginda ﷺ kerjakan. Kalau sekiranya ada orang yang mengamalkan suatu amalan yang belum pernah diamalkan Rasulullah ﷺ, tentu hal ini patut dipersoalkan.

3> Di antara sifat Khawarij adalah suka menuduh, khususnya kepada para pemimpin dan penguasa. Mereka melakukan perbuatan itu di hadapan khalayak, seperti diatas-atas mimbar-mimbar, surat khabar, video dan media massa seperti televisyen, serta aksi jalanan (demonstrasi).

4> Orang Khawarij kasar dalam menasihati.

5> Dalam pemahaman sahabat, khawarij layak dihukum dengan hukuman mati. Sepertimana yang hendak dilakukan oleh Khalid bin al-Walid. Dan Nabi pula tidak menyalahkan para sahabat dengan pemahaman demikian, seperti baginda ﷺ katakan ‘Kalian jangan memiliki pemahaman demikian…’ atau kata-kata semisalnya.

6> Keturunan yang dimaksud dalam hadis ini maksudnya adalah kesamaan pemikiran, ideologi, dan pemahaman agama, bukan keturunan dalam erti garis kelahiran dan kesamaan nasab. Sebagaimana ayat:


النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

"Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Ghafir: 46)

Kata آلَ فِرْعَوْنَ tidak diertikan keluarga Firaun akan tetapi pengikut Firaun.

7> Orang-orang Khawarij bukanlah orang-orang yang memahami Alquran, meskipun nampaknya mereka membaca Al-quran. Al-quran tidak meresap sampai ke hati mereka bahkan tidak melewati kerongkong mereka. Kerana itu, tidak kita lihat ulama bersama-sama dengan gerakan ini. Persis dengan apa yang terjadi dengan ISIS, tidak ada satu pun ulama yang mendukung deklarasi Daulah Islam mereka.

8> Mereka memusuhi orang-orang Islam dan membiarkan orang-orang kafir yang memerangi Islam. Mengenai ISIS, pada bulan Ramadhan yang lalu, ketika Yahudi membunuh orang-orang Palestin, ISIS pula menyibukkan diri mereka dengan memerangi umat Islam di Suriah. Mereka bukannya membantu kaum muslimin di Palestin dalam berperang melawan Yahudi, tetapi mereka memasuki sempadan perbatasan Arab Saudi untuk memerangi Arab Saudi.

9> Orang-orang Khawarij adalah termasuh kelompok yang ghuluw (berlebih-lebihan dalam agama). Nabi ﷺ umpamakan mereka sebagai anak panah dan agama sebagai haiwan buruannya. Anak panah menemui sasaran, akan tetapi ianya menembus haiwan buruan tersebut kerana begitu kuatnya lunsurnya. Tidak ada bahagian dari haiwan buruan (agama) yang menempel pada anak panah tersebut. Bahkan sebahagian ulama ada yang berpendapat mereka kafir berdsarkan hadis ini.

Hadis Kedua:


عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: بينما نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو يقسم قسماً إذ أتاه ذو الخويصرة -وهو رجل من بني تميم- فقال: يا رسول الله اعدل! فقال صلى الله عليه وسلم: [ويلك ومن يعدل إذا لم أعدل؟ قد خبت وخسرت إن لم أكن أعدل؟] فقال عمر: يا رسول الله إئذن لي فأضرب عنقه، فقال: [دعه، فإن له أصحاباً يحقر أحدكم صلاته مع صلاتهم وصيامه مع صيامهم، يقرأون القرآن لا يجاوز تراقيهم، يمرقون من الدين كما يمرق السهم من الرمية، ينظر إلى نصله فلا يوجد فيه، ثم ينظر إلى رصافه فما يوجد فيه شيء، ثم ينظر إلى نضيه وهو قِدْحُهُ فلا يوجد فيه شيء، ثم ينظر إلى قُذَذِهِ فلا يوجد فيه شيء، قد سبق الفرث والدم، آيتهم رجل أسود إحدى عضديه مثل ثدي المرأة أو مثل البضعة تدردر!! ويخرجون على حين فرقة من الناس]

Dari Abu Said al-Khudri radhiallahu ‘anhu, dia berkata,

“Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ yang sedang membahagi-bahagikan harta, datanglah mendekati Nabi seorang dari Bani Tamim yang bernama Dzul Khuwaishirah. Dia mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, berlakulah adil’!

Maka Rasulullah ﷺ mengatakan, ‘Celaka engkau! Siapa yang boleh berlaku adil kalau aku dituduh tidak adil?! Sungguh engkau benar-benar rugi kalau aku tidak adil’.

Kemudian Umar bin al-Khattab berkata, ‘Wahai Rasulullah, izinkan aku menebas lehernya’.

Rasulullah ﷺ berkata, ‘Biarkan dia. Sesungguhnya dia memiliki sahabat-sahabat yang salah satu di antara kalian (para sahabat) akan menganggap remeh/sedikit/hina solatnya jika dibandingkan dengan solat mereka dan akan menganggap remeh/sedikit/hina puasanya jika dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca Al-quran akan tetapi tidak melewati kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah melesat menembusi binatang buruan yang menjadi sasarannya. Jika diperhatikan bahagian panah yang tajamnya, maka tidak ada bahagian dari haiwan buruan tadi yang menempel (baik darah mahupun daging). Jika dilihat bahagian penyambung antara batang dan bahagian depannya, maka tidak ditemui apapun yang menempel. Jika dilihat bahagian batang panahnya tidak ditemui apapun juga. Dan jika dilihat dari bahagian bulu anak panah (bagian akhir panah), maka tidak didapati sesuatu apapun. Keluarnya anak panah ini lebih dahulu dari keluarnya daging dan percikan darah yang keluar dari haiwan itu. Tanda mereka adalah seorang yang berkulit hitam, salah satu dari lengan atasnya seperti payudara perempuan atau semacam sepotong daging yang bergoyang-goyang. Mereka muncul saat terjadi perpecahan di tengah-tengah kaum muslimin (pada saat perselisihan Ali dan Muawiyah)’.”  (HR. Bukhari no. 6163 dan Muslim no. 1064).

Dalam riwayat lain dikatakan “Mereka memerangi kelmpok yang terbaik (dari dua kelompok)” Yakni kelompok Ali.

Pelajaran dari hadis* :

1> Sifat Khawarij adalah sering menggembar-gemburkan tentang permasalahan kesamarataan ekonomi. Atau menuntut permasalahan tersebut, kerana menurut pandangan mereka penguasa tidak adil.

2> Termasuk sifat Khawarij adalah seringkali berburuk sangka kepada pemimpin atau pemerintah. Terutama dalam masalah ekonomi.

3> Penguasa memiliki autoriti penuh mengenai pembahagian harta baitulmal.

4> Penguasa memiliki pandangan yang lebih luas tentang tindakan yang mereka lakukan. Kadangkala tindakan tersebut tidak dapat difahami oleh rakyatnya, kerana pemikiran rakyat dan rakyat tidak dapat memahami secara mendalam sesuatu masalah tersebut.

5> Sekali lagi, Nabi tidak menyalahkan pandangan sahabatnya bahawa orang yang menghina Rasulullah ﷺ layak dihukum mati.

6> Nabi ﷺ menggambarkan betapa Khawarij begitu terburu-buru dan begitu cepatnya mereka keluar dari batas-batas ajaran Islam. Imam al-Qurthubi rahimahullah mengatakan, “Kelompok ini begitu cepat keluar dari Islam sampai-sampai tidak ada yang menempel satu pun bahagian dari Islam pada mereka. Seperti cepatnya anak panah yang menembus sasaran haiwan buruannya sampai lebih mendahului keluarnya darah dari luka kerana panah (Syarah Sahih Muslim, 3: 110).

Demikianlah kaedah nubuwah dalam mengenalkan Khawarij dan pemikirannya. Nabi lebih menitikberatkan kepada pemikirannya bukan bentuk fizikal mereka. Sehingga umatnya pun dapat dengan mudah menjauhi pemikiran dan sifat-sifat kelompok tercela itu.

Setelah membaca keterangan dari Nabi ﷺ, hendaklah kita memikirkan dimanakah kedudukan kita sekarang. Apakah karakter Khawarij itu melekat pada diri kita? Adakah karakter khawarij dengan kadar pengaruh yang rendah, sebagai contoh mengkritik pemimpin atau pemerintah dengan cara yang tidak berhikmah ada pada kita ataupun karakter khawarij dengan kadar pengaruh yang tinggi sampai mengkafirkan dan membunuh muslim lainnya wujud dalam hati kita.

Semoga Allah melindungi kita dari sifat-sifat Khawarij ini.

* Nota : Pelajaran hadis diperolehi dari kitab Haqiqatu al-Khawarij fi asy-Syar’I wa  ‘Abra Tarikh dan penjelasan Ustaz Aris Munandar hafizahullah.

Post a Comment

0 Comments