TIPS UNTUK BUAT #MAHASISWA : MENGURUSKAN KEWANGAN DENGAN BIJAK

Oleh : Shafikah Saleh

Kolej atau universiti memang sinonim dengan kos serta perbelanjaan yang besar, bermakna kebanyakkan pelajar mempunyai wang yang terhad dan perlu menguruskan wang dengan baik. Sebagai seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi bukan satu tugas yang mudah. Anda perlu mula mengambil langkah berhati-hati ke atas kehidupan anda. Selain memberikan fokus kepada pelajaran, melengkapkan tugasan dan pastikan peperiksaan dapat dilaksanakan dengan baik, anda juga perlu menguruskan kewangan anda dengan lebih berkesan.

Jadi, bagaimana anda melakukannya?

Sangat penting untuk mengetahui di mana anda membelanjakan wang anda. Ini untuk memastikan anda mempunyai tabiat berbelanja sihat. Sebenarnya, pengurusan wang yang baik boleh dimulakan dengan mengamalkan tip-tip mudah bagi mengurangkan perbelanjaan anda. Ia memerlukan latihan walaupun tips ini tidak menyenangkan dan tidak mudah, anda boleh mendidik diri sendiri tentang cara anda menghabiskan wang.

Kaedah-Kaedah Umum Pengurusan Kewangan.

1. Simpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada elaun anda. Wang ini boleh dimasukkan ke dalam simpanan anda yang sedia ada.

2. Lakukan bajet dan tetapkan.

3. Jangan membeli mana-mana barang mengikut nafsu hati.

Tips Lain Untuk Mengawal Perbelanjaan Anda.

1. Jangan sesekali mengambil pinjaman yang tidak berkaitan dengan pendidikan anda.

2. Beli buku-buku teks yang digunakan oleh pelajar senior. Tetapi pastikan anda menyemak kandungan buku tersebut agar ianya sama seperti edisi terbaharu.

3. Jual buku semester lepas pada yang memerlukan bagi membantu pelajar-pelajar lain menjimatkan wang.

4. Jika anda mengambil semester pendek (short sem / semester khas) mungkin anda boleh memilih jalan meminjam buku dari perpustakaan. 

5. Menjual barang yang anda tidak lagi guna atau perlukan. Terdapat banyak laman web yang mempunyai barang-barang masih boleh digunakan untuk dijual. Terdapat juga kedai-kedai dimana anda boleh menguruskan penjualan barang-barang dengan wang tunai.

6. Pertimbangkan mengambil pakej / pelan telefon mudah alih.

7. Sekiranya anda mampu untuk menguruskan pengajian anda, kerja sambilan merupakan cara terbaik untuk mendapatkan wang perbelanjaan tambahan.

Penginapan

1. Tinggal serumah dengan penyewa lain supaya anda boleh membahagikan kos sewa dan utiliti.

2. Cari sebuah penginapan yang sudah dilengkapi dengan perabot - ianya akan menjimatkan wang daripada membeli perabot serta peralatan seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk. Dengan mesin basuh di rumah, anda boleh mencuci pakaian anda sendiri tanpa perlu membayar kedai untuk mencuci.

3 Sentiasa membayar bil pada masanya untuk mengelakan dikenakan penalti / bayaran lewat.

4. Penggunaan pakej televisyen bersatelit dan kabel tidak diperlukan oleh seorang pelajar.

5. Bijak menggunakan elektrik dengan mematikan lampu apabila anda tidak berada di dalam bilik dan menggunakan penghawa dingin dengan berhati-hati.

Perjalanan

1. Berjalan ataupun gunakan pengangkutan awam atau menunggal motosikal. Menggunakan kereta sebenarnya memerlukan kos yang tinggi dan ia tidak membantu untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

2. Jika ibu bapa anda telah menyediakan anda dengan sebuah kereta untuk perjalanan. Cuba untuk berkongsi kereta dengan rakan-rakan. Bergilir-gilir memandu supaya anda akan menjimatkan kos petrol.

Untuk maklumat lanjut mengenai wang penjimatan tips untuk pelajar, sila layari Portal Pembelajaran Online AKPK di power.akpk.org.my. Disamping memberikan anda tips menjimatkan wang, anda juga akan mendapat maklumat mengenai bagaimana untuk menguruskan kewangan anda sebaik sahaja anda lulus.

Kepada mahasiswa/i sekalian, sila berikan perhatian yang khusus dalam menguruskan wang dengan bijak. Kerana dari usia ini, kita harus melatih diri untuk bijak berbelanja.

----------------
Artikel ini dipetik dari Majalah Akses Malaysia Bil 104

Post a Comment

0 Comments