Transliterasi oleh : Jebat
Yahudi di Kota Madinah
Di awal berdirinya Daulah Islamiyyah di Madinah (abad ke-7 M), terdapat tiga kabilah besar Yahudi yang tinggal di sana. Kabilah-kabilah tersebut adalah Bani Qanuqa, Bani Nadhir, dan Bani Quraizhah. Selain komuniti Yahudi di Madinah, jazirah Arab juga memiliki komuniti Yahudi yang sangat besar, yang juga berjiranan dengan Daulah Islam yang baru saja berdiri ini, lokasi yang lebih tepat adalah di Khaibar, Utara Madinah.
Sebagai ketua negara, Rasulullah ﷺ membuat beberapa peraturan yang mengikat orang-orang Yahudi. Peraturan tersebut dibuat dalam bentuk perjanjian. Berulang kali dan terus-menerus terjadi, orang-orang Yahudi cuba menyelisihi perjanjian yang telah mereka sepakati. Mereka hendak memutuskan tali ikatan, mengadakan tunjuk perasaan, dan memutar belitkan perjanjian yang telah disepakati demi keuntungan mereka. Dan inilah sikap mereka. Kita barangkali sudah tentu mengetahui kisah nenek moyang mereka yang cuba menipu Allah, namun Allah lah yang memperdaya mereka. Kalau Allah Subhanahu wa Ta’ala pun hendak mereka tipu, apalagi Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya, lebih-lebih lagi generasi akhir zaman yang lemah ini.
Ketika pelbagai makar dibuat Yahudi Bani Qanuqa, Rasulullah ﷺ tetap memerintahkan para sahabatnya untuk menahan diri supaya tidak mengangkat senjata mereka. Rasulullah ﷺ mengingatkan para sahabat baginda mengenai keadaan umat Islam di Madinah yang pada ketika itu belum kuat dan tidak mempunyai strategi.
Keadaan ini berbeza setelah pulangnya Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya dari Perang Badar. Moral para sahabat begitu tinggi, kesatuan mereka kian kukuh, dan keyakinan akan pertolongan Allah semakin kuat membenam di dada-dada mereka. Umat Islam mula dipandang di Jazirah Arab. Mereka berjaya mengalahkan Quraish Makkah yang pada ketika itu memiliki pengaruh dan kedudukan di kalangan masyarakat padang pasir itu.
Pengkhianatan Bani Qanuqa
Ketika Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya tiba di Kota Madinah –setelah Perang Badar-, orang-orang Yahudi berkumpul di Pasar Bani Qanuqa’. Baginda ﷺ bersabda, “Hai sekalian Yahudi, masuk Islam-lah kalian sebelum kalian merasakan apa yang dirasakan oleh orang-orang Quraisy”. Hal ini bukan bererti Nabi ﷺ memaksa mereka untuk memeluk Islam dan beriman, tapi baginda hendak menjelaskan dan berharap Yahudi sedar bahawa janji Allah kepada kaum Quraisy adalah benar, demikian pula bagi mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: “لَمَّا أَصَابَ رَسُولُ اللَّهِ قُرَيْشًا يَوْمَ بَدْرٍ، وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ جَمَعَ الْيَهُودَ فِي سُوقِ بَنِي قَيْنُقَاعَ، فَقَالَ: “يَا مَعْشَرَ يَهُودَ، أَسْلِمُوا قَبْلَ أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَ قُرَيْشًا”. قَالُوا: يَا مُحَمَّدُ، لاَ يَغُرَّنَّكَ مِنْ نَفْسِكَ أَنَّكَ قَتَلْتَ نَفَرًا مِنْ قُرَيْشٍ، كَانُوا أَغْمَارًا لاَ يَعْرِفُونَ الْقِتَالَ، إِنَّكَ لَوْ قَاتَلْتَنَا لَعَرَفْتَ أَنَّا نَحْنُ النَّاسُ، وَأَنَّكَ لَمْ تَلْقَ مِثْلَنَا”[1].
Ketika diingatkan kepada suatu pelajaran, mereka bukannya mengambil hikmah, malah Bani Qanuqa menentang dan menabuh gendang perang. Rasulullah ﷺ menyeru dan berdakwah kepada mereka agar memeluk Islam, tetapi mereka jawab dengan pernyataan bahawasanya mereka siap sedia untuk berperang melawan umat Islam. Allah Ta’ala pun menurunkan firman-Nya bagi menjawab perkataan orang-orang Yahudi ini:
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَى جَهَنَّمَ وَبِئْسَ المِهَادُ. قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأُخْرَى كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ وَاللهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَنْ يَشَاءُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لأُولِي الأَبْصَارِ
Tidak lama selepas itu, Yahudi kembali membuat masalah dengan mengganggu wanita muslimah.
Pada suatu hari, ada seorang wanita muslimah datang ke Pasar Bani Qanuqa’ untuk mendapatkan sesuatu keperluan yang dia perlukan. Perempuan muslimah berkenaan menghampiri salah satu peniaga Yahudi, kemudian melakukan transaksi jual beli dengannya. Namun peniaga Yahudi itu berhasrat membuka niqab yang dikenakan oleh muslimah itu kerana ingin melihat wajahnya. Muslimah itu berusaha mencegah gangguan yang dilakukan Yahudi ini. Tanpa pengetahuan wanita itu, datang lagi lelaki Yahudi di sisi lainnya, lalu lelaki Yahudi tersebut menarik hujung niqab wanita muslimah tersebut sehingga terdedahlah wajah perempuan muslimah itu. Muslimah itu pun berteriak, lalu datanglah seorang lelaki muslim membelanya. Maka terjadilah perkelahian diantara muslim dan Yahudi dan terbunuhlah Yahudi yang mengganggu muslimah tadi. Melihat hal itu, orang-orang Yahudi tidak mendiamkan diri. Mereka memukul lelaki muslimin tadi sehingga lelaki muslim itu pun terbunuh.
Ini adalah pencabulan perjanjian yang sangat besar. Mereka menganggu wanita muslimah, kemudian lelaki Bani Qanuqa bersekutu membunuh lelaki dari umat Islam.
Respon Umat Islam Terhadap Bani Qanuqa
Berita tentang peristiwa ini sampai kepada Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ segera mengumpulkan para sahabat dan mempersiapkan pasukan tentera. Lalu, orang-orang munafik melalui ketua mereka Abdullah bin Ubai bin Salul, memainkan peranannya. Dia berusaha melobi Rasulullah ﷺ agar membatalkan niat untuk mengepung Yahudi Bani Qanuqa. Namun Rasulullah ﷺ tidak mempedulikan saranan Abdullah bin Ubai .
Tanpa menunggu waktu yang lama, pasukan yang dipimpin oleh Baginda ﷺ pun mengepung perkampungan Bani Qanuqa.
Ya!, Rasulullah ﷺ menggerakkan pasukan tentera untuk membela seorang wanita muslimah yang tersingkap auratnya dan membela darah seorang muslim yang tertumpah. Begitu besarnya erti kehormatan wanita muslimah dan harga darah seorang muslim di sisi Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ sedia menanggung segala risiko kehilangan nyawa para sahabatnya demi membela kehormatan muslimah.
Dalam masa yang sama, Bani Qanuqa bukanlah orang-orang yang lemah. Mereka memiliki persenjataan yang terbaik, pasukan yang kuat, pertahanan yang mantap, dan kemampuan ketenteraan yang lengkap. Tetapi Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya tetap maju ke medan peperangan demi seorang wanita muslimah.
Namun hari ini, kita lihat banyak wanita muslimah, dengan sukarela mendedahkan aurat mereka dan dengan sukarela merendahkan kehormatan mereka sendiri. Bahkan yang lebih aneh, mereka marah apabila ada orang yang menghalangi mereka dari membuka aurat. Kata mereka, kita menghalangi kebebasan, melanggar hak asasi, dan tidak moden, wal ‘iyadzubillah. Dari sini juga, kita dapat mengetahui betapa agungnya kedudukan wanita dalam Islam.
Proses pengepungan bermula pada hari Sabtu, pertengahan bulan Syawal, pada tahun 2 Hijrah. Pengepungan tersebut berlaku selama dua bulan, sehingga akhirnya ketakutan pun kian merasuk ke dalam jiwa para Yahudi ini. Mereka menyerah dan tunduk kepada keputusan Rasulullah ﷺ.
Rasulullah ﷺ memutuskan hukuman mati bagi orang-orang yang terlibat dalam peristiwa di pasar tersebut, yang melakukan tindakan keji, dan menyelisihi perjanjian. Keputusan ini bukan hanya menjadi pelajaran bagi Yahudi atas perbuatan mereka mengganggu wanita muslimah dan menumpahkan darah umat Islam, akan tetapi sebagai hukuman keatas gangguan-gangguan yang mereka lancarkan semenjak Rasulullah ﷺ menetap di Madinah. Mereka mencela Allah, Rasul-Nya, mengganggu para sahabat, menebarkan isu-isu yang memecah belah, dan lain-lain lagi.
Visi Rasulullah Memilih Waktu Perang
Nabi ﷺ tidak terburu-buru dan emosional dalam melakukan tindak balas diatas gangguan kaum Yahudi. Baginda tidak terburu-buru memilih untuk melancarkan serangan ketenteraan sebagai jawapan kepada perbuatan jahat Yahudi. Rasulullah ﷺ adalah seorang yang realistik dengan keadaan semasa. Meskipun secara spritualnya, para sahabat baginda telah bersiap sedia bertempur, namun kemampuan material masih belum mencukupi. Ini ditambah dengan kesan pasca perang yang lagi mampu ditanggung oleh umat Islam, kerana umat Islam belum mempunyai kekukuhan dari aspek kewangan.
Setelah dianggap berkemampuan dalam aspek kawalan ekonomi dan memiliki persenjataan ketenteraan yang sempurna, barulah Rasulullah ﷺ menyerang Bani Qanuqa. Yang dikatakan kemampuan dalam aspek perekonomian ialah umat Islam sudah memiliki pasar sendiri, sedangkan sebelumnya mereka menggunakan pasar Bani Qanuqa. Kaum muslimin juga telah menguasai sumber air, dengan pembelian telaga Ruma oleh Utsman bin Affan radhiallahu ‘anhu dan diwakafkan untuk kepentingan kaum muslimin. Manakala kemampuan secara ketenteraan pula ialah, kaum muslimin tidak mengharapkan sekutu dan pihak lain yang menjamin mereka.
Yahudi, Dahulu dan Sekarang
Sudah menjadi tabiat orang-orang Yahudi senantiasa melanggar perjanjian. Kalau dahulu datuk nenek moyang mereka melakukannya, kini anak cucu cicit mereka mengikut perbuatan datuk nenek moyang mereka. Telah kita ketahui, pada awalnya orang-orang Yahudi dilarang memasuki wilayah Palestin, namun mereka tetap melanggar hal itu. Dari seluruh dunia, mereka datang menuju Palestin, mengambil sedikit demi sedikit wilayah tersebut. Mereka mulai menguasai ekonomi Palestin, kemudian menyelundup senjata-senjata ringan, kemudian senjata-senjata berat. Sampai akhirnya terjadi konflik dan PBB pun menetapkan ketetapan untuk membahagikan wilayah Palestin untuk orang-orang Arab dan orang-orang Yahudi.
Kemudian, sehingga sekarang. sempadan wilayah Yahudi kian melebar dan terus membesar. Janji perdamaian bagi mereka hanya sekadar catatan kertas yang tiada ertinya.
Hubungan Erat Yahudi dan Munafik
Secara umumnya, penampilan orang-orang munafik tidak jauh berbeza dengan kaum muslimin. Mereka memakai nama-nama yang Islami dan penampilan yang tidak menyelisihi umat Islam di daerah mereka tinggal. Namun hati mereka menyelisihi penampilan fiziknya. Mereka bersahabat dengan Yahudi, bahkan menjaga imej dan kewujudan Yahudi di negeri-negeri Islam.
Orang-orang Yahudi juga terus berusaha menjalinkan hubungan yang rapat dengan mereka, dari dahulu sehingga sekarang. Kalau dahulu, orang-orang Yahudi melindungi Abdullah bin Ubai, maka sekarang ini, penderma-penderma Yahudi juga melindungi agen-agen mereka di negeri muslim. Penderma-penderma Yahudi ini membiayai organisasi-organisasi kaum munafiq, memberikan biasiswa kepada individu-individu pilihan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi terkenal agar imej cendekiawan wujud pada agen mereka, selain mempopularkan kelompok munafiq ini melalui media massa milik mereka. Oleh kerana itu, Allah mengatakan mereka ini adalah saudara.
أَلَمْ تَر إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلاَ نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِنْ قُوتِلْتُمْ لَنَنْصُرَنَّكُمْ وَاللهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Penutup
Peristiwa peperangan Rasulullah ﷺ dengan Yahudi Bani Qanuqa’ penuh dengan pelajaran berharga:
– Betapa mulianya kedudukan wanita di dalam Islam dan dustanya tuduhan orang-orang feminis yang menyatakan bahawa Islam merendahkan kedudukan wanita.
– Betapa besarnya erti menutup aurat, hingga Rasulullah ﷺ mengerahkan pasukan tentera Islam bagi mempertahankan aurat wanita muslimah dari diganggu orang-orang yang menganggunya.
– Sikap Rasulullah ﷺ yang begitu tenang, jauh dari emosinal dan terburu-buru dalam memerangi Yahudi. Baginda memulai dengan pemantapan iman, kemudian kesiap siagaan material, barulah mengadakan serangan ketenteraan terhadap Yahudi.
– Di tengah-tengah umat Islam senantiasa ada orang munafik yang dengan lantang membela kepentingan Yahudi.
Sumber:
– Shalabi, Ali Muhammad. 2007. Ghazawatu ar-Rasul, Durus wa ‘Ibar wa Fawa-id. Kairo: Muassasah Iqra.
– islamstory.com
Artikel asal dipetik dari : www.KisahMuslim.com
0 Comments
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.