Transliterasi oleh : Jebat
Cara Mengerjakan solat Jenazah di Perkuburan
Assalamualaikum….
Bagaimanakah tata cara jika solat jenazah dilakukan di kubur kerana terlambat untuk mengikutinya secara berjamaah di masjid atau dirumah arwah?
Disoal oleh : Wardi
Jawapan dari Ustaz Ammi Nur Baits:
Wa ‘alaikumus salam
Bismillah was salatu was salamu ‘ala Rasulillah, amma ba’du,
Dalam masaalah solat jenazah di perkuburan, terdapat beberapa hadis yang secara makna literalnya bertentangan.
Pertama, Hadis-hadis yang melarang solat di kuburan.
Hadis dari Abu Said al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الأرض كلّها مسجد إلاّ المقبرة والحمّام
Kemudian, hadis dari Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau mengatakan,
نهى عن الصلاة بين القبور
Dalam riwayat lain dari Abu Martsad al-Ghanawi, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
لا تصلوا إلى القبور ولا تجلسوا عليها
Hadis-hadis di atas bersifat umum, kita dilarang untuk melakukan solat di kubur, apapun bentuk solatnya, tak terkecuali solat jenazah. Kerana solat jenazah, sekalipun tidak ada rukuk dan sujud, namun ianya adalah satu ibadah yang disebut dengan nama ‘solat’.
Kemudian, khusus hadis khusus mengenai solat jenazah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, melarang ianya di lakukan di tengah-tengah kubur. Dari Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau mengatakan,
أنّ النبي صلى الله عليه وسلم نهى أن يصلى على الجنائز بين القبور
Kedua, Hadis-hadis yang membolehkan solat jenazah di kubur.
Disamping beberapa hadis yang melarang, terdapat beberapa hadis yang menegaskan boleh melakukan solat jenazah di kubur. Antaranya;
Hadis dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma,
Bahawa ada orang yang meninggal dan dimakamkan para sahabat di malam hari tanpa memaklumkan kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Padahal ketika sakit, orang ini sering dijenguk oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Di pagi harinya, mereka baru memberitahu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam.
“Mengapa kalian tidak memberi tahu aku?” tanya Baginda.
“Malam hari, gelap. Kami khuatir akan menyusahkan anda.” Jawab sahabat.
Ibnu Abbas melanjutkan ceritanya,
فأتى قبره، فصلى عليه، قال: فأمّنا،وصفّنا خلفه، وأنا فيهم، وكبّر أربعا
Kemudian, hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu,
Bahawa ada seorang wanita hitam yang tinggal di dalam masjid, menjadi tukang sapu masjid. Suatu ketika, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam mencarinya. Para sahabat memberi tahu bahawa beliau sudah meninggal.
“Mengapa kamu tidak memberitahuku? .” Tanya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Seolah-olah para sahabat menganggap orang ini biasa-biasa sahaja .
“Tunjukkan kepadaku, di mana kuburnya.” Pinta Baginda.
Kemudian baginda mendatangi kuburnya dan solat jenazah di sana. Lalu baginda bersabda,
إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِى عَلَيْهِمْ
Berdasarkan beberapa hadis di atas, ulama berbeza pendapat tentang hukum solat jenazah di kubur. Berikut adalah penjelasannya;
Pertama, solat jenazah di kubur tidak sah. Ini merupakan salah satu riwayat pendapat Imam Ahmad. (al-Inshaf, 1/490).
Kedua, solat jenazah di kubur hukumnya makruh. Ini merupakan pendapat Mazhab Hanafi, Maliki, Syafii, dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad. (Badai as-Shana’i 1/320, Bidayatul Mujtahid 1/410, al-Majmu’ 5/231, al-Inshaf, 1/490).
Dua pendapat ini berdalil dengan beberapa hadis yang melarang solat di kubur dan secara khusus, larangan melakukan solat jenazah di kuburan.
Ketiga, solat jenazah di perkuburan, jika ada sebab, hukumnya dibolehkan. Ini merupakan pendapat sebahagian Mazhab Hanafi (al-Fatawa al-Hindiyah, 1/165), sebahagian pendapat Mazhab Maliki (Bidayatul Mujtahid, 1/410), majoriti ulama Hambali (al-Mughni, 3/423), dan Zahiriyah (al-Muhalla, 4/32).
Dari ketiga-tiga pendapat ini, yang lebih mendekati kebenaran adalah pendapat ketiga, bahawa solat jenazah di perkuburan ini hukumnya diperbolehkan / dibenarkan. Diantara alasannya ialah;
Pertama, semua tindakan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam berupa solat jenazah di kubur yang baginda lakukan bersama para sahabat menjadi pengecualian terhadap larangan dalam beberapa hadis di atas. Sehingga kita boleh mengamalkan semua hadis, dengan meletakkan kedudukan masing-masing sesuai dengan keadaannya. Hadis yang melarang solat di kubur dapat difahami disini ialah semua jenis solat selain solat jenazah yang mana disini terdapat sedikit pengecualian.
Pemahaman semacam ini sesuai kaedah:
إعمال الكلام أولى من إهماله
Ketika kita berpendapat bahawa solat jenazah di perkuburan hukumnya dilarang, maka ianya akan mengakibatkan kita menafikan semua hadis yang membolehkan solat jenazah di perkuburan.
Kedua, sementara hadis dari Anas bin Malik, bahawa ‘Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang solat jenazah di sekitar kubur’,
Hadis ini memiliki beberapa perbahasan, diantaranya secara umum, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang solat di antara kubur, tanpa ada tambahan kata ‘jenazah’. Dan inilah riwayat yang umum. Sementara tambahan kata jenazah ‘melarang solat jenazah’ adalah riwayat yang ganjil, menyelisihi keumuman riwayat yang lain. (at-Taqrib hlm. 169).
Ketiga, Perbuatan para sahabat
Beberapa sahabat mengejakan solat jenazah di perkuburan. Ini menunjukkan bahawa mereka memahami perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai dalil bahawa perbuatan itu dibenarkan.
Nafi' – ulama tabi’in murid kepada Ibnu Umar – menceritakan,
لقد صلينا على عائشة وأم سلمة وسط البقيع بين القبور، والإمام يوم صلينا على عائشة أبو هريرة وحضر ذلك ابن عمر
Demikian jawapannya, Allahu a’lam.
Tata Cara Solat Jenazah di Kubur
Mengenai tata cara solat jenazah di kubur, sama seperti dengan cara solat jenazah pada umumnya.
Rujukan :
1. Majalah Buhuts al-Islami, vol. 80, edisi Dzulqa’dah-Shafar (caturwulan), 1427 H.
2. Laman web rasmi Dr. Muhammad Ali Farkus: http://ferkous.com/site/rep/Be1.php
3. Fatwa Syabakah Islamiyah, no. 11238
Dipetik dari : KonsultasiSyariah.com
0 Comments
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.