HIJRAH UTUSAN ALLAH

Oleh : Nurfitri Hadi
Tranliterasi : Jebat

Selama ini, bila berbicara mengenai hijrah, yang bermain di fikiran kita hanyalah cerita penghijrahan Nabi kita, Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Padahal, ketika kita membaca Al-Quran, tentu kita akan dapati bahawa para Nabi dan Rasul selain Nabi Muhammad pun berhijrah. Namun mungkin kita kurang menyedari bahawa itulah hijrah mereka, fasa baru dakwahnya para utusan Allah.

Meskipun banyak nabi dan rasul yang mengalami hijrah, hijrah mereka berbeza dengan hijrah Nabi kita, Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Di antara Rasul yang mengalami peristiwa hijrah adalah:

1. Nabi Ibrahim ‘alaihi sallam.

Mengenai hijrah Nabi Ibrahim, terdapat dua pendapat, kota mana yang menjadi tujuan Nabi Ibrahim setelah pergi dari negerinya Iraq. (1) Ada yang mengatakan bahawa beliau berhijrah ke Makkah dan (2) yang lainnya mengatakan bahawa beliau berpindah ke Syam, ke tanah Jerusalem, Palestin. Dan tidak diragukan lagi, Nabi Ibrahim memang memasuki kedua kota tersebut. Namun kota mana yang terlebih dahulu dikunjungi? Allahu a’lam.

Setidak-tidaknya ada tiga ayat yang menerangkan tentang penghijrahan Nabi Ibrahim ‘alaihi as-salatu wa as-salam.

فَآَمَنَ لَهُ لُوطٌ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَى رَبِّي إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Maka Luth membenarkan (kenabian)nya. Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku); sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Ankabut: 26).

Ayat lainnya,

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ

Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku”. (Ash-Shaffat: 99).

Dan firman Allah,

وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَأَدْعُو رَبِّي عَسَىٰ أَلَّا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku”. (Maryam: 48).

Baginda menjauhkan diri dari peribadatan yang mereka lakukan dan juga menjauhkan diri dari tempat tersebut.

2. Musa ‘alaihi sallam.

Peristiwa hijrah Nabi Musa berbeza dengan penghijrahan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Ketika hijrah, Nabi Musa belum diangkat sebagai rasul. Adapun Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad telah diangkat sebagai rasul saat keduanya berhijrah.

Peristiwa hijrah Nabi Musa terjadi pada saat beliau membunuh seorang laki-laki Qibthi.

وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَىٰ قَالَ يَا مُوسَىٰ إِنَّ الْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَاخْرُجْ إِنِّي لَكَ مِنَ النَّاصِحِينَ

"Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu". (Al-Qasas: 20).

Nabi Musa pun pergi menuju Madyan. Beliau tinggal di Madyan selama 10 tahun. Disana, Nabi Musa menikahi seorang wanita di wilayah tersebut.

Selain itu, perbezaan diantara hijrah Nabi Muhammad dan Nabi Musa adalah latar belakang hijrah mereka. Jika hijrah Nabi Muhammad adalah disebabkan kerana orang-orang Makkah telah menutup rapat diri mereka dari hidayah Islam, sementara di Madinah penerimaan dakwah secara meluas dan lebih mudah terdirinya negara Islam disana. Sedangkan hijrah Nabi Musa adalah bertujuan menghindari kezaliman Firaun.

فَفَرَرْتُ مِنْكُمْ لَمَّا خِفْتُكُمْ فَوَهَبَ لِي رَبِّي حُكْمًا وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُرْسَلِينَ

"Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya." (Ash-Shu`arā': 21).

Masih banyak nabi dan rasul yang berhijrah, seperti Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf, dan lain-lain. Kesimpulannya, hijrah para nabi yang terdahulu berbeza dengan hijrah Nabi Muhammad. Hijrah baginda memiliki kedudukan yang begitu mulia dan juga sangat berat dalam praktiknya. Hijrah baginda tidak disebabkan untuk lari dari seksa atau azab kaumnya. Sebaliknya hijrah baginda adalah kerana mahu mengembangkan Syiar Islam

Sumber:

– Muhammad, Utsman bin, al-Khomis. Fabihudahum Iqtadih. 2010. Kuwait: Dar al-Ilaf ad-Daulah.

Post a Comment

0 Comments