OPERASI MENGUMPUL SERPIHAN MH17 BERMULA

Kuala Lumpur - Setelah hampir empat bulan pesawat Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines ditembak jatuh di Ukraine, akhirnya urusan mengumpul serpihannya kini dimulakan.

Lembaga Keselamatan Belanda mengumumkan dalam laman webnya pada Ahad bahawa ia mengarahkan serpihan pesawat itu dikumpul dan dibawa ke Belanda sebagai sebahagian daripada proses siasatannya terhadap kejadian itu.

"Sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan, Lembaga Keselamatan Belanda berhasrat memasang kembali sebahagian daripada pesawat itu," kata lembaga itu dalam kenyataannya.

Kata kenyataan itu, operasi mengumpul serpihan pesawat terbabit dijangka mengambil masa beberapa hari, bergantung pada keadaan keselamatan dan faktor lain.



"Ia akan dibuat penilaian setiap hari. Serpihan akan dikumpul berhampiran tempat nahas dan dari situ ia akan diangkut ke Kharkov dan akhirnya ke Belanda.

"Ketika ini, Lembaga Keselamatan Belanda tidak dapat memberi maklumat terperinci tentang kaedah pengangkutan yang akan digunakan serta jadualnya," kata kenyataan itu.

Penerbangan MH17 bersama 298 penumpang dan anak kapalnya ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine yang bergolak ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pada 17 Julai tahun ini.

Sumber : RTM

Post a Comment

0 Comments