Tun Mohamed Suffian bin Haji Hashim, Pro-Canselor,
Ibu-ibu, bapa-bapa,
Saudara-saudara hadirin yang saya muliakan!
Bagaikan tersepuh sinar matari pagi yang membancuh seribu warna di rumput-rumput, daun-daun dan kuntum bunga-bunga, maka demikian hati ini membuka kelopaknya terjulang terapung di arus awan sedang berarak.Dan tertumpanglah saya di upacara keramat ini
Dewan bertuah ini menjadi saksi ribuan graduan datang dan pergi, dan pagi yang manis ini, untuk kesekian kali penuh upacara tradisi dan perarakan menyambut kelahiran para graduan sekalian.
untuk suatu anugerah mulia
yang tak termimpikan sebelumnya.
Saya dan para graduan sekalian
datang dari latar pendidikan
yang agak berbeza dan berlainan.
Sumber ilmu saya ialah pengalaman di tengah
alam manusia seluas lautan dengan deru ombak
alun gelombang badai taufan.
Dunia saya cakerawala Tuhan luas terbentang.
Punca ilmu saudara lebih banyak dari buku dan kuliah
dari para profesor dan penyarah
serta timbunan buku di perpustakaan yang melimpah ruah.
Dunia saudara umumnya
tenang bagaikan kolam malam bulan terang
aman bagaikan bayu berhembus petang.
Persekitaran deretan banggunan konkrit
dikelilingi taman dan tasik
megah gagah permai indah
lengkap pula dengan para pengawal keselamatan.
Pada saat yang mengharukan ini
muncul dalam kenangan saya beberapa orang yang dikasihi
yang memberi ilham, semangat dan sumbangan murni
dalam kehidupan berkarya saya.
Di antara mereka patut saya sebutkan
saudara Abdul Samad Ismail, Keris Mas. Asraf
di samping keluarga saya dan orang-orang akrab.
Juga saya tidak melupakan jasa Syarikat Utusan Melayu
tempat saya mencanai bakat
yang merupakan Maktab Penulisan yang besar jasanya
kepada perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu.
Segala budi dan kasih mereka ini
selamanya terkalung di tangkai hati.
Penghormatan mulia ini
bukan semata untuk diri saya peribadi
tetapi lambang kehormatan
kepada golongan penulis dan idealisme
yang sekian lama kami sanjung tinggi
dan kami nyanyikan dari hati nurani kami.
Golongan penulis, melalui pencapaiannya
seperti juga golongan terpelajar melalui pendidikannya
sama-sama merupakan sebahagian dari golongan cendiakawan.
Ada bahayanya bahawa golongan ini
akan tersisih dan terpencil dari masyarakat.
Malah besar pula kemungkinan bahawa di antara kita
ada yang akan menjadi penindas rakyat.
Sejarah banyak sekali menceritakannya.
Tetapi sekiranya kita cukup menyedari hal ini
maka kita akan melihat tugas dan peranan penting kita.
Para penulis dan golongan terpelajar
dalam sejarah singkatnya telah berjuang
menegakkan kemerdekaan dan keadilan.
Tercapai sudah kemerdekaan politik
tetapi sisa-sisa penjajahan masih wujud
dalam bidang-bidang ekonomi dan kebudayaan.
Di seluruh jagat ini
khususnya negara-negara sedang membangun
termasuk negara kita yang tercinta
masih ada masalah lama yang berlanjutan belum selesai.
Segala bentuk penindasan dan kecurangan
rasuah dan kekejaman masih tajam mencengkam.
Dan alangkah ngerinya hidup kita
serta masa depan anak-anak kita yang tak berdosa
yang dicakar oleh kejahatan kuasa-kuasa besar
yang saling bertentangan berebutan pengaruh
di samping perlumbaan persenjataan maut yang
mengancam kelanjutan umat manusia dan peradabannya.
Oleh itu kepada universiti yang gagah ini
kepada graduan yang terhutang budi
saya ingin mempertaruhkan impian dan harapan saya.
Saya yakin jauh di lubuk hati fikiran saudara
berkilau sinar cahaya kemanusiaan
yang dapat menjadi sumber harapan rakyat.
Mungkin pada sebahagian daripada saudar
sinar kemanusiaan ini bakal malap dan pudar
dan saudara akan menjadi sebahagian daripada
golongan penindas rakyat.
Sedangkan sebahagian lain pula sinar cahaya itu
begitu rawan meliuk-lintuk kerana saudara terumbang-ambing -
separuh hati berasa terpanggil oleh cita-cita rakyat
separuh hati lagi didesak oleh kepentingan dan
ambition sendiri.
Impian dan harapan saya agar sinar cahaya kemanusiaan
akan semarak menyala di lubuk hati saudara -
menyala dan membesar untuk membakar hangus
kemiskinan kekejaman dan ketidakadilan
di bumi kita yang indah subur,
cantik bagaikan permata zamrud ini.
Penulis lemah seperti saya sekadar mampu memiliki impian
dan memberikan wajah serta suara.
Sesungguhnya melalui saudara-saudaralah,
dengan kemuliaan budi dan kebijaksanaan fikiran,
impian itu menjelma menjadi kenyataan.
Hadirin yang saya muliakan
Izinkanlah saya mengutip baris sajak saya
yang sudah lebih sepuluh tahun tergantung
di pintu masuk perpustakaan universiti ini,
kerana sajak ini mengungkap secebis
dari harapan dan impian saya agar universiti ini
tegak sebagai lambang merupakan :
Pelabuhan kebudayaan dan peradaban zaman Gedung akal laut bicara manusia Mutiara pendeta tasik pujangga Kota kebenaran penaung kebebasan ucapsuara.Dan beberapa baris sajak 'Mahasiswa'
yang saya tulis lebih dua puluh tahun dulu :
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik Atau bersamanya berjalan ke parlimen Kerana tenagamu dan ilmu di dada Akan merombak erti hidup sebuah negara.Kepada Universiti ini, serta anggota Dewan Senat
yang sudi mengangkat saya untuk berdiri
di pentas yang sangat keramat ini
saya menjunjung budi dan kasih yang setinggi-tingginya.
Terima Kasih
1983
________________
Catatan :
(Ditulis dan diucapkan ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan di Universiti Malaya, di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, 1983)
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.