LEMAK LEMBU TIDAK HALAL DALAM SUSU TEPUNG

[Gambar Hiasan]
BANGI – Seorang profesor  dari Institut Penyelidikan Halal hari ini mendedahkan adanya syarikat pembuat susu tepung menggunakan lemak lembu yang diambil dari lembu yang tidak disembelih atau disembelih tanpa mengikut syarak  untuk dicampur dalam susu tepung pengeluaran mereka.

Lemak lembu itu turut digunakan secara meluas dalam pembuatan gula-gula getah, toffee, jeli, pencuci mulut, aiskrim, getalin, kek dan  biskut selain sebagai tambahan sehingga 30 peratus ke dalam susu tepung.

Bagaimana pun beliau menegaskan bahawa berbagai produk susu tepung yang dihasilkan di kilang Eropah itu tidak diimpot ke mari.

Pendedahan itu dibuat oleh Prof. Dr Yaakob Che Man dari Institut Penyelidikan Halal, Universiti Putra Malaysia dalam kertas kerjanya  “Penggunaan Sumber –Sumber Haiwan Dalam Pemprosesan Makanan & Bioteknologi Moden : Sejauh Manakah Kesannya terhadap Hukum”, yang dibentangkannya hari ini di Seminar Maqasid Shariah: Fiqh Kenegaraan & Fiqh Pemakanan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Prof Dr Yaakob turut mendedahkan betapa lemak babi digunakan sebagai tambahan dalam menghasilkan susu tanpa lemak  dengan 880g susu tanpa lemak dicampur dengan 120 gram lemak babi.

Penggunaan lemak itu disokong satu laporan daripada Wyeth Laboratories England mengenai penggunaan minyak aleo yang dihasilkan  daripada lemak lembu itu, katanya.
Prof. Dr Yaakob Che Man

Beliau juga menerangkan bahawa penggunaan lemak babi demikian itu disahkan oleh  Pengerusi Bahagian Antarabangsa Kumpulan Penyokong Penyusuan Ibu  Sweden yang menjalankan kajian mengenainya.

“Kita bernasib baik dan tidak perlu ragu kerana barangan yang mempunyai logo halal Jakim bermakna ia telah diluluskan Jakim yang menggunakan standard tinggi dalam penetapan makanan halal,” katanya.

Beliau menjelaskan selain itu, lemak babi juga banyak digunakan dalam industri pengeluaran makanan moden sebagaimana lemak lembu itu.

Selain itu produk berasaskan surimi iaitu sejenis protein yang digunakan untuk membuat bebola ikan, mi ikan, sosej ikan, burger ikan dan berbagai produk yang lain, juga menimbulkan keraguan.

Ini kerana terdapat produk yang berasaskan surimi diperbuat daripada  plasma darah haiwan. Plasma ini boleh meningkatkan kualiti gel dalam surimi tersebut.

“Walaupun terdapat kelebihan-kelebihan yang boleh di sumbangkan oleh plasma protein dalam meningkatkan kualiti surami, penggunaannya  boleh menimbukan permasalahan di kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan bioteknologi dalam industri juga menimbulkan keraguan dalam banyak jenis makanan yang walaupun pada asasnya halal. 

Ini kerana gen daripada suatu spesis dipindahkan kepada spesis yang lain untuk mendatangkan hasil yang dikehendaki. Ini menimbulkan keraguan tentang status kehalalan makanan tersebut.

“Pada tahun 2002 Agensi Standard Makanan United Kingdom mendapati DNA lembu dan babi terdapat dalam 57% daripada 30 ekor ayam yang diuji.

“Kes seperti ini berlaku kerana penggunaan kolegen haiwan bagi menjalankan fungsi sebagai pengikat air dan sumber protein kepada haiwan ternakan lain,” katanya.

Artikel ini telah diterbitkan pada 15 Julai 2010 

Sumber : UKM News

Post a Comment

0 Comments