Oleh : Abdul Aziz Hussin
Undang-Undang Sepintas Lalu.
Kita pernah mendengar penjenayah dikenakan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah. Ada juga penjenayah dikenakan bunuh kerana membunuh orang lain. Kita juga pernah melihat pemandu dikenakan saman kerana melanggar lampu isyarat. Pesalah dan pemandu masing-masing dihukum dan disaman kerana melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Begitu juga halnya dengan orang dewasa yang tidak membawa kad pengenalan, orang itu boleh dihukum. Kalau kita menipu atau mencuri pun kita akan dihukum. Hukuman akan dikenakan oleh mahkamah. Jika murid sekolah berkelakuan nakal di sekolah, mereka juga akan dihukum oleh guru sekolah. Mahkamah mengenakan hukuman mengikut undang-undang. Begitu juga sekolah akan menghukum murid-murid nakal mengikut peraturan sekolah.
Jika kita lihat kenderaan di jalan raya, kita dapati bahawa kenderaan yang datang dan pergi akan mengikut lorong jalan yang berbeza. Kenderaan itu juga menggunakan jalan raya mengikut undang-undang jalan raya.
Kalau pula kita masuk ke rumah orang lain tanpa izin tuan rumah itu, tentulah kita akan dihalau oleh tuan rumah. Hal ini demikian kerana tuan rumah itu ada hak disisi undang-undang atas rumahnya itu. Jadi nampaklah jelas bahawa kehidupan seharian kita perlu mengikut undang-undang.
Apakah Undang-Undang?
Undang-undang kadangkala disebut juga hukum. Undang-undang adalah aturan yang mengawal perjalanan hidup kita atau masyarakat. Ia dibuat oleh kerajaan atau negara. Ada juga undang-undang yang mengikut agama. Undang-undang dibuat bagi memastikan kehidupan masyarakat menjadi aman dan sejahtera. Undang-undang mengandungi apa-apa perbuatan yang dilarang atau ditegah, dan apa pula perbuatan yang perlu kita buat dan lakukan. Jika orang tidak mematuhi larangan itu maka dia akan dihukum. Begitu juga jika ada orang yang tidak melakukan apa-apa yang diarahkan oleh undang-undang maka dia juga akan dihukum. Ada juga undang-undang yang gunanya untuk memastikan semua pihak mendapat hak masing-masing.
Sumber undang-undang akan dibincangkan dalam siri 2 manakala jenis-jenis hukuman yang dikenakan kepada orang-orang yang tidak mematuhi undang-undang akan dibincangkan pada siri 3.
Mengapa Perlu Undang-Undang?
Undang-undang diperlukan untuk mengawal masyarakat. Undang-undang juga memastikan setiap orang mendapat hak masing-masing. Jika tidak ada undang-undang, maka kehidupan manusia menjadi seperti haiwan. Yang kuat dan gagah akan menguasai yang lemah. Harimau akan memakan apa sahaja yang ia suka sebab ia raja di rimba. Yang lemah seperti rusa tidak boleh berbuat apa-apa jika harimau telah menerkam. Ia cuma boleh lari. Tiada siapa yang akan menghukum harimau jika ia berbuat kesalahan. Dan tiada siapa yang menjaga hak rusa.
Kehidupan manusia tidak sama dengan kehidupan haiwan. Manusia mempunyai akal dan hidup bermasyarakat. Hampir semua manusia ada negaranya. Jadi manusia perlu dilindungi nyawa dan hartanya. Kesejahteraan dan kebajikan manusia perlulah dijaga daripada penganiayaan atau kezaliman. Masyarakat manusia juga perlu dijaga. Begitu juga negara perlulah dijaga. Semua itu akan dijaga dan diaturkan oleh suatu cara yang seragam yang disebut undang-undang.
Cabang Undang-Undang
Cabang undang-undang dibahagikan mengikut bidang atau jenis pemakaiannya. Di antara cabang undang-undang ialah seperti berikut ;
Undang-Undang Jenayah
Yang paling popular ialah undang-undang jenayah. Undang-undang jenayah ialah undang-undang yang dibuat oleh negara bagi menghukum pesalah-pesalah yang melakukan kejahatan. Negara juga yang akan mendakwa orang berkenaan. Contoh kesalahan jenayah adalah mencuri, merompak, merogol, membunuh orang, membakar rumah atau harta orang lain, berjudi, mengedar dadah, mencederakan orang lain, dan lain-lain lagi. Orang yang didapati bersalah akan dihukum mengikut kesalahannya. Contohnya orang yang mengedar dadah atau membunuh orang akan dihukum bunuh. Orang yang mencuri atau merompak akan dihukum penjara. Orang yang merogol akan dipenjara dan disebat dengan rotan. Orang yang berjudi akan dikenakan membayar sejumlah wang sebagai denda.
Undang-Undang Kontrak
Undang-undang kontrak pula ialah mengenai janji antara dua pihak atau beberapa pihak. Misalnya anda menjual sesuatu jenis barang dan orang lain berjanji membeli barang itu. Katakan orang itu enggan membeli atau tidak mahu membayar harga barang tersebut selepas barang diambilnya. Maka di sinilah undang-undang kontrak dipakai untuk memaksa orang itu membayar harga barang itu. Begitu juga jika barang yang dibeli itu rosak atau tidak seperti yang dijanjikan. Maka undang-undang kontrak akan digunakan bagi menyelesaikannya.
Undang-Undang Harta
Selain itu terdapat juga undang-undang harta. Undang-undang harta adalah mengenai tanah dan harta lain milik seseorang. Jika ada masalah atau perbalahan berbangkit mengenai harta maka undang-undang harta akan digunakan bagi menyelesaikannya.
Undang-Undang Keluarga
Jika pihak-pihak dalam sesuatu keluarga berbalah maka undang-undang keluarga akan digunakan bagi menyelesaikannya. Misalnya jika suami isteri bercerai, atau mereka berebut untuk mendapatkan hak penjagaan anak, maka kaedah dan peraturan undang-undang keluarga akan digunakan. Bagitu jugalah jika isteri atau janda itu menuntut nafkah (sara diri).
Undang-Undang Pusaka
Orang yang meninggal dunia biasanya meninggalkan harta. Harta ini diberi nama harta pusaka. Harta pusaka akan dibahagi-bahagikan kepada yang berhak di sisi undang-undang. Maka undang-undang yang digunakan ialah undang-undang pusaka.
Undang-Undang Antarabangsa
Jika perbalahan berbangkit diantara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain maka ia akan melibatkan satu lagi cabang undang-undang. Undang-undang itu dikenali sebagai undang-undang antarabangsa. Undang-undang antarabangsa juga akan digunakan dalam menyelesaikan perbalahan di antara orang-orang persendirian atau rakyat negara-negara yang berbeza. Ia juga digunakan dalam menyelesaikan perbalahan mengenai perkapalan, penerbangan udara, perdagangan antarabangsa dan yang lain.
Undang-Undang Islam
Satu lagi kelompok undang-undang yang penting di negara kita ialah undang-undang Islam. Ia terpakai kepada orang-orang Islam. Ia juga boleh dipakai kepada orang-orang bukan Islam yang mengaku taat kepada pemerintah Islam. Undang-undang Islam mengandungi undang-undang jenayah, kontrak, undang-undang harta, pesaka dan juga undang-undang keluarga serta bentuk lain undang-undang. Ia berlainan dengan undang-undang bukan Islam. Hal ini demikian kerana undang-undang Islam mengenakan tanggungjawab pada diri dengan Tuhan, misalnya puasa dan sembahyang. Undang-undang Islam juga mengenakan tanggungjawab akhirat kepada orang-orang yang ingkar. Undang-undang Islam juga mengenakan hak dan tanggungjawab sesama manusia dan negara. Jadi undang-undang Islam lebih luas daripada cabang atau jenis undang-undang yang lain.
Dipetik dari buku "Memperkenalkan Undang-Undang, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia"
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.