POLITIK

[POLITIK][bleft]

ANTARABANGSA

[YAHUDI][bsummary]

EBOOK PERCUMA

[EBOOK][twocolumns]

IKTIBAR DISEBALIK KEKALAHAN KAUM MUSLIMIN DALAM PERANG UHUD

Penulis : Muhammad Sanusin

Jika saya bertanya kepada anda, “siapakah yang menang pada perang Uhud?”. Tentu tanpa keraguan anda akan menjawab, “Kaum musyrikin”. Maka beberapa alasan dan bukti diajukan :

1. Jumlah kaum muslimin yang meninggal lebih banyak dari tentera kuffar

2. Banyak dari para pahlawan Islam mati syahid, seperti Hamzah dan Mush’ab bin ‘Umair radiallahu anhuma.

3. Kaum muslimin meninggalkan medan perang, dan mundur ke arah gunung.

4. Dan pelbagai alasan yang lain.

Saya katakan, “Engkau benar, pada saat itu kaum muslimin yang menderita kekalahan, jika kita hanya melihat dari sudut pandang kerugian ketika perang. Tetapi jikalau kita melihat dari nilai yang kaum muslimin pelajari dari perang Uhud, saya dengan yakin mengatakan, kaum Muslimin yang menang ketika Perang Uhud“.

Penjelasannya :

Ketika kaum muslimin merasakan pahitnya kekalahan pada perang Uhud, mereka pun menyedari apakah punca kekalahan itu, dan dengan apa mereka akan meraih kemenangan. Sebelum perang Uhud, sewaktu pada pagi Sabtu, Rasulullah salallahu alaihi wasallam telah mengarahkan agar pasukan pemanah yang berada di bukit Rumah (nama aslinya bukit ‘Ainain) agar tetap berada ditempatnya, walaupun kaum muslimin telah meraih kemenangan atau ditimpa kekalahan.

Api peperangan menyala, pedang menyambar, anak panah meleset keluar dari busurnya, tombak dijunamkan, banyak nyawa yang melayang, kaum muslimin menyerang, maju dengan penuh kepahlawan sebagai ksatria, kemenangan pun telah menampakkan senyumnya, kaum musyrikin lari meninggalkan medan perang penuh ketakutan.

Saat itu, diatas bukit, pasukan pemanah mulai berselisih pendapat, kebanyakan mereka berkata, “Kita telah menang, ayuh kita turun untuk bersama saudara-saudara kita“.

Ketua pasukan pemanah, Abdullah bin Jubair radiallahu’anhu mengingatkan, “Tetaplah berada ditempat kalian, kerana Rasulullah memerintahkan agar kita tetap berada diatas bukit, dalam keadaan kita menang ataupun kita kalah“.

“Perintah Rasulullah itu adalah dalam keadaan perang, sekarang perang telah selesai dan musuh telah melarikan diri“, alasan yang diberikan oleh mereka kepada Abdullah. Kemudian 40 orang dari 50 orang pasukan pemanah turun dari bukit.

Ketua pasukan berkuda kaum musyrikin Khalid bin Walid (sebelum masuk Islam) melihat kebanyakkan pasukan pemanah telah meninggalkan tempatnya, maka dia dengan segera menyerang pasukan kaum Muslimin dari belakang. Sisa pasukan pemanah yang berada diatas bukit yang bertugas untuk melindungi bahagian belakang kaum muslimin tidak dapat menghadapi pasukan berkuda kaum musyrikin.

Keadaan menjadi kacau bilau. Cahaya kemenangan yang mulai nampak kembali bersembunyi, kekalahan akhirnya dirasai, luka jasmani dan pahitnya kekalahan mereka, dihadapi dengan begitu berat.

Namun mereka sedar akan sebab kekalahan: Melanggar satu perintah Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam. Mereka menyedari bahawa mereka akan mendapatkan kunci kemenangan dan pertolongan Allah Ta’ala apabila mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Sebab kekalahan telah diketahui, kunci kemenangan di tangan. Maka setelah perang Uhud, kaum Muslimin selalu meraih kemenangan.

Pelajaran dari kemenangan di masa khalifah Abu Bakar As Siddiq

Setelah Rasulullah salallahu alaihi wasallam wafat, kesedihan melanda di dalam jiwa dan sanubari kaum muslimin. Bahkan kekacauan terjadi pada kekhalifahan Islam yang baru berdiri, dengan munculnya Nabi-Nabi palsu, banyak kabilah Arab yang tidak mahu membayar zakat, keamanan kota Madinah, ibu kota Negara Islam terancam. Saat itu, Abu Bakar radiallahu’anhu sebagai Khalifah memerintahkan agar pasukan Usamah bin Zaid radiallahu’anhu segera berangkat. Pasukan yang dibentuk oleh pada era pemerintahan Rasulullah salallahu alaihi wasallam itu diarahkan untuk memerangi kabilah-kabilah Arab di daerah perbatasan dengan negeri Syam, dan juga kabilah-kabilah Arab yang telah memerangi kaum muslimin bersama dengan tentera Roman.

Banyak dari sahabat tidak menyetujui keputusan Abu Bakar radiallahu’anhu. Madinah pada ketika itu sedang diancam dengan serangan musuh. Para sahabat berpendapat adalah sebaiknya pasukan Usamah itu diarahkan untuk memperkuat pertahanan kota Madinah. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat, sekiranya pasukan Usamah memang terpaksa dihantar untuk berperang, maka panglimanya harus diganti, kerana Usamah masih terlalu muda untuk memimpin sebuah pasukan.

Abu Bakar radiallahu’anhu telah mengetahui rahsia kemenangan, yang mana banyak dari sahabat lalai darinya kerana terbeban dengan musibah akibat dari kematian Rasulullah salallahu’alaihi wasallam. Dengan tegas beliauu mengatakan, “Aku akan tetap akan menghantar pasukan Usamah, walaupun aku harus pergi seorang diri“. Dia berkata, “Apakah aku mengganti sebuah bendera (sebuah pasukan), yang telah dikibarkan oleh Rasulullah salallahu alaihi wasallam?”

Apa yang terjadi?

Pasukan Usamah meraih kemenangan. Dengan sebab itu, banyak kabilah Arab akhirnya tunduk pada Khalifah kaum muslimin, kerana mereka mengetahui bahawa Khalifah kaum muslimin tidak mungkin mengirim pasukan keluar Madinah, kecuali mereka memiliki pertahanan yang kuat untuk mempertahankan kota Madinah.

Kita ingin meraih kemenangan dan kejayaan kembali bagi Umat Islam? Ingat perang Uhud, ingat Abu Bakar dan pasukan Usamah. Lalu kita lihat diri kita, dimanakah sunnah Rasulullah salallahu alaihi wasallam berada ? Dan dimanakah kedudukan kita pada hari ini ?

Apa yang pasti, mengikut jalan Sunnah adalah jalan menuju kemenangan!

POST A COMMENT


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.