MUHAMMAD MUHD TAIB SEORANG PENIPU - SULTAN SELANGOR

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Sultan Selangor menyifatkan penganugerahan darjah kebesaran semasa zaman pentadbiran menteri besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib terlalu mudah dan sesedap hati seperti hidangan “buffet”.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata Muhammad banyak menukar adat negeri, misalnya memberi darjah kebesaran dengan hanya kelulusan exco, tanpa melalui Dewan Diraja.

"Sebab itu kadang-kadang istana kata darjah kebesaran semasa zaman Muhammad seperti buffet sahaja, letak atas meja terus ambil," katanya, sebelum tradisi itu dikembalikan seperti asal.

Baginda menambah, susulan prestasi pegawai kerajaan sekarang yang tidak bagus, istana tahun ini memutuskan memberi 17 pingat darjah kebesaran sahaja yang membawa gelaran Datuk.

"Saya pun tengok pegawai-pegawai kerajaan tidak menunjukkan prestasi bagus, jadi saya tidak bagi banyak. Kita beri 17 gelaran Dato', satu Dato' Seri dan tiga Dato' Setia," katanya, apabila ditanya sebab jumlah darjah kebesaran tahun ini, sempena keputeraan baginda ke-70, berkurang.

Baginda, dalam wawancara akhbar Mingguan Malaysia, juga terus-terang mengakui tidak menghormati Muhammad, menteri besar Selangor antara 1986 hingga 1997, yang didakwa mengaut kekayaan ketika aktif berpolitik dan sikapnya yang sering melompat parti.

"Terus terang, saya tidak hormat pada Muhammad Taib. Dia buat kekayaan ketika berada dalam Umno, kemudian masuk PAS.

"Kemudian apabila PAS kelam-kabut, dia keluar dan masuk PKR. Kalau dia masuk mana sekalipun, macam mana hendak hormat sebab dia banyak melompat," kata baginda.

Baginda mendedahkan almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah berselisih dengan Muhammad kerana beliau berbohong.

Baginda juga menyifatkan kewujudan jawatan timbalan menteri besar semasa itu sebagai kesilapan terbesar Selangor dan selepas mengambil alih takhta, baginda memansuhkan jawatan itu.

“Saya tidak pernah argue (berbalah) dengan menteri besar. Hanya sekali sahaja ayahanda saya berbalah dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, itu pun kerana beliau berbohong.

“Sebab beliaulah, kita wujudkan jawatan timbalan menteri besar dan itu adalah kesilapan terbesar negeri Selangor,” kata Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Semasa ambil alih (takhta) ayahanda, saya cakap dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) saya tidak mahu timbalan menteri besar. Beliau tanya kenapa?

"Timbalan menteri besar ini tidak lain kerjanya hendak menjatuhkan menteri besar. Jadi menteri besar takut apa akan datang dari belakang. Dia bukan menolong tapi menjatuhkan.

"Bukan bermakna timbalan menteri besar secara automatik akan jadi menteri besar. Jadi, ada cita-cita lain. Jadi, lebih baik tidak ada. Pak Lah setuju dan sejak itu tidak ada lagi timbalan menteri besar.”

Sumber : http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/sultan-mb-selangor-dulu-anugerah-gelaran-datuk-macam-bufet#sthash.RYyRaZaO.dpuf

Post a Comment

0 Comments