SULTAN SELANGOR KECEWA DENGAN BANGSA MELAYU


SUASANA dalam wawancara dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan ke-70 kali ini berbeza. Tidak seperti selalunya dilakukan di Istana Mestika atau Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, kali ini di pejabat baginda di Wisma Concorde, Kuala Lumpur.

Dalam suasana lebih santai, baginda meluangkan waktu lebih dua jam berkongsi pandangan dan mengupas banyak isu daripada perkara yang selalu baginda tekankan iaitu berkaitan perpaduan dan agama sehinggalah kepada hal anugerah kebesaran, kesihatan, ibu tunggal, peminta sedekah dan bola sepak.

“Saya sudah bosan,” begitu luahan kekecewaan Sultan Selangor tentang kemelut dan polemik politik yang semakin teruk khususnya di Selangor yang akhirnya hanya merugikan rakyat.

Dalam nada tegas pula, Sultan Sharafuddin berjanji akan terus menjaga sebaik-baiknya orang Melayu dan Islam yang kini sedang menghadapi cabaran besar. Malah sebelum meninggal dunia, baginda mahu melihat terlebih dahulu arah pentadbiran anakanda baginda, Raja Muda Tengku Amir Shah yang kini sedang menjalani latihan ketenteraan di United Kingdom.

Ikuti wawancara Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, DATUK ABDUL AZIZ ISHAK, Penolong Pengarang Utusan Malaysia/Berita, ZULKEFLI HAMZAH, Pengarang Rencana Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, Ketua Biro Selangor, MOHAMAD ZABRY MADZLAN, dan jurufoto, MOHD. NAJIB MOHD. NOOR

Mingguan Malaysia : Apa mesej khusus yang Tuanku ingin sampaikan kepada rakyat sempena Hari Keputeraan ke-70 ini?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Saya sangat berharap orang Melayu bersatu padu, jangan berpecah. Perkara ini saya sudah perkatakan banyak kali, mesti satu hati dan buat baik antara satu sama lain. Kita mesti pertahankan agama Islam. Saya tengok ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang bijak pandai mempertikaikan agama Islam. Mungkin ideologi politik berbeza tapi dalam soal agama dan bangsa, orang Melayu mesti bersatu. Tiada pengecualian. Sekarang saya nampak ada orang Melayu yang mempersoalkan balik (isu agama Islam). Saya sangat sedih. Kalau orang Melayu tidak bersatu, habislah. Orang lain tidak lagi pandang mulia kepada kita, mempermain-mainkan kita. Bukan kita bersatu bermaksud mahu pergi berperang atau nak bergaduh tetapi kita tidak mahu orang lain boleh buli kita.

Selain itu, rakyat Selangor terdiri daripada pelbagai kaum Melayu, Cina dan India. Justeru, mereka perlu hidup bersama-sama, menghormati sesama mereka. Jangan sentuh isu sensitif. Saya tidak suka lihat orang Melayu sentuh isu agama lain. Penganut agama lain juga jangan merentasi had (agama lain). Saya tengok rakyat faham perkara ini dan berharap orang politik perlu memainkan peranan. Jangan pula cuba menjadi batu api kerana rakyat mudah terpengaruh.

Tapi sayangnya wakil rakyat tidak berfikiran sedemikian. Saya mahu rakyat Selangor hidup harmoni. Saya nak orang yang tinggal di negeri ini selesa, tiada rasa takut kerana Selangor ialah negeri maju. Kalau tidak boleh duduk bersama-sama, kita tidak boleh maju ke depan.

Mingguan Malaysia : Tuanku kembali tradisi lama supaya tidak semua orang mudah dapat darjah kebesaran?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Kalau diikutkan kita memang ikut tradisi tetapi yang banyak tukar adat ini ialah Muhammad Mohd Taib (bekas Menteri Besar Selangor). Macam penganugerahan darjah kebesaran tidak lagi melalui Dewan Diraja, tetapi Exco sahaja luluskan terus, bagi darjah kebesaran.

Sebab itu, kadang-kadang istana kata darjah kebesaran semasa zaman Muhammad seperti buffet sahaja, letak atas meja terus ambil. Sekarang, kita kembali kepada tradisi lama semula. Kalau kita ada tradisi dan adat yang bagus, orang pandang cantik dan penuh mulia, sesuai dengan adat orang Melayu kita. Di Selangor ini ada dua bab yang tidak pernah dicampur adukan. Satu bab agama dan satu lagi hal adat istiadat.

Umur untuk layak mendapat gelaran Dato’ di Selangor ini ialah 45 tahun ke atas. Ada jawatankuasa yang akan menapis permohonan-permohonan tersebut. Dewan Diraja tidak akan buang masa sebab jawatankuasa telah meneliti secara terperinci. Jawatankuasa akan memeriksa umur, kemudian dihantar ke Cawangan Khas PDRM untuk diperiksa jika ada masalah. Kemudian ke cukai pendapatan (LHDN), ke jabatan muflis dan seterusnya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Syarat untuk penganugerahan gelaran Dato’ Seri dan Dato’ Setia pula adalah berumur 50 tahun ke atas. Gelaran Dato’ Seri dan Dato’ Setia maksimum hanya dua penerima sahaja setahun di Selangor. Kalau hendak bagi tiga penerima, tahun hadapannya pula kena dikurangkan kepada satu penerima sahaja. Kadang-kadang terpaksa beri tiga penerima sebab orang itu sudah berusia. Oleh itu tahun hadapannya pula cuma satu gelaran Dato’ Seri dan Dato’ Setia akan diberi.

Saya suruh Setiausaha Kerajaan Negeri umumkan siapa akan dapat darjah kebesaran pada tahun ini. Saya juga suruh untuk memaklumkan bahawa saya ada juga perkenalkan satu anugerah baharu untuk sukan. Tetapi anugerah ini akan mula diberi pada tahun hadapan. Pada tahun ini, kita isytihar dan wartakan sahaja.

Ada tiga kategori bagi anugerah sukan ini iaitu bintang pertama, bintang kedua dan selepas itu pingat. Bintang pertama hanya kepada atlet yang memenangi pingat dalam Sukan Olimpik, Komanwel dan Sukan Asia. Kita perkenalkan anugerah ini sebab atlet-atlet yang menang ini masih muda iaitu berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Bintang kedua dan pingat pula diberikan kepada pemenang pingat seperti Sukan SEA dan dalam peringkat nasional. Setiausaha Kerajaan Negeri akan beri maklumat terperinci tentang anugerah ini pada 11 Disember depan (Jumaat lalu).

Saya tidak beri darjah kebesaran pada 11 Disember, kerana masanya pendek dan orang Islam hendak pergi solat Jumaat. Pada 11 Disember adalah cuti umum Hari Keputeraan saya. Saya akan mengadakan penganugerahan darjah kebesaran pada hari Sabtu, 12 Disember (semalam).

Mingguan Malaysia : Tahun ini darjah kebesaran yang akan diberikan berkurangan?

SULTAN SHARAFUDDIN : 

Ya memang kurang. Pada tahun lalu, mereka menyatakan tahun depan umur saya 70 tahun, maka hendaklah beri 70 darjah kebesaran membawa gelaran Dato’. Saya kata mana boleh. Beginilah, kalau 70 tahun, kita beri 17 sahaja cukuplah.
Saya pun tengok pegawai-pegawai kerajaan tidak menunjukkan prestasi bagus, jadi saya tidak bagi banyak. Kita beri 17 gelaran Dato’, satu Dato’ Seri dan tiga Dato’ Setia.

Mingguan Malaysia : Dalam umur 70 tahun, bagaimana Tuanku menjaga kesihatan?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Bila semakin tua ini, umur 70 tahun kena kerap buat pemeriksaan kesihatan, periksa kalau ada kanser dan sebagainya. Saya banyak berjalan kaki (walking). Makan berpatutan dan kekalkan berat badan setiap masa. Saya juga ambil multi vitamin. Takut tak cukup zat dalam makanan.

Rali dan Raja Muda

Mingguan Malaysia : Tuanku mengikuti rali kereta klasik dari Singapura ke Myanmar (The Road to Mandalay) pada Februari lalu. Boleh Tuanku berkongsi pengalaman itu?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Rali ini bukan ikut lebuh raya tapi laluan di kampung-kampung. Saya tidak pernah menyusuri kampung-kampung di Johor, Pahang dan Kelantan misalnya, jadi saya berpeluang melihat secara lebih dekat. Saya mendapatinya sangat menarik. Seperti di Bukit Tinggi, Johor saya dapat melihat kesan-kesan sejarah. Di Pahang, saya masuk ke perkampungan Mat Kilau (pahlawan Melayu menentang penjajah British). Di Kelantan, kesan banjir dapat dilihat dan masih terdapat penduduk tinggal dalam khemah.

Berdasarkan maklum balas para peserta (dari luar negara), mereka tertarik dengan keramahan rakyat Malaysia. Mereka tiada masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Di Kelantan, mangsa banjir masih kelihatan ceria, tiada rasa sedih. Ini komen mereka (peserta). Cuma di Cameron Highlands, mereka pelik kenapa pokok-pokok ditebang begitu rakus seolah-olah tiada penguatkuasaan. Seperkara lagi, rakyat Malaysia suka bergambar. Jumpa saja mesti nak selfie.

Pengembaraan melalui jalan darat lebih mencabar daripada jalan laut. Jika guna jalan darat, kita berjumpa dengan banyak ragam manusia. Perlu banyak bersabar. Di laut, kita cuma berdepan dengan cuaca dan alam. Kalau dilanda hujan ribut, jangan lawan dia (cuaca). Kita ikut saja arus. (Baginda pernah mengelilingi dunia selama 644 hari mulai 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadinya - Jugra)

Mingguan Malaysia : Dalam rali seperti ini, berapa kelajuan tertinggi kereta yang Tuanku pandu?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Semasa Rali Peking-Paris (1997), kelajuan motokar saya (jenis Ford model B buatan 1932) ialah 60 kilometer sejam. Semasa rali baru-baru ini, kereta saya jenis Jaguar XK140 (1956) mencecah kelajuan 120 kilometer sejam. Dulu semua rali saya gunakan kereta buatan Amerika Syarikat tapi terbaru saya cuba kereta buatan British.

Mingguan Malaysia : Raja Muda, Tengku Amir Shah sekarang sedang menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom. Apa perkembangan baginda?

SULTAN SHARAFUDDIN:

Dia sangat gembira. Pada April depan, beliau bakal menamatkan latihan. Saya selalu berpesan kepadanya supaya berhati-hati semasa menjalani latihan. Saya paling risau jika beliau cedera kerana boleh melambatkan tempoh tamat latihan. Justeru, April nanti saya akan ke sana untuk menyaksikan upacara tamat latihan. Sekembalinya ke tanah air, dia akan menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja selama dua tahun. Jika tidak, rugi kerana dia berlatih ilmu ketenteraan. Batalion mana saya tidak tahu, tapi saya harap tidak jauh dari Shah Alam supaya dia mudah balik bagi menggantikan tugas rasmi sesekali.

Isu Menteri Besar

Mingguan Malaysia : Ramai orang bercakap kerusi Menteri Besar Selangor ini kerusi panas. Setiap menteri besar ada kontroversi tersendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Siapa duduk kerusi menteri besar ini, memang ada banyak godaan. Kerusi itu tidaklah setanding kerusi perdana menteri tetapi seakan-akan begitu di peringkat negeri. Dia boleh buat kekayaan, dia boleh dapat pengaruh, dia boleh berkuasa dan ramai orang datang berjumpa. Macam gula yang paling manis, semua semut menghurung. Itulah gambaran saya.

Bukan panas, tetapi semua ini terpalit dengan godaan. Sangat mudah untuk buat kekayaan dan berkuasa kerana orang pandang tinggi kepada jawatan menteri besar. Gaji semua menteri besar lebih kurang sama tetapi manisnya berbeza dan bagi Selangor sudah tentu lebih “manis”. Sebab itulah ia menjadi kerusi panas. Namun kerusi ini tidak panas, jika tahu prinsip. Kalau tidak ada prinsip, memanglah panas dan bergoyang. Kalau kamu ada prinsip dan teguh, orang hormat. Kamu buat jalan yang betul untuk rakyat dan kemajuan negeri, itu sempurna.

Malangnya kebanyakannya tidak begitu dan akhirnya memusnahkan diri. Sama juga dengan Dr. Mohamad Khir Toyo kerana duduk di atas kerusi itu, yang sangat berkuasa macam besi berani (magnet), mampu menarik pelbagai benda datang kepada kamu. Jangan lupa, lantikan menteri besar perlu melalui upacara angkat sumpah dari dahulu. Itu pasal, kebanyakan yang tidak betul, terhukum dengan sendiri.

Saya selalu cakap dengan Khalid dahulu, jawatan Menteri Besar Selangor ini masuk penggal kedua kalau tidak betul-betul, habis. Akhirnya beliau pun tak tahan lama, beberapa bulan lepas penggal kedua, beliau pun meletak jawatan.

Mingguan Malaysia : Setiap kali menerima menghadap menteri besar, apa perkara yang Tuanku selalu tekankan?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Perkara ini bergantunglah. Kadang-kadang ada menteri besar saya jumpa, dia tidak bercakap apa yang sepatutnya dan saya kena korek untuk dapat maklumat. Ada menteri besar, dia berkongsi apa yang sepatutnya. Jadi saya sentiasa kena baca minit (mesyuarat) Exco dan surat khabar tentang apa masalah yang berlaku. Tetapi kebanyakan soalan saya tanyakan tentang pembangunan negeri untuk rakyat serta masalah negeri seperti banjir dan air.

Pasal politik, saya tidak terlibat. Saya tidak mahu tanya apa-apa. Saya mahu tengok rakyat Selangor duduk di sini dalam keadaan aman dan selesa. Di Selangor, kami tidak pernah fikir negeri ini untuk orang Selangor sahaja dan orang luar tidak boleh datang. Kami sangat terbuka kepada sesiapa sahaja untuk datang ke Selangor, asalkan tidak buat masalah, buat kerja dengan elok dan bayar zakat di Selangor.

Kadang-kadang mereka bekerja di sini tetapi bayar zakat di tempat lain. Itu tidak betul. Saya tanya mufti, dia cakap bayaran zakat atau fitrah mesti di sini. Di negeri Selangor banyak terdapat mereka yang datang dari negeri-negeri lain di Malaysia.

Kita terbuka kepada sesiapa jua terutama mereka ini hendak menyumbang kepada pembangunan negeri Selangor.

Kalau kamu sebagai ahli perniagaan, kamu lakukannya dengan betul. Bukan bawa masalah seperti agama sesat dan sebagainya. Hampir semua isu besar seperti perhimpunan jalanan, agama sesat, militan Islam (IS), atau apa sahaja mesti bermula di Selangor, Kuala Lumpur atau Lembah Klang. Kalau hendak buat protes jalanan, ia tidak akan dibuat di Perlis, Terengganu atau Kuantan tetapi mesti dibuat di sini kerana populasi yang ramai dan mendapat impak yang berkesan daripada tindakan itu. Begitu juga ajaran sesat yang dilakukan di sini boleh mendapat duit dengan mudah. Kalau tidak ada duit, mereka tidak boleh buat apa-apa.

Di Selangor dan di Lembah Klang, ada pertambahan enam peratus penduduk setiap tahun. Bukan pertambahan enam peratus penduduk yang dilahirkan tetapi orang luar dari negeri-negeri di Malaysia yang datang ke sini. Jadi, kita perlu sediakan perumahan dan segala kemudahan.

Mingguan Malaysia : Antara Tan Sri Abdul Khalid dan Mohamed Azmin Ali, Tuanku lebih selesa dengan siapa?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Saya lihat Khalid mempunyai cara tersendiri tetapi beliau bukan master (pakar) tentang politik. Azmin pula saya lihat mahir dalam politik dan beliau memahaminya. Oleh itu kita lihat mana yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan ke negeri Selangor ini.

Saya tidak pernah argue (berbalah) dengan menteri besar. Hanya sekali sahaja ayahanda saya berbalah dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, itu pun kerana beliau berbohong. Sebab beliaulah, kita wujudkan jawatan timbalan menteri besar dan itu adalah kesilapan terbesar negeri Selangor.

Semasa ambil alih (takhta) ayahanda, saya cakap dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya tidak mahu timbalan menteri besar. Beliau tanya kenapa? Timbalan menteri besar ini tidak lain kerjanya hendak menjatuhkan menteri besar. Jadi, menteri besar takut apa akan datang dari belakang. Dia bukan menolong tetapi menjatuhkan.

Bukan bermakna, timbalan menteri besar secara automatik akan jadi menteri besar. Jadi, ada cita-cita lain. Jadi, lebih baik tidak ada.

Pak Lah setuju, dan sejak itu, tidak ada lagi timbalan menteri besar. Terus terang, saya tidak hormat pada Muhammad Taib. Dia buat kekayaan ketika berada dalam UMNO, kemudian masuk Pas. Kemudian apabila Pas kelam kabut, dia keluar dan masuk PKR. Kalau dia masuk mana sekalipun, macam mana hendak hormat sebab dia banyak melompat.

Kalau orang tidak ada prinsip jadi pemimpin, memang goyanglah. Kita mesti teguh. Kalau kepercayaan kita betul, periksa dan ulang periksa dan jangan berganjak bila sudah buat keputusan. Macam isu kalimah Allah, saya tanya pandangan mufti dan beberapa orang alim ulama lain, bila sudah buat keputusan saya tetap dengan pendirian saya dan memperjuangkannya.

Pada masa itu, arwah Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu kata boleh guna kalimah Allah. Saya kata tidak dan saya tetap dengan pendirian saya. Saya tidak akan musnahkan buku agama lain, saya hormat agama lain tetapi itu tidak bermakna saya masuk agama lain dan saya menjadi murtad.

Isu Peminta Sedekah

Mingguan Malaysia : Mungkin ada isu lain yang mendapat perhatian Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Sekarang ini bila saya keluar berjalan pada waktu malam, saya lihat banyak peminta sedekah. Mereka ini (peminta sedekah) digunakan oleh sindiket. Peminta-peminta sedekah ini terdiri daripada kanak-kanak yang diawasi oleh satu sindiket. Saya beritahu kepada IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar), bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sukar melakukan penguatkuasaan.

Jika betul kanak-kanak itu tiada duit, mereka boleh pergi ke Lembaga Zakat Selangor di mana mereka akan diselidik kesahihannya. Sindiket yang menjalankan aktiviti meminta sedekah ini datangnya dari negeri lain, jadi malulah saya. Saya malu bila melihat orang Islam di Selangor meminta sedekah. Oleh itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh memainkan peranan dan menyiasat peminta-peminta sedekah ini.

Tetapi orang Melayu, kerana hendak dapatkan pahala, mereka beri duit. Inilah punca masalah peminta sedekah berleluasa.

Mingguan Malaysia : Tuanku ada buat tinjauan sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Ya, saya melihat mereka ini berdekatan Seksyen 7 Shah Alam dekat Wisma Jakel dan I-City dan memang penuh kalau kita tengok. Sebab itu saya minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan penguatkuasaan bersama dengan pihak polis.

Fitnah dan berita palsu

Mingguan Malaysia : Kini timbul masalah melibatkan media sosial yang disalah guna untuk menyebar berita palsu dan fitnah. Apa pandangan Tuanku tentang hal ini?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Saya tanya Mufti tentang apa hukum fitnah memfitnah. Kata Mufti, hukum memfitnah adalah dosa besar. Saya berpendapat, penyakit yang boleh menyebabkan negeri ini tidak maju adalah fitnah dan rasuah. Saya anggap fitnah dan rasuah akan merosakkan negeri, seperti penyakit yang tidak boleh diubat dan boleh merebak serta merosakkan.

Apatah lagi pada zaman sekarang, orang tidak mahu membaca surat khabar, termasuk golongan muda yang lebih gemar merujuk kepada sumber media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya. Mereka (golongan muda) mestilah faham mana berita yang benar dan mana berita yang salah. Kalau berita itu menjurus kepada fitnah, tolong hentikan. Ia satu dosa. Sesiapa yang membaca sesuatu berita, kenalah diperiksa dahulu akan kesahihannya. Jangan mudah percaya kepada semua berita.

Rasuah dan fitnah telah menjatuhkan empayar besar di dunia ini. Kejatuhan Empayar Kesultanan Melaka juga musnah kerana fitnah dan rasuah. Pada saya fitnah dan rasuah adalah pemusnah dan perosak.


Mingguan Malaysia : Adakah Tuanku melihat fitnah ini sebagai sesuatu yang serius ketika ini dan apakah jalan keluar yang sesuai?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Amat serius. Kalau dahulu tiada banyak surat layang, tetapi kini, dengan adanya media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan sebagainya, hanya dalam dua saat, fitnah sudah disebar dan diketahui ramai. Ia merangkumi kawasan yang besar. Itu memang serius. Fitnah ini kalau dahulu tersebar dalam kumpulan kecil tetapi kini melibatkan kelompok yang lebih besar serta sangat berbahaya.

Mingguan Malaysia : Terdapat satu surah di dalam al-Quran mengatakan jika kamu dengar sesuatu, kamu perlu memastikan dahulu kesahihannya. Bukankah itu yang patut dijadikan pegangan masyarakat Islam?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Ya. Datuk Mufti ada cakap mengenai perkara ini ketika khutbah Jumaat, beberapa minggu sebelum ini amat bagus, ia khutbah merangkumi fitnah dan telah dibaca sebanyak dua kali Jumaat. Saya berpendapat bahawa kaedah terbaik dalam perkara ini adalah penguatkuasaan.

Nasib bola sepak Selangor

Mingguan Malaysia : Bagaimana dengan bola sepak Selangor (masuk final)?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Saya harap mereka boleh menang. Saya bercakap dengan Azmin (Menteri Besar Selangor), kita perlu lihat secara serius tentang bola sepak di Selangor ini. Ambillah pemain yang berkebolehan, bukan ambil pemain yang dari jauh. Saya suka ambil pemain bola sepak dalam kalangan orang Asia, termasuklah bakat-bakat tempatan. Misalnya, ambil pemain dari Indonesia. Sekarang Dolar Amerika Syarikat juga sudah mahal. Berbelanja perlu berpatutan, kita tidak boleh berlebih-lebihan.
Kini kita sedang memajukan bidang bola sepak di Selangor dengan mengadakan Piala Raja Muda untuk peringkat sekolah rendah dan Piala Datuk Mokhtar Dahari untuk peringkat sekolah menengah. Saya berkeyakinan Selangor mampu bangkit dalam arena sukan bola sepak.

Mingguan Malaysia : Tuanku punya keprihatinan kepada tokoh-tokoh sukan Selangor malah terlibat dalam teater untuk Allahyarham Mokhtar Dahari.

SULTAN SHARAFUDDIN :

Memang betul. Untuk mengingatkan keistimewaan dan kehandalan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam arena bola sepak dan untuk menjadikan inspirasi kepada generasi muda anak Selangor, serta mengekalkan nama beliau sebagai tokoh bola sepak. Maka, sebatang jalan telah dinamakan sebagai Jalan Datuk Mokhtar Dahari.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula telah dinaik taraf dengan membina sebuah bangunan baru yang cukup lengkap di satu kompleks yang mempunyai dua padang untuk bermain bola sepak yang dinamakan Padang Datuk Mokhtar Dahari dan satu lagi padang diberi nama padang Tan Sri Abdul Ghani Minhat. Kedua-dua ini adalah tokoh pemain bola sepak negeri Selangor.

Penstrukturan bekalan air dan kesan terhadap rakyat

Mingguan Malaysia : Isu penstrukturan bekalan air Selangor yang dekat di hati Tuanku akhirnya diselesaikan di meja rundingan. Tuanku ikuti perkembangannya?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Isu ini sudah lama, sejak zaman Khir Toyo (bekas Menteri Besar) lagi. Masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ialah Perdana Menteri. Saya tulis surat kepada mereka. Saya begitu bimbang pada masa itu. Kalau tiada air, tiada alternatif yang lain. Lampu kalau tiada elektrik ada pelita, lampu gas, janakuasa. Kalau tiada air bagaimana kita nak minum? Tiada lampu setakat gelap saja. Justeru, air sangat penting.

Sudah banyak kali saya cakap dengan kerajaan negeri (pada masa itu Menteri Besar ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Kerajaan Pusat, jangan politikkan isu air. Saya cakap dengan Abdul Khalid, kita mesti tolong rakyat dengan bersungguh-sungguh.

Mengenai pemberian air percuma, ia boleh mendatangkan pembaziran kalau rakyat tidak gunakannya secara berhemah. Saya selalu berpesan, kalau nak bantu rakyat mesti lakukan dengan berkesan. Kalau nak berbuat sesuatu mesti berkesan. Tapi manisfesto dia (Abdul Khalid) saya tidak mahu campur tangan. Sekarang sudah diberi (air percuma), mahu ditarik balik pula.

Air sangat mustahak. Kalau tidak cukup bekalan, rakyat boleh memberontak kerana menyusahkan mereka. Selangor bergantung kepada perindustrian. Kalau tidak cukup air, pelabur boleh tutup kilang dan berhijrah ke negara lain yang menyediakan bekalan lebih baik. Kita penat-penat bawa masuk pelabur asing, selepas itu kita biarkan. Ini yang saya bimbang. Rakyat pula menderita.

Saya lihat isu air ini pun mahu dipolitikkan. Kalau nak berpolitik sekali pun, kena sesuai dengan masa dan keadaan. Apatah lagi jika rakyat dibebani masalah yang tidak sepatutnya terutama golongan miskin. Sudahlah orang miskin duduk rumah pangsa empat tingkat tidak ada lif dan perlu angkut air. Mana orang tak marah.

Macam juga beli rumah harga sehingga RM3 juta tetapi kena tunggu lori datang tepi jalan untuk ambil air. Takkan harga rumah RM3 juta tetapi tidak ada air. Saya tengok dalam isu air ini, jangan dipolitikkan.

Macam saya cakap dengan Menteri Besar kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) dahulu; kenapa hendak beri subsidi gula? Kalau banyak makan gula, dapat diabetes. Kalau hendak tolong dalam beri makanan, beri yang betul-betul berfaedah. Orang Melayu kalau masak semua guna gula, jadi dapat diabetes. Kita kena usaha tolong rakyat tetapi mesti tolong dengan berkesan. Saya suka kalau hendak buat sesuatu benda itu, mesti efektif. Kalau tidak, buat penat badan sahaja.

Sekarang ini pun banyak negara di ASEAN seperti Kemboja dan Vietnam yang boleh tawarkan tempat melabur. Myanmar juga sudah mula buka negara untuk pelabur dan banyak kelebihan dari segi kos. Kita mesti jaga. Tidak guna kita pergi buat seminar untuk menarik pelabur sehingga ke China tetapi kemudian kita biarkan. Saya takut mereka lari dan rakyat pun menderita. Tidak ada kerja.

Isu politik, Islam dan MAIS

Mingguan Malaysia : Tuanku setuju tahun ini merupakan satu lagi tahun mencabar buat Selangor?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Berdasarkan pengamatan dan menerusi laporan dalam surat khabar serta blog, saya berpendapat pada tahun ini tidak mencabar seperti tahun lalu. Bagaimanapun, sekarang saya lihat dari aspek politik agak mencabar juga. Ada pergolakan dalam hubungan DAP-Pas-PKR dan masalah dalaman parti-parti itu sendiri. Saya tidak campur soal politik. Saya hanya mengikut perkembangan politik sahaja. Macam mana mereka nak tumpukan kepada pembangunan? Isu-isu banjir kilat, pengangkutan awam, semua ini perlu ditangani. Semoga ada jalan penyelesaian terbaik. Saya tunggu saja. Harap bersabar.

Mingguan Malaysia : Kerajaan Negeri Selangor kini dibentuk oleh sebuah pakatan yang longgar berikutan terbubarnya kerjasama antara DAP dan Pas di peringkat pusat dan mengakibatkan kerajaan tidak stabil di peringkat negeri. Apa nasihat Tuanku kepada parti-parti politik ini?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Saya tidak campur dalam politik kerana saya tidak faham politik sekarang.

Mingguan Malaysia : Kita masih ingat, pada masa itu Tuanku yang paling lantang memperjuangkan isu kalimah Allah. Ahli politik pula dilihat takut dan tidak ada kredibiliti?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Mereka (ahli politik) takut kerana hendak ikut telunjuk, itu masalahnya. Saya tanya mufti, macam mana nak selesai kerana ada orang suruh bakar Bible. Namun saya berpendirian tak usah lakukan sedemikian, tidak elok bakar kitab kepercayaan orang lain. Jadi saya berfikir macam mana hendak menyelesaikan perkara ini? Saya berhubung dengan ketua biskop di Sarawak melalui kawan saya. Ketua biskop itu kata, dia akan lakukannya tanpa penglibatan ahli politik. Jadi, saya maklumkan kepada Datuk Seri Najib.

Tetapi disebabkan krisis menteri besar sedang berlaku, kita tunggulah. Sesudah habis krisis, tahun lepas 2014 kita pulangkan balik (Bible bahasa Melayu). Tetapi sudah tentu ahli politik hendak ambil kesempatan untuk menambah mileage mereka. Saya tidak peduli, kerana saya buat kerja dengan ikhlas.

Saya tidak mahu publisiti dan hanya mahu jalankan tugas. Saya bukan bintang Hollywood yang hendakkan publisiti tetapi saya buat kerja saya. Kalau saya terdesak saya boleh sampaikan kepada rakyat melalui media massa. Saya lebih suka jalankan tugas secara senyap-senyap.

Mingguan Malaysia : Bagaimana tentang isu vape, Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN : 

Itu terpulanglah kepada kerajaan.

Isu rintihan rakyat

Mingguan Malaysia : Di beberapa kawasan penduduk membantah pembinaan kondominium mewah dan juga jalan raya bertol. Tuanku ada pandangan dalam hal ini?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Kondominium mewah ini saya setuju tetapi perlu tengok lokasinya. Mesti diseimbangkan dengan rumah atau pangsapuri mampu milik. Saya cakap dengan menteri besar, kondominium mewah kita mesti tengok tempatnya. Jangan sampai tempat tak sesuai pun kita buat juga.

Tetapi rumah atau pangsapuri mampu milik sangat penting sebab saya tengok graduan universiti kini tiada tempat tinggal dan sewa pula mahal. Sebab itu, PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) diwujudkan untuk orang Melayu dapat membeli rumah kos rendah mampu milik. Malangnya semasa era pentadbiran Khalid, PKNS jadi seperti pemaju-pemaju lain dan membuat keuntungan.

Semasa PKNS mula ditubuhkan dahulu, pemaju-pemaju Cina merungut kenapa PKNS hendak bersaing dengan mereka. Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) panggil mereka semua dan jelaskan PKNS bukan hendak bersaing dengan semua pemaju lain. PKNS bina rumah untuk orang miskin, akhirnya pemaju-pemaju Cina menerimanya. Sebab itu PKNS memperolehi tanah dengan premium rendah dan kemudian boleh membina rumah untuk orang miskin. Dengan cara itulah Selangor dan Kuala Lumpur dibangunkan pada masa itu. Selepas rumah dua bilik, PKNS bina rumah tiga bilik. Harga RM20,000, saya ingat lagi. Perkara sama juga berlaku di Kampung Baru, Keramat, Bangsar dan lain-lain. Semua itu di bawah tanggungjawab PKNS. Semasa era Khalid, PKNS seolah-olah diletakkan setanding dengan Sime Darby. Maka agak susah jugalah orang nak dapat rumah.

Mingguan Malaysia : Adakah kemungkinan untuk perkara ini dikaji semula?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Sekarang ni pun sudah dikaji semula melalui Rumah Selangorku yang mampu milik. Perumahan mewah mesti diseimbangkan dengan perumahan mampu milik sebab ramai orang luar datang sini.

Mingguan Malaysia : Setiap kali bulan Ramadan, Tuanku akan berbuka puasa dan solat Tarawih bersama rakyat hampir setiap malam. Apa yang membuatkan Tuanku mahu berbuat demikian?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Almarhum ayahanda saya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dahulu solat Jumaat di masjid berlainan setiap minggu. Sekarang tugas saya banyak, kalau saya buat begitu, saya hanya dapat bekerja empat hari seminggu. Hari Jumaat saya pergi masjid, balik pukul 5 petang, tidak boleh buat apa dah. Sebab itu saya selalu pergi ke masjid berdekatan seperti masjid negeri atau masjid di Bukit Jelutong.

Tetapi saya ambil kesempatan pergi ke semua masjid pada bulan Ramadan. Saya juga mendapati kos untuk merasmikan masjid dalam bulan Ramadan adalah lebih rendah. Saya selalu beritahu kerajaan negeri, jangan bazirkan duit. Sepanjang bulan Ramadan, saya pergi ke 26 masjid, itu menyamai dengan jumlah yang boleh saya pergi setiap minggu dalam masa setengah tahun. Saya jumpa rakyat, sumbangkan duit raya sebab Selangor banyak terima zakat. Mufti kata duit zakat tidak boleh disimpan. Kalau tahun ini dapat zakat, tahun ini juga mesti dihabiskan zakat itu. Jadi, kita agihkan kepada orang miskin, saudara baharu, ibu tunggal dan anak yatim. Kita telah bahagikan kira-kira RM30.8 juta kepada 41,568 keluarga asnaf, fakir miskin, ibu tunggal dan lain-lain yang berhak menerimanya. Saya kata kepada Datuk Mufti, kalau duit zakat banyak sangat, bolehkah kita simpan kira-kira RM30 juta setahun untuk tabung bencana? Mufti kata tidak boleh, jadi kita gunakan dana wakaf. Kita tidak ada masalah dalam perkara itu. Mana yang terlebih, kita tolong kepada orang miskin di negeri Selangor.

Tetapi saya tidak setuju kalau kita salurkan kepada negara lain. Orang Melayu sendiri masih ramai yang memerlukannya. Sebab itu kita pergi ke Kelantan, Perlis dan Perak. Di Kemboja pula, kita bantu umat Islam di sana dari segi pendidikan. Soal makanan, itu tanggungjawab kerajaan negara mereka. Lembaga Zakat Selangor juga sangat telus dan cekap. Setiap tahun kita umumkan dalam akhbar termasuk Mingguan Malaysia jumlah zakat yang dipungut dan diagihkan. Jadi, rakyat yang bayar zakat di negeri Selangor tahu ke mana wang zakat mereka disalurkan.

Perpaduan Melayu dan Komitmen Raja-Raja Melayu

Mingguan Malaysia : Kalau dalam isu ini, orang Melayu lebih cenderung meletakkan kepercayaan kepada Raja-Raja Melayu, apa pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN :

Majlis Raja-Raja Melayu sekarang sedang mengusahakan ke arah menitikberatkan isu-isu orang Melayu. Kalau dahulu tidak seperti ini, tetapi kini perlu. Kesemua sembilan Raja-Raja Melayu banyak membincangkan tentang perkara ini.

Saya rasa silaturrahim antara Raja-Raja Melayu sekarang adalah semakin rapat, bukan hendak kata dahulu tidak rapat tetapi dahulu kurang berkomunikasi - segan. Sebelum merdeka, perjalanan rasa sedikit jauh, tetapi kini Raja-Raja Melayu boleh berkumpul dengan mudah dan berkomunikasi kerana pengangkutan yang mudah dan mempunyai telefon.

Saya rasa kita lebih rapat sekarang. Lebih mengambil berat kerana agendanya adalah untuk masa depan negara. Kita tekankan tentang tanggungjawab untuk diberikan kepada generasi seterusnya. Kita tidak mahu generasi seterusnya menyalahkan kita sebab tidak menjalankan tugas. Raja-Raja Melayu hari ini menghadapi banyak cabaran besar. Raja-Raja Melayu sangat prihatin kepada rakyat. Saya percaya Raja-Raja Melayu mengambil berat tentang rakyat mereka, tetapi dengan cara mereka sendiri.

Sumber : http://www.utusan.com.my

Post a Comment

0 Comments