Oleh : Fadhil Zil Ikram
Harga minyak merupakan garis penentu yang penting untuk ekonomi negara seperti Malaysia, memandangkan 31.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bersumberkan hasil galian minyak. Kejatuhan harga minyak dan keadaan ekonomi sudah menjadi sepasang serta sepadan kerana asas kebanyakan produk untuk penggunaan masyarakat berteraskan harga minyak.
Terdapat faktor penting yang menyumbang kepada kejatuhan harga minyak dan hal ini bersangkut paut dengan ekonomi beberapa buah negara, seperti Amerika Syarikat, China dan Arab Saudi. Analisis harga minyak dalam indeks WTI (NYMEX) bagi 10 tahun yang lepas dapat menjelaskan bahawa harga minyak menunjukkan aliran semasa kenaikan yang mendadak pada tahun 2009 selepas kejatuhan harga pada 2009. Korelasi ini hampir sama dengan carta KDNK China yang memperlihatkan harga minyak naik mendadak pada tahun 2009, justeru memberikan corak penggunaan domestik kekuatan bahan api yang tinggi untuk menyokong pembanggunan China. Korelasi ini juga jelas dalam carta KDNK Amerika Syarikat yang menunjukkan kuasa pengguna domestik yang tinggi. Ternyata aliran harga minyak dan KDNK China menyimpang apabila indeks pengguna (CPI) negara itu merosot. Hal ini memberikan gambaran jelas yang menunjukkan bahawa penggunaan negara yang berpenduduk sebanyak satu bilion itu sedikit sebanyak menjejaskan harga minyak.
Sumber : http://www.eia.gov/petroleum/ |
Amerika Syarikat menunjukkan aliran yang berbeza disebabkan oleh faktor geografi. Selain lembangan Permian, Delaware, Teluk Mexico dan Marfa yang merupakan kawasan telaga minyak tradisi, kawasan formasi pasir dan batu bitumen Bakken yang merangkumi beberapa negeri, seperti utara Dakota dan Montana mempunyai rizab telaga minyak sebanyak 2 bilion tong dalam kajian agensi Pentadbiran Informasi Tenaga Amerika Syarikat (USEIA). Walaupun harga minyak masih dalam paras rendah, Amerika Syarikat masih lagi mengeluarkan minyak dengan harga yang tinggi kerana mengambil purata tiga perkara, iaitu harga minyak kawasan tradisi, harga minyak Bakken dan pengguna domestik.
Secara definitif, kejatuhan harga minyak kali ini bukanlah secara kitaran pasaran tetapi stuktural, yakni disumbangkan oleh bekalan dan permintaan yang diakibatkan juga oleh penghasilan dan pelaburan untuk aset penapisan dan penyulingan minyak oleh negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan anggota OPEC yang lain, seperti Russia, China dan Kazakhstan. Oleh itu, kejatuhan harga minyak kini adalah kerana penghasilan minyak yang terlalu banyak dan penggunaan minyak yang semakin menurun. Penghasilan minyak oleh Amerika Syarikat sebanyak 19.05 juta tong minyak sehari dengan penambahan sebanyak 2.15 juta tong minyak oleh kaedah fracking, iaitu menyerap minyak dari pasir atau batu bitumen.
Sumber : http://www.bloombergview.com/quicktake/oil-prices |
Sementara itu, Arab Saudi menghasilkan 9.15 juta tong minyak sehari. Penghasilan ini tetap berjalan walaupun pada hakikatnya, Arab Saudi memerlukan US$ 100 minyak setong untuk mengimbangi belanjawan kewangan negaranya. Pola penggunaan minyak dunia semakin berkurangan, misalnya negara pengguna minyak terbesar dunia, China, hanya menggunakan 10.68 juta tong sehari dengan peningkatan tidak langsung sebanyak 2.5 peratus bagi tahun ini. Syarikat Petroleum Nasional China (CNPC) juga meramalkan peningkatan penggunaan cecair gas asli (LNG) akan naik sebanyak 200 bilion meter kubik, iaitu 9.3 peratus berbanding dengan penggunaan tahun sebelumnya.
Selain itu, paip gas asli dari negara bukan anggota OPEC, seperti Kazakhstan dan Myanmar akan menyumbang kepada harga gas asli yang rendah, sekaligus memberikan persaingan kepada minyak mentah. Penggunaan tenaga hidro China bertambah dengan Three Gorges Dam yang mampu menghasilkan 98.8 terra watt sejam (TWh). Sementara itu, pasaran kewangan modal pinjaman telah dikecilkan dan keutamaan diberikan kepada syarikat milik kerajaan sahaja kerana China harus mengecilkan jumlah hutang sebanyak US$28 trilion yang boleh mengakibatkan risiko sistematik dan defisit yang berpanjangan.
Walaupun demikian, kita perlu juga melihat secara introspektif untuk kejatuhan harga minyak yang berakarkan krisis pada tahun 1980, iaitu ketika panik dalam persepsi kekurangan bekalan minyak dunia, harga minyak melonjak sehingga US$39.5 setong. Persepsi ini terhasil akibat Revolusi Iran dan Perang Teluk. Lantaran itu, pelaburan untuk aset penapisan dan penyulingan kurang mendadak sehingga tahun 2000 apabila harga minyak melonjak sekali lagi atas dasar kekurangan bekalan. Lantas pelaburan mendadak terhadap kedua-dua aset tersebut menghasilkan lebihan bekalan yang kini mengakibatkan harga minyak rendah. Tambahan pula, sebahagian negara anggota OPEC, seperti Arab Saudi mengekalkan pengeluaran minyak seperti biasa untuk mengelakkan kehilangan pasaran. Dalam pada itu, laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang berpusat di Paris melaporkan dinamika permintaan minyak dunia sedang mengalami peralihan stuktur dalam penggunaan dan perolehan minyak dan pada masa yang sama, hal ini mengimbangkan import dan perolehan negara pengguna. Penyebabnya ialah permintaan minyak yang kini mencecah 93.5 juta tong sehari dengan benua Asia sebagai pusat tarikan untuk eksport minyak mentah dunia dan Amerika Utara menjadi pengeksport minyak pada masa yang terdekat.
Sebagai perbandingan, OPEC pula menyasarkan pengeluaran minyak sebanyak 30 juta tong sehari dengan Iraq mengetuai kadar kenaikan pengeluaran minyak yang dianggarkan memuncak hingga 37.1 juta tong sehari pada tahun 2017. Lanjutan daripada itu, pengeluaran minyak Iraq dijangkakan meningkat sebanyak 1.28 juta tong sehari sehingga 4.54 juta tong sehari dari tahun 2014 hingga tahun 2019. Seterusnya 60% daripada bekalan minyak mentah OPEC akan datang dari telaga minyak di sekeliling Basrah, iaitu Qurna Barat Rumaila Selatan, Zubair dan Kumpulan Misan di selatan Iraq dengan nisbah rizab berjumlah 21.2 bilion tong minyak. Penganalisis minyak terkemuka dunia, Kurt Wulff dari McDep Associates, berpendapat bahawa US$90 setong minyak merupakan nilai yang mapan dan seimbang dalam bekalan dan permintaan bagi jangka masa panjang untuk pengeluar minyak dunia. Dalam penyelidikan yang sama, pelaburan terhadap aset penyulingan dan penapisan minyak di benua Amerika Utara yang berpusat di lembangan Permia dan Kanada Barat akan meningkat kerana kestabilan politik dan deposit minyak bukan konvensional, iaitu pasir bitumen.
Secara ringkasnya, pelaburan jangka masa panjang untuk sebarang aset minyak di Timur Tengah kecuali Iraq dan di negara bukan anggota OPEC, seperti Malaysia dan Kazakhstan, akan mengalami penyusutan. Hal ini dilihat demikian berdasarkan contoh syarikat penggalian terbesar minyak luar pesisir dunia, Transocean Ltd., yang menyekerapkan empat pelantar minyak dan 16 pelantar minyak terapung dalam, manakala empat pelantar lagi disimpan.
Natijahnya paras harga minyak dunia bergantung pada beberapa faktor di luar kawalan ekonomi domestik atau serantau yang merupakan hal yang lebih komprehensif dengan menjabarkan (membuat pecahan) proses dan pengeluaran kos pengeluaran, pelaburan aset penapisan dan penyulingan serta kestabilan politik sesebuah negara pengeluar. Hal ini juga satu hipotesis yang kurang tepat jika dianggap kartel seperti OPEC mempunyai impak yang mutlak terhadap harga minyak mentah. Hanya yang akan membezakan daya kelansungan hidup industri minyak Malaysia daripada pengeluar lain ialah pendirian tidak tunduk kepada kartel OPEC dan terus bersaing dengan mengimbangi pelaburan serta kos, terutamanya dalam bidang penggalian.
Artikel dipetik dari Dewan Ekonomi. Bil 6, 2015
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.