Oleh : Saiful Bahri Kamaruddin
Foto : Abd Ra’ai Osman
BANGI - Malaysia tidak akan mendapat keuntungan jika lambat menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Jika Malaysia mengambil sikap tunggu dan lihat, ia mungkin kehilangan semua kelebihan dirundingkan sebelum ini jika ia memutuskan untuk menyertai TPPA kemudian, katanya dalam satu taklimat kepada ahli akademik dan kakitangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Beliau mengulangi bahawa Malaysia, antara lain, berjaya melindungi keutamaan untuk bumiputera, perniagaan kecil dan industri halal tempatan semasa rundingan perjanjian perdagangan tersebut.
“Kita perlu merundingkan semula (perjanjian itu) jika kita menyertainya kemudian, tetapi kita tidak boleh mendapatkan semua kelebihan itu,” katanya pada sesi Bersama Menteri bertajuk TPPA: Perspektif Malaysia, yang ditaja oleh Majlis Profesor Negara dan UKM.
Pada majlis yang dihadiri lebih daripada 500 ahli-ahli akademik dan pelajar UKM dan universiti lain, beliau menjelaskan perjanjian perdagangan itu dan menolak kritikan bahawa kementerian tidak telus mengenai rundingan.
Sebaliknya, beliau menegaskan TPPA adalah satu peluang bagi Malaysia untuk meluaskan ufuk perniagaannya, dan bukan satu platform untuk penjajahan semula seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Mustapa berkata, Malaysia dan negara-negara membangun yang lain dalam TPPA cukup matang untuk menilai perjanjian tersebut sebelum mereka menandatanganinya.
Malahan, katanya, Malaysia turut mencari peluang pelaburan dan usaha sama perniagaan baru di luar negara dengan syarikat-syarikat asing tanpa menjejaskan kedaulatan negara-negara terbabit.
“Di Indonesia, kita melabur dalam pelbagai sektor seperti Perbankan dan Perladangan. Adakah ini bermakna kita sedang menjajah Indonesia? Di Vietnam banyak syarikat Malaysia yang beroperasi. Adakah kita menjajah Vietnam? Malah di Papua New Guinea (PNG), United Engineers Malaysia Bhd telah membantu membangunkan negara itu dengan membina beratus-ratus kilometer jalan raya. Papua tidak anggap kita menjajah mereka,” Mustapa berkata.
Menurut beliau, ia tidak masuk akal untuk menganggap perdagangan antarabangsa dan pelaburan sebagai penjajahan baru.
“Dalam sejarah, orang Barat menipu kita kerana kita tidak bijak. Kita tidak fikir bahawa kita akan dijajah. Ia menjadi satu pengajaran kepada kita dan sekarang kita dapat menilai perkara itu.
“Ini bukan lagi permainan zero-sum. Ia adalah situasi menang-menang. TPP membolehkan Malaysia mempunyai perdagangan lebih mudah dengan pihak lain.
“Jika tidak kerana Malaysia dan Indonesia, Singapura tidak akan menjadi kuasa besar ekonomi. Tanpa Singapura, Johor tidak akan mempunyai pelaburan yang besar di wilayah Iskandar.
Menjawab dakwaan analisis syarikat perakaunan Pricewaterhouse Coopers (PWC) yang menghitung bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan eksport hanya boleh berkembang 0.22 % di bawah TPPA dan akan ada risiko 30 peratus penurunan peratus dalam imbangan perdagangan, Mustapa berkata dagangan Malaysia masih berada dalam lebihan.
Beliau menerangkan jika diterima pakai dengan bijak TPPA boleh mempelbagaikan perdagangan Malaysia.
“Laporan PWC menunjukkan bahawa akan ada manfaat dan cabaran, tetapi secara keseluruhan, perjanjian itu memberikan lebih banyak faedah daripada cabaran.
“Kerajaan sedar bahawa kita perlu meningkatkan eksport kita, oleh itu kita merangka inisiatif seperti penubuhan Majlis Eksport Negara, dan memperkenalkan beberapa langkah untuk menjadi lebih agresif dalam eksport kita dan penerokaan pasaran baru.
“TPPA itu sendiri adalah satu alat yang boleh mempelbagaikan perdagangan kita supaya tidak terlalu bergantung semata-mata kepada Asia Timur seperti China,” katanya.
Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) — satu lagi cadangan perjanjian perdagangan bebas Asean dengan enam negara (Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand) yang turut menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan blok itu, Mustapa berkata, kerajaan sememangnya komited untuk melihat ia dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
“TPP akan menggalakkan lagi supaya RCEP ini dapat dimuktamadkan. Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Februari dan (jika perlu) kita akan membawa ke peringkat menteri jika tidak banyak perkembangan dicapai,” katanya.
TPPA, yang melibatkan 12 buah negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam, dan Malaysia, merangkumi hampir 40 peratus daripada KDNK dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global.
Satu sesi khas parlimen untuk membuat keputusan mengenai penyertaan Malaysia dalam TPPA dijadualkan pada 26 dan 27 Januari, diikuti oleh sesi khas Dewan Negara pada 28 Januari.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.