Oleh: Abu Marwan
Pembaca sekalian, salah satu sifat buruk yang perlu di jauhi dalam hidup seorang Muslim sejati adalah sifat suka berburuk sangka. Sifat buruk sangka ini datang daripada sikap suka berprasangka. Sikap prasangka ini terbahagi kepada dua iaitu prasangka baik dan prasangka buruk. Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Apabila melihat sesuatu perkara, manusia lebih cenderong menafsirnya daripada sudut negatif. Jadi, bagi mengelakkan berburuk sangka, kita perlu membuat usul periksa atau bertanya lanjut tentang sesuatu perkara sebelum membuat andaian. Allah mengingatkan kita dalam Quran, surat al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam) yang membawa sesuatu berita, maka siasat dengan teliti (benar atau tidak).'
Oleh itu, apabila kita fikir tentang orang lain, lihatlah daripada sudut pandangan yang positif dan baik. Contohnya apabila sidang pembaca melihat rakan pembaca menolong guru mengangkat barang, fikirlah dari sudut yang positif. Iaitu, dia kasihan kepada guru itu atau dia seorang yang sememangnya rajin dan suka menolong orang lain. Jangan cepat berprasangka buruk atau melihat dari aspek negatif seperti berfikir rakan pembaca itu hendak mengampu guru atau sebagainya.
Dengan cara itu, pembaca akan sentiasa dapat merapatkan silaturahim dengan kawan-kawan. Pembaca juga dapat melatih diri menjauhi sikap berprasangka buruk dan sekaligus dapat menjauhi fitnah. Ini kerana, prasangka buruk melahirkan sikap buruk yang lain iaitu fitnah dan mengumpat.
Fitnah ialah berkata sesuatu yang tidak benar terhadap orang lain. Ia berpunca dari prasangka buruk. Dosa fitnah ini juga cukup besar dan amat dikutuk oleh ajaran Islam. Fitnah boleh memutuskan silaturahim, merosakan hubungan sosial dan sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat dan negara kita. Manakala mengumpat pula berkata tentang orang lain berkaitan sesuatu yang tidak disukainya, walaupun perkara itu benar.
Dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 12, Allah menegah sikap keji ini. Maksudnya: “...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”
Allah mengibaratkan mengumpat ini sebagai memakan daging mayat yang busuk. Kita tentu sekali akan menjauhi dan berasa jijik terhadap perbuatan memakan mayat. Begitulah sepatutnya kita turut berasa jijik terhadap perbuatan mengumpat.
Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan fitnah dan mengumpat, jauilah sikap berburuk sangka. Bersihkan hati dan fikiran kita daripada segala sangkaan yang buruk. Orang yang gembira dan berjaya dalam hidup tidak akan bersangka buruk kepada orang lain. Dia sentiasa melihat dirinya dan apa yang ada disekelilingnya dengan fikiran yang positif dan baik sangka, walaupun dia mungkin tidak sehebat, semewah atau secantik orang lain.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.