Oleh : Najib Razak* Biar saya mulakan dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada baginda Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, penjaga dua masjid suci umat Islam dan Kerajaan Arab Saudi kerana memulakan Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat yang bersejarah ini. Tuanku Raja Salman, kami di Malaysia sangat gembira dan berbangga menerima kunjungan Tuanku baru-baru ini. Kunjungan itu menjadi satu saat bersejarah dalam hubungan dua hala negara kita. Lawatan Tuanku menjadi simbol kecintaan, keramahan, hormat-menghormati dan rasa syukur antara rakyat kedua-dua negara. Sidang kemuncak ini tepat pada masanya. Dunia perlu diingatkan bahawa negara-negara Islam hari ini mengutuk perbuatan keganasan dan ekstremisme yang kejam. Dunia tidak sepatutnya mempunyai keraguan bahawa kita berdiri bersama masyarakat antarabangsa dalam usaha menghapuskan ancaman global ini. Kami di Malaysia tidak mengalah dalam usaha menentang penularan radikalisme. Untuk itu, kerajaan saya telah mempromosikan konsep wasatiyyah – iaitu ajaran Al-Quran ke arah kesederhanaan. Saya telah menyeru ke arah penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010, dan kami telah memulakan satu yayasan bagi menyokong usaha ini di Kuala Lumpur. Malah program menentang radikalisme kami telah mencapai tahap kejayaan 95 peratus dalam mengintegrasi semula bekas anggota gerakan ekstremis. Malaysia bersedia untuk berkongsi kemahiran kami, seperti mana kami telah lama bekerjasama dengan rakan-rakan dari seluruh dunia. Pada 2015, Malaysia dan Amerika Syarikat bekerjasama untuk menubuhkan Bahagian Komunikasi Strategik Digital bagi menentang mesej negatif aktiviti keganasan. Kami telah bekerjasama dengan Australia untuk menyekat dana kepada kumpulan-kumpulan pengganas; dengan New Zealand dalam mengatasi elemen kimia, biologi, radiasi dan letupan; dengan Britain dan Perancis dalam tujuh bidang utama termasuk keganasan siber di samping belia dan hala tuju ke arah keganasan. Tuanku, antara perjanjian-perjanjian utama yang dicapai ketika lawatan rasmi Tuanku ke Malaysia adalah penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur. Pusat ini yang menjadi kerjasama bersejarah antara kedua-dua negara kita dalam usaha menentang ekstremisme akan mula beroperasi pada Jun 2017, selepas dirasmikan Timbalan Raja Muda Arab Saudi. Disebabkan hubungan agama dan budaya, rakyat Malaysia sudah lama berasa rapat dengan penduduk dan negara di rantau ini. Oleh itu, keadaan semasa rantau ini yang tidak stabil telah menyebabkan kami semua berasa bimbang. Rantau yang tidak stabil menjadi tapak subur bagi keganasan bercambah. Saya sedar terdapat kepercayaan meluas di sini bahawa Iran telah menyumbang sedikit-sebanyak kepada ketidakstabilan di rantau ini. Sebagai sebuah negara yang menikmati dan mementingkan hubungan baik dengan negara-negara di rantau ini, termasuk Iran, Malaysia merasakan bahawa Iran perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh diterjemahkan sebagai mencampuri hal ehwal dalaman jiran-jirannya. Langkah ini bukan sahaja demi kestabilan serantau tetapi juga untuk penyatuan ummah. Perjuangan menentang keganasan bukan sahaja melibatkan ketenteraan; sebaliknya termasuk memenangi hati dan minda manusia. Untuk itu, satu naratif perlu disampaikan di mana Islam dan dunia moden serasi; kemajuan kebendaan dan ketakwaan agama perlu seiring; dan ilmu keagamaan serta persoalan saintifik mengukuh di antara satu sama lain. Di Malaysia dan banyak negara Islam lain, ini adalah realiti kita. Bagaimanapun, kita perlu menekankan dan mengukuhkan kisah kita agar Islam sebenar dikenali di seluruh dunia dan pada masa yang sama kita menyelaras usaha menghancurkan Daesh serta sekutu-sekutunya di mana sahaja kewujudan mereka dapat dirasakan. Biar saya rumuskan dengan mengucapkan terima kasih kepada penjaga dua masjid suci umat Islam atas inisiatif ini yang menjadi petanda kepada negara-negara lain bahawa negara-negara Islam bersatu-padu dalam usaha mereka untuk menghapuskan keganasan. Yakinlah, Malaysia berdiri teguh dan kukuh dalam menyokong Arab Saudi dan kepimpinan Raja Salman selaku penjaga kedua-dua masjid suci umat Islam. Terima kasih. Pejabat Perdana Menteri 26/5/2016 *Penulis merupakan Perdana Menteri Malaysia ke 6
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.