[SAJAK] : ORANG KL


Orang KL

Salahkah kalau aku jadi orang KL
Bukan orang JB atau orang KB
Itu bukan kebanggaan tapi satu kenyataan
Jika orang Kuala Terengganu rindu harum pantai
Dan gerak ombak yang tidak pernah selesai
Jika lama tidak belayar ingin berbicara dengan laut
Aku rindu Kuala Lumpur jika lama tidak bertemu
Rindu Menara Berkembar Petronas dan
Gugusan pangsapuri, rindu RTM, rindu DBP

Salahkah kalau aku jadi orang KL
Bukan orang Alor Star atau orang Alor Gajah
Itu bukan satu kesombongan tapi satu kenyataan
Jika orang Kinabalu rindu pada gunung
Suara rimba dan kicau burung
Jika lama tidak mendaki, berbicara dengan bunga
Aku rindu Kuala Lumpur jika lama berjauhan
Terkenang Masjid Negara, UTM, dan Universiti Malaya,
Rindu Taman Rama-rama ingat Tasik Titiwangsa

Kuala Lumpur melihat aku dewasa
Memberi aku, berani seorang lelaki
Dan tabah seorang wanita, sekali melangkah
Jangan berpaling kerana di sini segalanya mungkin

Salahkah kalau aku jadi orang KL?


Siti Zaleha M.Hashim
Bangsar, KL
14 Febuari 2004
Dewan Masyarakat September 2004

Post a Comment

0 Comments