COVID-19 : ARAB SAUDI GANTUNG SEMENTARA KEBENARAN UMRAH BAGI WARGANEGARA DAN PENDUDUK TETAP DI ARAB SAUDI


RIYADH - 4 MAC 2020 : Kerajaan Arab Saudi telah mengambil tindakan menggantung sementara kebenaran pelaksanaan umrah dan melawat Masjid Nabawi berkuatkuasa serta merta bagi semua warganegara dan pemegang taraf penduduk tetap di Arab Saudi.

Menurut Saudi Press Agency (SPA) yang memetik sumber dari Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, tindakan berkenaan dilakukan bagi mengekang penyebaran wabak Novel Coronavirus (COVID-19) ke negara berkenaan.

Pada Isnin lalu, kerajaan Arab Saudi mengesahkan kes pertama COVID-19 selepas seorang warganegaranya yang baru pulang dari kawasan wabak di Iran di dapati positif ujian COVID-19. Terbaharu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi melaporkan, seorang lagi warganegaranya didapati positif ujian COVID-19 selepas pulang ke Arab Saudi dari Iran melalui Bahrain.

Sebelum itu, beberapa hari yang lepas, Arab Saudi mengumumkan menggantung sementara pengeluaran Visa Umrah dan Pelancong bagi negara-negara yang sudah mempunyai kes COVID-19. Tindakan penggantungan ini turut melibatkan warganegara Kesatuan Negara-Negara Teluk (GCC). - PenaMinang.com