Artikel Sebelumnya : TENTANGAN TERHADAP DAKWAH WAHABI
Adalah suatu hal yang tidak dapat dinafikan lagi, bahawa sesungguhnya pergerakkan Wahabi atau lebih tepat disebut Muwahiddun yang digerakkan di padang pasir Najd pada abad ke 12H (18 Masihi) merupakan suatu pergerakan terbesar dalam sejarah Pembaharuan Islam, di mana tidak kalah dari pergerakan yang dicetuskan oleh para mujaddid besar sebelumnya seperti Umar bin Abdul Aziz (Mujadidd abad I H), para imam empat mazhab (Mujadidd abad II H), Imam al-Asy'ari (adab III H), al-Ghazali (abad V H) dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (abad VII H).
Jadi, semenjak layar Islam berkembang dan kini sudah memasuki abad ke-15, sembilan di antara para mujadidd Islam telah mampu mengembalikan Islam kepada citranya yang asli, dan telah menempati kedudukan yang cukup baik dilihat dari sisi perjuangan dan kejayaan, mahupun dari sisi pengaruh serta kesan yang ditimbulkan oleh pergerakan mereka masing-masing.
Khususnya mengenai pergerakan Wahabi, kami ingin menyorot beberapa faktor yang menyebabkan kejayaan pergerakan tersebut sebagai berikut :
1. Kerjasama yang baik dan harmoni di antara Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan pemerintah Najd (Dar'iyah) iaitu Amir Ibnu Saud (Bapa Pendiri Kerajaan Arab Saudi). Tanpa bantuan pihak berkuasa Dar'iyah maka agak sukar bagi gerakan Muwahiddun untuk berkembang, kerana musuh dan lawan-lawannya terdiri dari Jumhur (majoriti) yang rapat dengan pihak Sultan dan Khalifah Islam dari Turki, sedangkan sasaran pentajdidannya adalah hal yang paling sensitif dan menyentuh jiwa, iaitu aspek aqidah seperti halnya pergerakkan Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam dalam merombak aqidah kaumnya dari suku Quraish dahulu.
2. Menguasai tempat yang paling strategik dan tersuci di muka bumi ini, iaitu Makkah al-Mukkaramah dan Madinah al-Munawwarah. Di mana pada kedua tempat suci itu terletak Masjdil Haram dengan Ka'bahnya dan Masjid Nabawi dengan maqam Rasul-Nya. Siapa pun di kalangan kaum Muslimin, tidak akan memulaukan kedua tempat suci ini walaubagaimana pun keadaanya, kerana tempat itu berkait rapat dengan keIslaman dan keImanan mereka. Setiap tahun tempat berkenaan menjadi kemestian untuk dikunjungi oleh berjuta-juta umat Islam yang ingin menunaikan ibadah Haji ataupun Umrah.
Pertemuan umat Islam tahunan yang rutin itu, telah dimanfaatkan oleh pergerakkan ini dengan sebaik-baiknya, demi kepentingan dakwah pemurnian tauhid yang mana sebahagian dari jemaah Haji sangat terkesan dengan dakwah itu, yang kemudiannya mereka kembangkan di negeri mereka masing-masing seperti gerakan Sanusi di Afrika Utara, Pan Islam di Mesir dan Syria, Ahmad Khan di India, Padri, Muhammadiyah, syarikat Islam da al - Irsyad di Indonesia.
Tetapi jika sekiranya tempat yang strategik seperti ini tidak dapat dikuasai, misalnya seperti pergerakan Ibnu Taimiyyah di Damsyik (Syria) pada abad ke VII, agaknya gerakan tauhid ini pun akan sama nasibnya dengan pergerakan Ibnu Taimiyyah tersebut.
3. Masyarakat Islam yang hidup dalam abad moden sekarang ini sudah mula berfikiran terbuka dan dengan perlahan-lahan mereka cenderung untuk meninggalkan ketaksuban yang memang secara alamiah - menuntut mereka untuk melepaskan hal-hal yang demikian. Apatah lagi setelah suara pembaharuan ini berkumandang dan bersahut-sahutan dari setiap penjuru dunia Islam, sehingga tidak ada orang Islam yang berfikiran terbuka dewasa ini, yang tidak tersentuh dengan dengungan Pembaharuan Islam ini.
4. Kejayaan dinasti Saudiyah menubuhkan negara mereka menjadi negara minyak terkaya di dunia, dapat menarik perhatian dunia Islam mahupun dunia antarabangsa terhadap kerajaan Muwahiddun Saudiyah dengan penuh kekaguman. Dengan kekayaan itu mereka mampu membantu negara-negara lain, terutama negara-negara yang penduduknya ramai beragama Islam. Disamping itu mereka juga mendirikan pusat-pusat pengajian tinggi yang membiayai beribu-ribu biasiswa kepada pelajar-pelajar luar negara yang belajar di pusat-pusat pengajian tinggi di sana. Dan yang amat penting lagi, mereka telah mendirikan sebuah organisasi Islam Antarabangsa (Rabithah Al-Alam Al-Islami).
Kesemua faktor tersebut menjadikan kerajaan Arab Saudi yang nyaris terpinggir di awal pergerakkan Muwahiddun, kini mulai melonjak dengan ajaran pembaharuan yang digerakkan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, sehingga ajaran-ajaran tersebut semakin membawa kesan positif bagi kebangkitan dunia Islam antarabangsa yang ditandakan dengan pencanangan : Abad Ke-15 Merupakan Abad Kebangkitan Dunia Islam.
Pada hakikatnya, pergerakkan Muwahiddun diilhamkan dari Ibnu Taimiyyah. Beliau adalah seorang tokoh pembaharuan di abad ke-7 H. Namun Ibnu Taimiyyah tidak berjaya menguasai pemerintah Damsyik. Malah pemerintah Damsyik menjadi seterunya, yang mengakibatkan beliau dipenjarakan sehingga beliau meninggal dunia di dalam penjara tersebut. Suatu hal yang tidak boleh dilupakan; bahawa meskipun tidak berjaya di masa hidupnya, sama halnya dengan Imam Al-Ghazali, yang telah menjadikan diri mereka terpinggir dan dicemuh oleh ramai orang , namun ia telah menulis bukan sedikit buku-buku hasil karyanya, yang dianggap sebagai pemberi dorongan dan sumber pengetahuan bagi para pembaharu sesudahnya. Sehingga tidaklah berlebihan sekiranya dikatakan bahawa sesungguhnya Ibnu Taimiyyah adalah usul dan nenek moyang dari semua pembaharu yang datang kemudian, terutama Muhammad bin Abdul Wahab, pelopor pergerakan pembaharuan Islam di tanah Najd.
Dalam buku The Reconstruction of Religious Thought In Islam, Muhammad Iqbal telah mengutip tulisan seorang orientalis Macdonal seperti berikut :
"Najd adalah tempat yang paling bersih dalam dunia Islam yangs edang berada dalam kemunduran (ketika itu.)". Selanjutnya ia mengatakan, "Sungguh hal itu merupakan denyutan pertama yang menghidupkan Islam moden. Langsung atau tidak langsung, gerakan ini merupakan jejak yang mengilhamkan hampir semua pergerakkan - pergerakkan moden yang besar dari gerakan Islam"
Demikian keberhasilan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dalam gerakkannya. Beliau lebih banyak menggunakan bahasa tindakan dan lisan berbanding bahasa tulisan. Oleh kerana itu kita tidak banyak melihat hasil-hasil karya tulis beliau seperti yang kita lihat dari hasil karya kepunyaan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali sebagai tokoh penulis.
Memang tidak menjadi satu kemestian bahawa seorang mujadidd itu mesti mempunyai banyak karya tulis. Adalah secara kebetulan sahaja, bahawa kebanyakkan tokoh pembaharuan itu adalah orang-orang yang suka menulis. Tetapi seperti 'Umar bin Abdul Aziz yang merupakan seorang mujadidd abad pertama itu juga tidak suka menulis. Namun beliau adalah seorang mujtahid dan mujadidd yang sekaligus.
Karya-karya tulisan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab di antara lain ialah :
Mabadi al-Islam, dan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia dengan judul Pokok-Pokok Aqidah Salaf.
Dan yang lainnya lagi ialah : Kasyfu al-Syubhat dan Kitab al-Tauhid dan lain-lain yang sudah dan sedang diterjemahkan oleh penulis-penulis nusantara dalam bentuk saduran dan ulasan.
KESIMPULAN
Dari apa yang telah dihuraikan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat, maka dapatlah diambil satu kesimpulan seperti berikut :
1. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah salah seorang pelopor Salafiyyah dalam sejarah kebangkita Islam di mana beliau telah berjaya mengembalikan Islam kepada khittah asliyahnya seperti khittah ajaran-ajaran Islam di masa tiga kurun pertama dari kelahiran agama Islam di waktu dulu, iaitu kurun Nabi, kurun sahabat, dan kurun tabi'in. Ketiga-tiga kurun tersebut merupakan kurun-kurun paling bersih dan sebaik-baik kurun dalam sejarah perkembangan Islam. Hal ini sesuai dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallahualaihiwassalam yang ertinya :
"Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun yang sesudahnya, kemudian kurun sesudahnya lagi" (Bukhari & Muslim)
2. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah mampu melakukan dakwahnya dengan lisan, tulisan dan pedang, yang mana sebagai buktinya beliau berjaya mewujudkan sebuah negara contoh berhaluan Salafiyyah di Timur Tengah, iaitu negara Arab Saudi. Pada hakikatnya perancang negara Arab Saudi tidak lain adalah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, dibantu oleh Muhammad bin Saud dan anak cucunya.
Sejak hari pertama didirikan sehingga hari ini, negara ini tetap kukuh mengamalkan ajaran Salafiyyah yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab.
Kejayaan seperti ini belum pernah dicapai oleh para mujadidd terdahulu. Kerana para mujadidd terdahulu dalam mengadakan pembaharuan sentiasa menempuh pelbagai masalah dengan pemerintah pada masanya, sehingga yang menjadi penghalang utama adalah pemerintah itu sendiri. Yang demikian itu malah dialami oleh mujadidd terbesar pertama 'Umar bin Abdul Aziz (10-62H) yang berjaya menaiki takhta sebagai Khalifah, ketua negara Daulah Umaiyyah hanya dua setengah tahun. Kesan dari pentajdidan itu sangat besar sekali, sehingga berkat kerja keras beliau, lahirlah berturut-turut mujadidd handalan seperti Abu Hanifah (80-150 H) pelopor mazhab Hanafi, Malik bin Anas (93-179 H) pelopor mazhab Maliki, Muhammad bin Idris (150-204H) pelopor mazhab Syafi'i dan Ahmad bin Hanbal (164-241 H) pelopor mazhab Hambali.
Begitu juga dengan Imam Al-Ghazali. Beliau terjun menjadi mujadidd zamannya, menempuh jalan menjauhkan diri dari pemerintah, padahal sebelumnya beliau begitu akrab dan mesra hubungannya dengan pihak berkuasa. Selanjutnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yang dikelilingi oleh musuh - musuhnya sehingga beliau difitnah secara kejam kepada pemerintah, yang kemudiannya beliau terpaksa menjalani hukuman penjara dan meninggal dunia di dalam penjara.
3. Syeikh Ibnu Abdul Wabab mendapat kesempatan dari peluang yang cukup baik dalam pemerintahan negara, memungkinkan untuk berkiprah secara lansung dan terus menerus selama tidak kurang dari 48 tahun bersama-sama dengan Muhammad bin Saud pemerintah Najd. Dengan demikian, idea-idea pembaharuan dari Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab secara praktik dapat disalurkan dengan lancar, tanpa sedikit pun melalui rintangan dan halangan dari pihak berkuasa, sedangkan gangguan yang datang dari luar dapat mereka atasi secara bersama-sama, bahu membahu di antara ulama dan umara. Sebagai hasil kerjasama yang seimbang dan serasi itu, maka lahirlah suatu gaya pemerintahan yang ideal untuk sepenuhnya menjalankan hukum Islam sebagaimana yang telah dilakukan pada masa Salaf dahulu iaitu kurun Nabi, kurun sahabat, dan kurun tabi'in. Jadi semua yang diidamkan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dengan pembaharuannya itu menjadi suatu kejayaan yang kongkrit dan amat cemerlang.
4. Kerana programnya bersatu (berintegrasi) dengan pihak berkuasa, maka dengan mudah beliau menyalurkan konsep-konsep dan gagasan-gagasan pentajdidan melalui pendidikan formal di madrasah-madrasah, masjid-masjid dan badan-badan keagamaan yang kesemuanya diatur oleh pemerintah. Perkara itu jelas kelihatan sehingga sekarang yang mana setiap lembaga pendidikan di negara tersebut, bermula dari tadika, sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti semuanya diatur sesuai dengan kurikulum Al-Quran dan Sunnah berdasarkan manhaj Salaf.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.