KENYATAAN MEDIA BERSAMA YANG TERAMAT MULIA UNDANG YANG EMPAT DAN YANG TERAMAT MULIA TUNKU BESAR TAMPIN

Coat of arms of Negeri Sembilan

KENYATAAN MEDIA BERSAMA YANG TERAMAT MULIA UNDANG YANG EMPAT DAN YANG TERAMAT MULIA TUNKU BESAR TAMPIN

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

AL-WATHIQU BILLAH, Yang Teramat Mulia Dato' Klana Petra Dato' Mubarak Bin Thahak Undang Luak Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Maarof Bin Haji Mat Rashad Undang Luak Jelebu, Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Muhammed Bin Haji Abdullah Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato' Sedia Raja Dato' Haji Abdul Rahim Bin Haji Yasin Undang Luak Rembau dan Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Bin Syed Idrus Al-Qadri Tunku Besar Tampin:

BAHAWASANYA Kami menegaskan sekali lagi kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan adat prerogatif Kami yang turut termaktub di dalam Perkara 7, Perkara 10 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959. Tohmahan pihak tertentu bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah dibuat oleh YAB Menteri Besar Dato' Ismail bin Lasim serta barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) adalah satu fitnah jahat yang dirancang demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu yang sebenarnya adalah asalnya punca dan dalang kepada kemelut berpanjangan ini. YAB Menteri Besar dan EXCO sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Kami selaku YTM Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 di samping memelihara kedudukan Kami sebagai Raja Pemerintah Negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959.

Makna Perkataan Raja

28. (1) Dengan tertakluk kepada Ceraian (2) di bawah Fasal ini maka perkataan Raja di mana-mana yang tertulis di dalam Bahagian Yang Kedua Perlembagaan ini adalah bermakna Yang Maha Mulia dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin yang ada pada masa itu.

BAHAWASANYA barang diingat bahawa Kami mengecam sekeras-kerasnya setiap usaha pihak tertentu yang terang-terangan mahupun berselindung cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan Kami di negeri Kami ini. Kami ingin mengingatkan YAB Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan khususnya prerogatif Kami di bawah Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959 kerana YAB Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat sedemikian. Janganlah semata-mata kerana laba dan pengaruh politik atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu, YAB Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja tanpa menggunakan akal dan hati nurani malah tidak segan silu melanggarkan prinsip keluhuran Perlembagaan. Janganlah bertindak lebih sudu daripada kuah dan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Janganlah menimbulkan huru-hara di dalam Negeri Kami melalui agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan lumpuhnya pentadbiran Eksekutif Kerajaan Negeri Sembilan. Tindakan yang tidak berperlembagaan sebegitu jika diteruskan merupakan satu pelanggaran sumpah Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam di samping pecah amanah terhadap Perkara 71 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan serta melanggari konsep federalisme. Peruntukan tersebut yang berbunyi:-


Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri


71. (1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta sebagai Raja mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.



(2) Fasal (1) hendaklah, dengan ubah suaian yang perlu, terpakai berhubung dengan seseorang Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan sebagaimana Fasal itu terpakai bagi Raja sesuatu Negeri.


BAHAWASANYA Kami juga menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan Kerajaan Negeri ini terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menaguk di air keruh dan memutarbelitkan fakta sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap Kerajaan Negeri dan Institusi Adat serta Pemerintahan Negeri Sembilan. Tiada mana-mana parti politik yang mempunyai kuasa menurunkan mana-mana Raja. Kuasa itu diperuntukkan semata-mata kepada punca kuasa yang sah dan konteks Negeri Sembilan ia adalah kuasa YTM Undang Yang Empat. Suka juga Kami ingatkan bahawa, adat yang telah diamalkan ini telah berlangsung lebih daripada 500 tahun, sudah tentulah Kami selaku Pemerintah dan Ketua Adat lebih memahami apa yang berlaku. Hanya jauhari mengenal manikam.


BAHAWASANYA Kami menegaskan bahawa tindakan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir mengarahkan pengumuman untuk memberhentikan barisan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan ialah salah, tidak berperlembagaan dan tiada kuatkuasa. Kejadian ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan dan amat memalukan Kerajaan Negeri. Ia adalah tindakan tidak suci hati mantan Yang di-Pertuan Besar bagi mensabotaj keputusan kolektif EXCO Kerajaan Negeri dan sekaligus cubaan untuk menghalang Raja Pemerintah Negeri Sembilan untuk menjalankan pemerintahan di samping menghasut pentadbiran Negeri untuk tidak setia kepada Kerajaan Raja Pemerintah yang sah. Sebarang keputusan berkenaan kedudukan EXCO menurut UUTKNS 1959 hendaklah dirujuk dan dilaksanakan atas nasihat YAB Menteri Besar dan/atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dalam pada itu bahawa dipertegaskan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah pun diturunkan takhta menurut Perkara 10 (1) dan (2) UUTKNS 1959 pada 19 April 2026 dan proklamasi mengenainya telah pun disempurnakan dengan tandatangan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos 2026. Proklamasi penurunan takhta tersebut adalah sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959 tanpa memerlukan pewartaan.

BAHAWASANYA Kami juga menasihatkan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir agar bermuhasabah, merendah hati dan menerima hakikat bahawa beliau telah diturunkan takhta maka berundurlah secara terhormat. Kami juga menyeru semua penjawat awam Negeri agar tidak melayani sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dan hendaklah akur kepada ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja Pemerintah Negeri Sembilan, iaitu DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dan Pembesar Memerintah yang sah selaras dengan Perkara 11 dan 28 UUTKNS 1959. Insaflah bahawa kuasa pemerintahan hanya sah dilaksanakan atas nama Raja Pemerintah selaras dengan Perkara 35 UUTKNS 1959, bukan mantan Yang di-Pertuan Besar.

Kuasa Pemerintahan

35. (1) Adapun kuasa pemerintahan Negeri ini adalah tertakluk kepada Raja dan boleh dijalankan, melainkan sebaliknya diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh ini, oleh Yang Maha Mulia atau Majlis Mesyuarat Kerajaan atau mana-mana anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diberi kuasa oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan, tetapi fungsi pemerintahan boleh diberikan kepada orang atau pihak berkuasa lain oleh undang-undang.

(2) Segala kuasa pemerintahan Negeri ini hendaklah dijalankan dengan tegasnya di atas nama Raja.

BAHAWASANYA Kami ingin menegaskan, krisis adat dan pemerintahan di Negeri Sembilan telah pun selesai dengan sempurnanya proklamasi Perkara 10 UUTKNS 1959. Pengumuman rasmi berkenaan ketetapan yang tersebut telah pun dibuat oleh YAB Menteri Besar dan MMKN pada 16 September 2026. Malahan pemakluman rasmi berkenaan penurunan takhta Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan pemilihan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 telah pun dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Maka kami mensabdakan bahawa melalui pemakluman rasmi Kerajaan Negeri Sembilan kepada Majlis Raja-Raja tersebut, maka hanya DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar yang mempunyai kuasa sah untuk menjalankan segala fungsi Yang di-Pertuan Besar menurut UUTKNS 1959 termasuk menghadiri segala persidangan Majlis Raja-Raja. Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah patuh dan taat dan tidak membuat sebarang tindakan derhaka. Pentadbiran Kerajaan Negeri juga hendaklah serta-merta memberikan segala keistimewaan, pemakaian dan pemakanan yang termaktub kepada DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar.


BAHAWASANYA Kami menyeru agar rakyat Negeri Sembilan kekal tenang dan tidak terpengaruh oleh sebarang provokasi dan sebaran maklumat tidak sahih dalam proses peralihan kuasa yang sedang berjalan kini. Kami juga memperkenan dan mendoakan agar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan Barisan EXCO terus teguh dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan demi kesejahteraan Negeri dan rakyat. Adat bersendi hukum, hukum bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Biar mati anak, jangan mati adat.


Sekian disabdakan.


Termaktub pada 25 haribulan September, 2026 bersamaan 13 Rabiulakhir 1448H


Post a Comment

0 Comments