Dan ada segelintir pihak yang tidak memahami geopolitik Yaman mahukan agar Houthi dilayan sebagai pihak berkuasa de facto berbanding tindakan perang.
Hujjah mereka, kebanyakan pihak yang pernah memerintah Sana'a pada masa lalu telah dilayan sedemikian, tanpa mengira identiti atau ideologi mereka.
Ini mungkin satu cadangan yang realistik.
Walau bagaimanapun, masalahnya terletak pada agenda gerakan Houthi itu sendiri.
Kumpulan tersebut pada dasarnya bertindak bertentangan dengan konsep sebuah negara, dan tingkah laku mereka telah membuktikan kebulatan tekad mereka untuk memelihara autoriti pertubuhan itu sendiri.
Pihak Houthi mahu meraih manfaat daripada sumber, institusi, dan pengiktirafan antarabangsa sambil mengekalkan senjata mereka sebagai sebuah kumpulan bersenjata dan melancarkan perang mengikut telunjuk kesetiaan luar mereka. Dari perspektif ini, mengambil alih kuasa menjadi lebih dilihat sebagai kaedah memajukan agenda kumpulan tersebut berbanding membina negara.
Peristiwa yang bermula pada tahun 2013 dan berterusan sepanjang dua tahun berikutnya menawarkan ujian yang jelas terhadap niat kumpulan Houthi.
Mereka dijemput untuk menyertai Persidangan Dialog Nasional dan menandatangani Perjanjian Keamanan dan Perkongsian Nasional, yang memberi ganjaran kepada mereka dengan jawatan kerajaan dan keistimewaan khas untuk wilayah Saada. Sekali gus membuka jalan kepada penyertaan mereka dalam cabang eksekutif.
Sebagai balasan, mereka dikehendaki menyerahkan senjata sederhana dan berat mereka kepada institusi negara.
Sebaliknya yang terjadi, proses itu berakhir dengan tindakan Houthi merampas kawalan ke atas institusi kerajaan, menahan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi, dan membubarkan parlimen.
Mereka kemudiannya mengambil alih institusi negara dan menyingkirkan pihak lain, sekaligus tercetusnya perang dalam kalangan rakyat Yaman.
Setelah mengukuhkan penguasaan mereka di Sana'a, ada pihak yang menjangkakan Houthi akan hanya bertindak sebagai gerakan sosial yang membantu rakyat dibawah kekuasaan mereka, sebaliknya mereka bertindak lebih daripada itu, dengan cuba mewujudkan kerajaan Yaman yang lain yang telah ada di dalam Yaman itu sendiri.
Ujian kedua berlaku apabila bekas Presiden Ali Abdullah Saleh menjalinkan pakatan pentadbiran dengan Houthi.
Walaupun Saleh tidak lagi berkuasa, beliau masih mengawal sebahagian besar angkatan tentera pada ketika itu. Namun, Saleh sendiri tersilap menilai kumpulan tersebut, dan pakatan itu akhirnya berakhir dengan pembunuhan beliau di jalanan pada tahun 2017.
Sesetengah pihak mungkin melihat ini sekadar perebutan kuasa yang berakhir dengan kemenangan Houthi, dan berhujah bahawa hasil tersebut harus diterima serta kumpulan itu dilayan sebagai pihak berkuasa yang memegang kawalan. Sedangkan pada hakikatnya Ali Abdullah Saleh bukan seorang pemerintah mahupun gabenor di Yaman. Dia hanyalah seorang bekas Presiden Yaman, yang telah menurunkan kuasanya kepada Presiden Abdurrabbo Mansour Al Hadi.
Sekali lagi, mereka yang mencadangkan agar Houthi dilayan sebagai 'pemerintah' seperti yang terjadi kepada Imam Yahya hingga ke Presiden Qadi Abdul Rahman al-Iryani dan kemudiannya Presiden Ali Abdullah Saleh tidak pragmatik dalam memahami Yaman.
Hakikatnya, pendekatan ini telah pun dicuba. Namun Houthi, sebagai sebuah kumpulan yang didorong oleh ideologi, enggan mengubah diri mereka menjadi sebuah negara. Sebaliknya, mereka terus melancarkan perang terhadap negara jiran, Arab Saudi dan rantau yang lebih luas, (dan sebelum itu terhadap rakyat Yaman sendiri yang berada di luar kekuasaan mereka). Mereka terus kekal sebagai sebuah pertubuhan bersenjata dengan institusi selari mereka sendiri.
Dan Houthi tidaklah seperti Daesh dan Hizbullah. Daesh mewakili contoh yang lebih ekstrem. Ia menolak negara sedia ada dan berusaha untuk menubuhkan sebuah khalifah yang merentasi sempadan mereka, membayangkan sebuah negara yang dibentuk sepenuhnya oleh ideologi mereka sendiri. Sementara itu, Hizbullah mewujudkan satu model di mana mereka menyertai institusi negara sambil mengekalkan angkatan bersenjata bebas di luar akauntabiliti negara, beroperasi sebagai sebuah organisasi yang autoriti mutlaknya terletak di luar negara.
Kita tidak boleh menyifatkan kumpulan Houthi sebagai sebuah negara Yaman, atau bahkan sebagai "Imamiah Houthi Yaman", yang setanding dengan bekas Kerajaan Mutawakkiliah atau republik, kerana mereka adalah sebuah kumpulan yang tunduk kepada Iran. Pada tahap tertentu, kumpulan Houthi di Sanaa menyerupai ISIS di Mosul atau Hizbullah di selatan Lubnan, dengan mewujudkan sebuah negara mengikut telunjuk ideologi mereka.
Adakah pemberontakan ini disebabkan oleh penafian peluang terhadap Houthi oleh jiran-jiran mereka dan masyarakat antarabangsa? Hakikatnya, perkara yang sebaliknya berlaku. Pihak Amerika, Eropah, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberikan peluang kepada kumpulan berkenaan untuk berinteraksi dengan negara dan organisasi antarabangsa (sesuatu yang hanya mampu diimpikan oleh organisasi bersenjata lain di rantau ini). Perjanjian Stockholm datang menyelamatkan Houthi, menyelamatkan mereka daripada kekalahan dan keruntuhan. Namun, kerajaan-kerajaan Barat yang mengejar usaha kompromi dengan kumpulan itu gagal mengubahnya menjadi pihak berkuasa politik awam atau mengubahnya menjadi sistem pemerintahan konvensional.
Riyadh kemudiannya tampil dan hadir menggunakan pendekatan lain. Riyadh melibatkan dengan Muscat (Oman) selain penyelarasan bersama utusan khas PBB pada ketika itu, yang berusaha untuk memujuk Houthi agar menjadi jiran yang baik melalui perjanjian untuk menghentikan perang.
Sebagai balasan, Riyadh akan menanggung kesemua gaji yang dibayar kepada pekerja di bawah pentadbiran Houthi, manakala lapangan terbang dan pelabuhan dibuka semula. Malah, satu delegasi telah dihantar untuk melawat kumpulan itu di "ibu kota" mereka, Sanaa—satu tanda pengiktirafan politik besar yang sangat dieksploitasi oleh Houthi melalui publisiti meluas. Kumpulan itu juga meraih keuntungan politik dan peningkatan taraf hidup hasil daripada konsesi tersebut.
Namun, sepanjang tempoh usaha yang dibuat bagi memulihkan imej Houthi sebagai "negara" jiran yang dihormati, kumpulan itu bertindak sebaliknya. Houti telah bekerjasama dengan Iran, yang pada masa yang sama sedang membina keupayaan ketenteraan yang bersifat ofensif di belakang tabir. Dan sebelum tahun 2023 melabuhkan tirainya, Houthi kembali beroperasi sebagai sebuah pertubuhan bersenjata merentasi sempadan.
Bertentangan dengan tanggapan sesetengah penyelidik, Houthi adalah satu lagi proksi Iran di rantau ini, dan bukannya gerakan politik Yaman biasa yang ingin menubuhkan sistem kerajaan konvensional.
Terdapat perbezaan yang jelas antara sekutu dan pihak yang tunduk.
Sekutu adalah pihak yang kepentingannya selari dengan anda, manakala pihak yang tunduk adalah seseorang yang keputusannya dikawal oleh kehendak anda.
Apa yang lebih membimbangkan kita bukan faham ekstremis mereka, tetapi apa niat mereka apabila sudah menguasai Yaman.

0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØÙ…Ø© الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.