ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 16 May 2013

ISLAM DAN AGENDA MEMBANGUNKAN EKONOMI MELAYU


Oleh : Nik Mustapha bin Nik Hassan

Usaha membangun kekuatan ekonomi Melayu adalah suatu usaha yang berterusan dan menepati tuntutan Islam. Islam melihat aspek kekuatan ekonomi adalah sesuatu keperluan yang sangat penting. Tanpa kekuatan ekonomi, bangsa Melayu akan pincang dan akan dipinggirkan. Dan ini akan sekaligus menjadi agama Islam itu sendiri tidak dilihat sebagai agama yang berwibawa untuk membangun tamadun manusia. Islam adalah agama untuk umat manusia. Justeru itu jika bangsa Melayu menghayati pendekatan Islam dalam membangun ekonominya, ia sekaligus mampu memberi kesan yang positif kepada kesemua ahli masyarakat.

Pendekatan Islam dalam membangun kekuatan ekonomi mengambil pendekatan pembangunan manusia secara syumur dan sepadu (harmoni) dalam kesemua aspek keperluan pembangunan manusia seperti kerohanian dan kebendaan; kepentingan individu dan tanggungjawab individu kepada masyarakat; kepentingan generasi sekarang dan keperluan generasi masa hadapan; menghayati akhlak dalam kegiatan ekonomi dan sebagainya. Pendekatan ini membolehkan kejayaan ekonomi dicapai secara mantap dan mampu memperoleh kejayaan secara berterusan kerana pencapaian tersebut dijayakan melalui fitrah kemanusiaan.

Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan fahaman ideologi sekular yang hanya melihat faktor ekonomi sebagai segala-galanya dalam membangun tamadun manusia. Bahkan individu manusia hanya dianggap sebagai makhluk ekonomi (homoeconomicus) yang berkeinginan untuk membolot kekayaan untuk dirinya sahaja. Pendekatan ini menimbul banyak gejala kepada penyusunan masyarakat/negara dan sekaligus mengugat kemantapan prestasi ekonomi masyarakat/negara secara berpanjangan. Kemajuan ekonomi sesebuah negara memerlui kepada keharmonian masyarakat negara terbabit.

Dalam membangun ekonomi bangsa Melayu di Malaysia, beberapa agenda berikut perlu diberi perhatian yang bersungguh-sungguh semoga minda Melayu dididik, kelakuan Melayu diasuh dan sekaligus membina daya juang yang berkesan semoga pendekatan dan matlamat yang dihayati turut diyakini sebagai tindakan yang direstui oleh Islam.

Pertama, Islam hendaklah dilihat sebagai agama yang lengkap dan mampu untuk menyusun umat manusia. Justeru itu falsafah dan pandangan hidup Islam perlu menjadi asas dalam penggubalan membina gagasan teori (theoretical framework) yang meliputi prinsip, struktur, institusi, dasar dan instrumen dalam menyusun sistem ekonomi semasa. Dalam konteks penyusunan dan pembangunan ekonomi prinsip al-adl wal ihsan hendaklah menjadi asas panduan. Prinsip ini memberi tekanan kepada semangat keadilan dan muafakat ekonomi sebagai asas utama dalam penyusunan perjalanan ekonomi dalam masyarakat. Kegagalan mengubal bentuk dan strategi sistem ekonomi semasa menepati prinsip Islam tersebut akan membantut kecekapan bangsa Melayu untuk membangun ekonominya. 

Kedua, Islam menuntut umatnya, dalam konteks ini bangsa Melayu kepada memahami perkembangan dan tuntutan ekonomi semasa semoga mereka mampu merancang untuk merebut peluang ekonomi di dalam dan di luar negara. Konsep berperanan di arena antarabangsa adalah tidak asing kepada Islam, yang pada hakikatnya merupa agama untuk manusia sejagat.

Malaysia yang merupakan negara ketujuh belas dagangan terbesar di dunia sudah pasti akan menghadapi cabaran yang hebat dari proses globalisasi yang tidak boleh dibendung itu. Ini adalah satu senario yang mempengaruhi dunia keseluruhannya. Justeru itu kemampuan bersaing di peringkat sejagat memerlukan kemampuan mencipta dan menghasil barangan dan perkhidmatan baru yang bermutu dengan disertai pencetusan permintaan yang besar. Berasaskan kepada keadaan tersebut bangsa Melayu dituntut oleh Islam untuk berperanan di arena antarabangsa. Dalam kata lain Islam menuntut bangsa Melayu berjiwa besar.

Justeru itu salah satu aspek yang penting ialah kepada penambahbaikan kepada corak pengurusan organisasi dan peruntukan untuk penyelidikan dalam organisasi milik Melayu. Di Malaysia pada contohnya, hanya 0.3% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan (Research and Development) manakala di negara maju 2% - 3 % KNK. Melalui usaha-usaha tersebut masyarakat Melayu akan berkebolehan berperanan di peringkat sejagat.

Dalam hubungan tersebut untuk terus meningkat daya persaingannya, bangsa Melayu perlu mengambil langkah berikut:

> Melantik pemimpin yang benar-benar layak menerajui organisasi Melayu.
> Meningkat mutu prestasi pengurusan organisasi melalui peningkatan keberkesanan kos pengurusan dan kelancaran sistem organisasi.
> Meningkat penghasilan pekerja melalui pembangunan pekerja berillmu (knowledge worker). 

Pekerja berilmu ataupun dalam istilah semasa `modal insan' boleh dicapai melalui usaha berikut:

> Membina pekerja yang memiliki pandangan hidup yang sempurna serta progresif menepati ajaran Islam;
> Membina sahsiah pekerja yang berintegriti dan dinamik. Setiap pekerja hendaklah berkemahuan untuk maju serta berusaha membangun kekuatan masyarakat;
> Meningkat kepakaran dan kemahiran pekerja dalam menguasai pengetahuan dalam bekerja (termasuk dalam seni kepimpinan, corak pengurusan) dan ilmu sains dan teknologi (termasuk ICT);
> Membudayakan pekerja untuk meningkat mutu kreatif dan innovatif dalam kesemua aspek pekerjaan.

Ketiga, bangsa Melayu perlu digalak melibatkan diri dengan kegiatan perniagaan. Usaha kerajaan untuk membentuk golongan perdagangan dan perindustrian Melayu perlu sepenuhnya mengambil pendekatan Islam melalui usaha-usaha berikut:

Pada mulanya pihak berwajib perlu mengemukakan pandangan Islam terhadap urusan perniagaan. Rasulullah s.a.w., isteri baginda, Saidatina Khadijah dan beberapa sahabat besar Baginda adalah ahli perniaga yang berjaya. Bahkan mengikut Islam perniaga yang jujur dan beramanah akan dibangkit di Hari Akhirat bersama dengan para Nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada.

Di samping mulianya anugerah Islam kepada individu perniaga, aktiviti perniagaan merupakan sumber rezeki terbesar, iaitu sembilan puluh peratus dari sumber-sumber rezeki Allah s.w.t. Justeru itu jika umat Islam berkeinginan untuk membangun kekuatan ekonomi, mereka perlu melibatkan diri dan dengan berkesan dalam kegiatan perniagaan.

Dalam rangka membangun penguasaan sektor perniagaan, bangsa Melayu perlu memiliki jiwa besar, iaitu jiwa sebagai bangsa yang mampu berperanan diperingkat antarabangsa. Matlamat ini boleh di jayakan jika perniaga Melayu menghayati strategi menguasai pasaran dalam perniagaan. Strategi ini menganjur kepada kebolehan bangsa Melayu membaca peluang perniagaan yang besar dan disertai dengan usaha meningkat mutu pengurusan, penghasilan barangan dan perkhidmatan yang bermutu mengatasi pengeluaran antarabangsa. Ini memerlukan usaha penambahbaikan untuk meningkat perkhidmatan perniagaan secara berterusan demi meningkat kebajikan umat manusia sejagat.

Melalui usaha-usaha di atas dengan jujur dan berkesan, tidak mustahil bangsa Melayu beragama Islam mampu menjadi satu bangsa yang maju dalam menguasai kedudukan ekonomi dan sekaligus mampu menjadi contoh ikutan.

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute