ISLAM SAMA ISLAM BERGADUH DALAM PRK KUALA BESUT. SIAPA YANG UNTUNG?

Oleh : Beruang Biru

Adakah satu kebetulan atau memang satu suratan? Pertembungan kuasa politik orang Melayu-Islam akan sekali lagi berlaku dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu dalam tempoh tidak sampai tiga minggu lagi.

Adakah kegetiran perpecahan politik Pilihanraya Umum ke-13 kira-kira 80 hari lalu akan berulang dan semakin menjarakkan lagi hubungan ukhuwah Islamiah di antara penyokong Umno dan PAS?

Atau, adakah pilihan raya kecil itu akan merintis jalan damai di antara ummah? Persoalan yang amat menguja adakah rahmat Ramadan al-Mubarak akan menyelimuti segala unsur permusuhan dan persaingan politik di kalangan umat Islam di negara ini?

Adakah sempena Ramadan ini, Allah akan mengukuhkan lagi syiar dan perpaduan umat Islam di negara bagi mengimbangi tragedi jatuhnya kerajaan yang cenderung kepada Islam yang diterajui oleh gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir?

Dengan perkataan lain adakah musibah di Mesir ini akan menyuntik keinsafan bahawa hanya perpaduan akan menjamin kerukunan dan kesejahteraan hidup di negara ini dan sekali gus melonjakkannya sebagai ikon pembangunan ummah Islam sejagat?

Malangnya sejak awal lagi PAS sudah mencebikkan wajah pada kemungkinan penyatuan berlaku. Ia memberi alasan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kurang peka pada keluhuran dan rahmat Ramadan.

Malah di sisi politiknya PAS menganggap tarikh membuang undi yang jatuh pada hari bekerja (24 Julai ialah hari Rabu) sebagai usaha melemahkan azam anak perantauan Kuala Besut untuk pulang mengundi. Sekali lagi pakatan pembangkang nampaknya cuba mempertikaikan wibawa SPR.

Justeru mungkin tidak mustahil bagi menyemarakkan gendang perang politik ada pemimpin pembangkang yang akan mentafsirkan bahawa Ramadan adalah bulan perang. Pertempuran Badar berlaku ketika Ramadan!

Memang dasar politik semuanya boleh dijadikan hujah. Namun umumnya interpretasi perang dalam bulan Ramadan adalah ketentuan Allah. Dan, apabila Allah menetapkan sesuatu ialah adalah manifestasi sifat Maha Tahu dan Maha Bijaksana-Nya.

Namun apa yang penting Ramadan kali ini harus dipenuhi dengan ibadah yang ikhlas. Keutamaan Islam ialah menjadi rahmat bagi sekalian alam. Maka usaha yang luhur dan keinsafan yang tinggi mengusahakan perdamaian haruslah dikerahkan dalam bulan seribu rahmat ini.

Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Inisiatif memburu perdamaian dan kerjasama mestilah membabitkan dua pihak yang bertikai. Justeru bagi menjayakan program penyatuan bangsa Malaysia, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat haruslah bersedia untuk menyelusur jalan damai.

Bagaimanapun iktikad dan iradat untuk mencari jalan damai mestilah berdasarkan kepada keikhlasan.

Pakatan pembangkang sudah berusaha keras sejak lebih lima tahun lalu untuk menguburkan Barisan Nasional. Namun hasilnya ialah pada Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu kerusi Parlimen yang ditakluki hanya bertambah tujuh berbanding PRU ke-12.

Jika diunjurkan dalam tempoh lima tahun lagi pembangkang akan dapat melebarkan undi popular dan juga memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri, maka perkara utama yang harus diperhitungkan betapa parah lagi perpecahan di kalangan rakyat, terutama Melayu-Muslim akan berlaku.

Kisah ketidakupayaan Ikhwanul Muslimin Mesir untuk mengisi janji dan memenuhi idealisme rakyat untuk mengharmonikan, memakmurkan dan mensejahterakan kehidupan rakyat dalam tempoh 12 bulan lalu membawa padah hingga kerajaan demokrasi Mesir digulingkan.

Sayugia diingat bahawa hakikat Ikhwanul Muslimin telah wujud di Mesir sejak pertengahan kurun lalu seharusnya menginsafkan kita bahawa perubahan ke arah lebih baik tidak semestinya boleh berlaku dengan menggulingkan kerajaan sedia ada. Ia mesti berlaku secara bertahap dan berhikmah.

Penyertaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan pada 1981 telah membawa banyak perubahan baik dalam kerajaan mahupun gerakan parti-parti pembangkang. Pelbagai dasar baru yang membawa kebaikan kepada rakyat dapat dilaksanakan.

Ketika itu andaiannya tentulah Anwar Ibrahim ikhlas mahu perbaikan berlaku di Malaysia. Maka beliau mempertaruhkan kewibawaanya untuk menyertai Umno. Tujuh belas tahun kemudian beliau bersara sementara daripada politik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Apa sebab sebenar beliau dibersarakan perlu penghujahan di lain kesempatan. Namun kaedahnya, jika ada keikhlasan dan iltizam yang kuat, Kuala Besut dengan limpahan rahmat Ramadan hampir pasti boleh menjadi titik tolak kepada Malaysia yang lebih rukun.

Sebagai permulaan mengapa tidak protoganis pilihan raya kecil Kuala Besut – PAS dan Umno bekerjasama dan berlapang dada memikirkan cara paling berkesan membawa pulang anak perantauan untuk mengundi. Hormati pilihan rakyat dan melangkah dari situ untuk mencetuskan perpaduan ummah yang lebih kekal dan kental.

Jika umat Melayu-Islam bersatu, mereka akan lebih dihormati oleh kawan dan lawan. DAP dan PKR walaupun akan iri hati, pasti akan mengakui bahawa perpaduan adalah formula terbaik untuk mencapai penyatuan nasional yang berkesan.

Post a Comment

0 Comments