MAKLUMAT TERKINI BERHUBUNG STATUS PENGAJIAN UNIVERSITI DI MESIR


Delegasi dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diketuai oleh YB Menteri Pendidikan II, YB. Dato’ Seri Idris Jusoh dan dianggotai oleh Ketua Setiausaha II KPM, Mantan Duta Besar Malaysia ke Mesir telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi Mesir, Prof. Hosam Isa dan Presiden Universiti Kaherah pada 25 Ogos 2013. Pada 26 Ogos 2013 dan 27 Ogos 2013, perbincangan telah diadakan dengan 3 universiti iaitu Universiti Al-Azhar, Ain Shams dan Mansurah. Hasil dan persetujuan yang dicapai adalah seperti berikut :

a) Perjumpaan dengan Menteri Pengajian Tinggi Mesir : 

- Bersetuju secara dasarnya dengan cadangan KPM untuk menangguhkan semua peperiksaan yang melibatkan para pelajar Malaysia hingga ke minggu keempat September 2013. Walau bagaimanapun, KPT Mesir tidak mempunyai 'authority' untuk mengarahkan semua universiti supaya bersetuju dengan cadangan tersebut dan delegasi KPM perlu mengadakan perbincangan dengan setiap universiti bagi menetapkan sebarang perancangan serta tindakan selanjutnya. 

- Bersetuju untuk menangguhkan sesi pengajian para pelajar Malaysia selama semester atau setahun akademik atau mengadakan kuliah serta kelas pengajian di Malaysia sekiranya keadaan keselamatan di Mesir masih tidak menentu; dan

- Bersetuju secara prinsipnya agar diadakan perbincangan di antara KPM dan universiti-universiti di Mesir bagi mewujudkan cawangan universiti masing-masing di Malaysia seperti Universiti Al-Azhar Cawangan Malaysia.

b) Perbincangan dengan Presiden Universiti Kaherah :

-Bersetuju secara dasarnya dengan cadangan KPM untuk mengadakan peperiksaan ulangan di Malaysia pada 3-5 September 2013 bagi para pelajar Malaysia yang berada di Malaysia. Sebarang maklumat berhubung peperiksaan ulangan ini boleh merujuk kepada :

Facebook Education Malaysia Egypt
Pn. Halimaton Sa’adiah : 03-88706593
En. Wajdy Ahmad Ghazi : 03-88706591 atau
Email : egyptcrisis@mohe.gov.my

-  Akan mempertimbangkan secara mendalam cadangan menangguhkan pengajian pelajar malaysia selama semester/setahun atau mengadakan kelas /kuliah pengajian mereka di Malaysia.

c) Perbincangan dengan Syeikhul Azhar, Timbalan Presiden Universiti Al-Azhar : 

- Bersetuju secara dasarnya dengan cadangan KPM untuk menangguhkan semua peperiksaan yang melibatkan para pelajar Malaysia hingga ke minggu keempat September 2013. Walau bagaimanapun, pihak Universiti Al-Azhar tidak bersetuju untuk mengadakan peperiksaan di Malaysia kerana dasar universiti yang telah menetapkan sedemikian.

- Bersetuju agar diwujudkan Universiti Al-Azhar Cawangan Malaysia yang dijangka akan memulakan sesi pembelajaran baru pada bulan September 2014 iaitu Sesi Akademik 2014/2015. Perbincangan juga telah menetapkan ahli jawatankuasa yang akan membincangkan secara terperinci tentang cadangan berkenaan yang akan dipengerusikan oleh YB Menteri Pendidikan II dan lokasi kampus berkenaan adalah di Negeri Sembilan.

d) Perbincangan dengan Presiden/ Timbalan Presiden Universiti Ain Shams : 

- Bersetuju dengan cadangan KPM untuk menangguhkan semua peperiksaan yang melibatkan para pelajar Malaysia hingga ke minggu keempat September 2013 nanti dan peperiksaan tersebut hanya boleh diadakan di Mesir sahaja.

e) Perbincangan dengan Presiden Universiti Mansurah :

- Bersetuju dengan cadangan KPM untuk menangguhkan semua peperiksaan yang melibatkan para pelajar Malaysia hingga ke minggu keempat September 2013. Juga bersetuju mempertimbangkan untuk mengadakan peperiksaan ulangan di malaysia serta kuliah pengajian para pelajar Malaysia sekiranya keadaan keselamatan di Mesir masih tidak menentu.

- Bersetuju bagi mewujudkan cawangan Universiti Mansurah di Malaysia dan akan mengadakan mesyuarat secara terperinci selepas ini untuk membincangkan semua aspek yang berkaitan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Post a Comment

0 Comments