KALIMAH ALLAH : KENAPA WUJUD PERBEZAAN LARANGAN DI MALAYSIA TIMUR DAN MALAYSIA BARAT?

Oleh : Jebat

Sejak akhir-akhir ini penulis melihat wujud semacam putar belit maklumat terutama dari pihak pembangkang untuk menyalahkan kerajaan pusat ekoran isu rampasan Bible Bahasa Melayu di Selangor. Maka wujudlah suara-suara sumbang yang mempertikaikan tindakan JAIS. Malah ada yang cuba mengheret kerajaan pusat dalam masalah yang dilakukan oleh agensi dibawah kerajaan mereka sendiri. Pembangkang seboleh-bolehnya cuba meletakkan kesalahan tersebut ke pihak kerajaan pusat. Pertikaian mengapa di Sabah dan Sarawak boleh tetapi tidak di semenanjung menjadi topik hangat permainan mereka.

Dari hasil pemerhatian penulis, didapati masyarakat masih kabur dengan apa yang berlaku selain kurang faham masyarakat terhadap ketidak selarasan dalam perlaksanaan keputusan yang dibuat oleh kerajaan. 

Sebelum berbicara dengan lebih lanjut, ada baiknya kita kembali kepada sejarah penubuhan Malaysia. Sebelum tertubuhnya Malaysia, Tanah Melayu terlebih dahulu telah mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1957. Sedangkan pada ketika itu, Sabah, Sarawak dan Singapura masih lagi dalam penguasaan British.

KEARAH PENUBUHAN MALAYSIA

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi. Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom). Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

20 PERJANJIAN ANTARA SABAH DAN SARAWAK DENGAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Kemasukan Sabah, Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia tidak sekadar menambah klausa 'bumiputera Sabah & Sarawak' dalam Perlembagaan Malaysia, sebaliknya ianya turut ditambah dengan 20 syarat perjanjian yang perlu dipenuhi oleh Persekutuan Tanah Melayu agar hak istimewa rakyat Sabah dan Sarawak 'dilindungi' setiap Masa. Namun dalam hal ini penulis tidak memfokuskan kesemuanya sebaliknya akan memfokuskan kepada perkara 1 dalam 20 & 18 tuntutan Perjanjian Sabah dan Sarawak sebelum bergabung dalam Malaysia. Ini kerana perkara 1 merupakan perkara pokok yang membezakan antara keputusan kerajaan untuk tidak melarang kalimah tersebut digunakan di Malaysia Timur.

Perkara 1: Agama
Walaupun terdapat tiada bantahan kepada Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia harus ada agama Negeri di Borneo (Sarawak & Sabah), dan peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan agama Islam dalam Perlembagaan Malaya tidak boleh diguna pakai di Borneo.

Jika diteliti dalam Perkara 1 didapati wujudnya klausa dimana peruntukan didalam Perlembagaan Malaya (Malaysia) tidak boleh digunapakai dalam di Borneo. Dan dalam klausa ini jelas menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat di Semenanjung Malaysia tidak boleh terpakai di Sabah dan Sarawak melainkan wujud persetujuan dengan kerajaan negeri berkenaan.

Maka dalam hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak melarang kalimah ALLAH digunakan di dalam Bible di Sabah dan Sarawak adalah lebih bersifat 'perjanjian', dimana kerajaan menghormati hak perjanjian yang ditandatangani ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Jika ada pihak-pihak tertentu cuba menyatakan kenapa tidak berlaku semakan semula keatas perjanjian ini, maka jawapannya terserah kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk mengkaji semula syarat ini kerana syarat ini merupakan permintaan mereka sebelum menjadi persekutuan Malaysia. Dan kerajaan pusat akan terus komited mendokong aspirasi perjanjian tersebut sejajar apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan terus membayar cagaran kepada Kerajaan Kedah dalam kes pemilikan Pulau Pinang.

Berbalik semula di Semenanjung Malaysia, ianya tertakluk dengan perlembagaan persekutuan secara keseluruhan tanpa pengecualian ditambah dengan pecahan kuasa negeri dan pusat dimana hal ehwal agama dipegang dalam bidang kuasa negeri, dimana Sultan selaku ketua Agama Islam boleh meminta diwujudkan mana-mana jabatan atau majlis agama Islam bagi menyelia, mengawal dan memperkembangkan agama Islam di negeri-negeri mereka selain enakmen khusus bagi menyekat perkembangan agama selain Islam. 

Kesimpulannya, isu yang cuba diputarbelitkan oleh pihak pembangkang tidak lebih untuk menarik sokongan masyarakat Kristian di Malaysia agar membenci kerajaan yang sedia ada disamping mahu menghidupkan suasana tidak aman di Malaysia. Ini ditambah lagi dengan momokkan kelompok ekstrimis minoriti yang kelihatan enggan menerima perintah-perintah larangan mahkamah selain ingin mencabar kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan keatas mereka, sekaligus dapatlah dijadikan isu untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia di persada antarabangsa.

Rujukan :

http://www.scribd.com/doc/89330861/The-Original-Agreement-of-Malaysia-9-July-1963
http://www.arkib.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=9f22cc04-4cec-4b4c-9039-ae42561b2d24&groupId=187507
http://www.johnytim.com/2010/02/20-perjanjian-di-sabah-dan-18-di.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Perjanjian_20_Perkara_Sabah
http://aspanaliasnet.blogspot.com/2013/10/perjanjianpersekutuan-malaysia-selangor.html
http://www.arkib.gov.my/penubuhan_malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120830/re_03/Gagasan-1Malaysia-tolak-Borneonisasi

Bacaan lanjut :

http://penaminangreturn.blogspot.com/2014/01/paderi-lawrence-andrews-heraldmalaysia.html#axzz2qNFg8Leh
http://penaminangreturn.blogspot.com/2013/01/antara-bible-dalam-bahasa-melayu-dengan.html#axzz2qNFg8Leh
http://penaminangreturn.blogspot.com/2013/01/konspirasi-kristian-dalam-mengkorupsi.html#axzz2qNFg8Leh

Post a Comment

0 Comments