TRAGEDI MH17 : MALAYSIA TAK BAYAR APA-APA DALAM RUNDINGAN DENGAN PUAK PEMISAH UKRAINE

Dipetik dari : Bernama

KIEV: Tiada wang tebusan atau sebarang bayaran lain dibayar sepanjang rundingan tiga hari antara pasukan penyiasatan khas Malaysia dengan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk, bagi mengambil mayat mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dan dua kotak hitam yang mengandungi alat-alat perakam data dan suara pesawat berkenaan.

Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Lt Kol Mohd Sukri Hussain, yang juga pemerintah pasukan perunding Malaysia, berkata dalam rundingan itu, ketua kumpulan pemisah Alexander Borodai tidak meminta apa-apa sebagai balasan dan hanya meminta Malaysia menjalankan siasatan.

"Beliau hanya mahu Malaysia mencari jawapan tentang apa sebenarnya yang berlaku terhadap pesawat itu," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan Ukraine juga memberi bantuan kepada pasukan perunding Malaysia untuk memastikan mereka dapat berjumpa dengan ketua kumpulan pemisah itu.

Pesawat MAS itu, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis malam.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Ia dipercayai ditembak jatuh, tetapi hingga hari ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mengenainya.

Mohd Sukri berkata beliau ke Donestk pada 4 petang Ahad bersama 11 anggota lain pAsukan itu, dan terpaksa menempuh 12 pusat pemeriksaan.

Selepas lima jam perjalanan, beliau bertemu dengan Borodai dan mula berunding tentang 11 perkara.

"Tiga perkara dibincangkan iaitu urusan mengambil mayat mangsa, kotak hitam dan bangkai pesawat berkenaan.

"Borodai bersetuju memenuhi semua permintaan Malaysia, tanpa sebarang syarat," katanya sambil menambah bahawa pasukan itu amat mengagumi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejayaan tersebut, kerana ia adalah hasil tindakan beliau menghubungi Kerajaan Ukraine dan Borodai.

Seorang lagi anggota pasukan perunding Malaysia, Rosli Shaari pula berkata dalam rundingan di pejabat Borodai itu, beliau melihat kumpulan pemisah menggantung sekeping gambar pesawat Malaysia di penjuru bilik, dengan beberapa pasu bunga diletakkan di atas meja di bawah gambar itu sebagai tanda ucapan takziah kepada mangsa.

"Kami bimbang, namun terpaksa melaluinya juga kerana tiada pilihan lain untuk mencari kata pemutus.

"Kami perlu membawa balik mayat mangsa ke pangkuan orang yang tersayang dan perlu mendapatkan kotak hitam, termasuk bangkai pesawat, untuk mencari kebenaran," kata Rosli, yang bertugas dengan syarikat telekomunikasi satelit, Sapura Secured Technologies sebagai pengurus besar (kemudahan dan perkhidmatan rangkaian pengurusan pelanggan).

Rosli berkata ketika rundingan berlangsung, beliau terdengar bunyi beberapa letupan di bandar itu dan meluru keluar daripada bangunan berkenaan, lalu ternampak beberapa bangunan terbakar dari jauh.

Rosli juga menyatakan beliau mendengar bunyi beberapa letupan bom dan tembakan.

"Sebenarnya, kami telah cuba pergi ke tempat pesawat berkenaan terhempas di Torez bersama anggota kumpulan pemberontak yang mengikut kami dengan menaiki dua kereta kebal, tapi terpaksa berpatah balik apabila melihat dua jet pejuang berlegar di udara," katanya.

Rosli berkata setelah rundingan selesai, pasukan itu dibawa ke sebuah stesen kereta api pada pukul 3 pagi Selasa, di mana mayat mangsa dalam tragedi itu ditempatkan dalam sebuah kereta api.

Katanya mereka diiring pemberontak bersenjata dan keadaan bertukar menjadi tegang apabila dengan tiba-tiba sebuah kereta memintas laluan kenderaan yang membawa kumpulan itu sebaik sahaja tiba di stesen kereta api berkenaan.

"Para pemberontak dengan tergesa-gesa turun daripada kenderaan mereka sambil menghunus senjata dan memekik kepada pemandu kereta berkenaan supaya beredar. Pemandu itu melakukan seperti yang diarah," kata Rosli sambil menambah bahawa pasukan Malaysia itu segera menaiki kereta api berkenaan yang menuju ke Kharkiv.

Beliau berkata sepanjang perjalanan yang memenatkan itu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa, selain memohon keselamatan daripada Allah kerana mereka membawa pulang dua 'barang yang amat penting' - mayat 282 mangsa dan dua kotak hitam.

Mereka tiba di sebuah kemudahan ketenteraan pada tengah hari Selasa dan mayat berkenaan diimbas serta ditag sebelum diterbangkan ke Netherlands, katanya.

Rosli berkata kotak hitam itu dihantar kepada pihak berkuasa berkenaan di United Kingdom malam tadi untuk tujuan penyiasatan.

Menurut Rosli beliau menyertai pasukan itu kerana ditugaskan memasang sistem komunikasi radio untuk MKN.

Katanya pasukan perunding itu menyembunyian dua kotak hitam berkenaan di dalam dua beg galas agar ia tidak dilihat sesiapa.

Post a Comment

0 Comments