ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 23 October 2014

BERPISAHNYA NABI MUHAMMAD DENGAN UMATNYA

Oleh : Nurfitri Hadi
Transliterasi : Jebat

Segala sesuatu akan ada akhirnya. Setiap kisah, ada penutupnya. Manusia datang, kemudian mereka pergi. Awalnya mereka mengucapkan salam pertemuan, lalu kemudian mereka berlalu dengan perpisahan. Hal sedemikian terjadi pada setiap orang, tidak terkecuali nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda datang dengan risalah dari sisi Rabb-Nya, setelah sempurna apa yang diperintahkan kepada baginda. Maka saat itulah baginda kembali menuju Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam perjalanan hidup Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, salah satu petanda besar yang menjadi titik tolak perpisahan baginda dengan umatnya adalah peristiwa haji wada’, haji perpisahan.

Saat itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memperlihatkan sebahagian buah dari dakwah baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sebelum baginda pulang ke Rafiqul A’la, baginda diperlihatkan hampir semua wilayah di Jazirah Arab telah menerima cahaya Islam. Orang ramai berbondong-bondong memeluk agama Allah. Agama Islam telah kukuh. Bendera-bendera tauhid telah berkibar di segenap tempat. Dan Makkah telah kembali kepada hakikatnya, dimana Allah ditauhidkan dan tidak disekutukan dengan sesuatu apapun.

Tanda Wafat Nabi Sebagai Peringan Musibah

Pada akhir tahun 10 H, tampaklah beberapa tanda yang menunjukkan bahawa ajal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah dekat. Hal ini merupakan salah satu bentuk rahmat dan kasih sayang Allah kepada kaum muslimin. Dengan tanda-tanda tersebut, mereka boleh mempersiapkan jiwa mereka untuk menerima suatu musibah berat yang akan menimpa mereka. Kerana tidak ada musibah yang lebih berat bagi para sahabat melebihi musibah ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Di antara tanda-tanda tersebut adalah penaklukan Kota Makkah, ramainya tokoh-tokoh Bani Tsaqif di Thaif yang memeluk Islam, kedatangan delegasi dan utusan negara-negara bukan Islam menuju Madinah untuk memeluk Islam, dan lain-lain lagi. Ini beberapa tanda yang menunjukkan sudah dekatnya ajal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Imam an-Nasa-i meriwayatkan dalam kitab Tafsirnya, bahawa Ibnu Abbas mengatakan tentang surah an-Nashr ini: “Ketika diturunkan, ia (surat an-Nashr) mengkhabarkan wafatnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka baginda lebih meningkatkan ketekunan dalam urusan akhirat” (Tafsir an-Nasa-i).

Sebelumnya, pada bulan Ramadhan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf selama 20 hari, sedangkan di tahun-tahun sebelumnya, baginda hanya melakukannya selama 10 hari sahaja. Saat i’tikaf adalah saat dimana seseorang menyibukkan diri beribadah kepada Allah dan mengurangi interaksi dengan orang di sekitarnya. Ini merupakan pembelajaran dan persiapan bagi para sahabat. Baginda mengurangi dan sedikit berinteraksi dengan mereka, sebelum baginda meninggalkan mereka selamanya.

Demikian juga di bulan Ramadhan di tahun tersebut, Jibrail yang biasanya menyemak bacaan Al-Quran Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam satu kali khatam. Namun pada tahun itu Jibrail menyemak dengan dua kali khatam.

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam juga berpesan kepada Muaz bin Jabal yang baginda utuskan ke Yaman. Baginda bersabda,


يَا مُعَاذُ، إِنَّكَ عَسَى أَنْ لا تَلْقَانِي بَعْدَ عَامِي هَذَا، أَوْ لَعَلَّكَ أَنْ تَمُرَّ بِمَسْجِدِي هَذَا أَوْ قَبْرِي

“Wahai Muaz, sesungguhnya engkau mungkin tidak bertemu aku lagi setelah tahun ini, dan mungkin sahaja engkau akan melawat masjidku ini dan kuburanku ini.” Maka Mu’az pun menangis, takut berpisah dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (HR. Ahmad).

Pada bulan Dzul Qa’dah tahun 10 H, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mula mempersiapkan diri untuk menunaikan haji yang pertama sekaligus yang terakhir dalam kehidupan baginda. Yang kemudian dicatat sejarah dengan istilah haji wada’. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyeru kaum muslimin dari berbagai kabilah untuk menunaikan ibadah haji bersamanya. Diriwayatkan, jamaah haji pada tahun itu berjumlah lebih kurang dari 100,000 orang atau lebih daripada itu.

Haji Wada’

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berangkat dari Madinah menuju ke Makkah pada bulan Dzul Qa’dah yang berbaki empat hari lagi. Baginda berangkat setelah menunaikan solat zuhur dan sampai di Dzul Hulaifah sebelum asar. Di tempat itu, baginda menunaikan solat asar dengan qasar, kemudian mengenakan pakaian ihram.

Setelah menempuh lapan hari perjalanan, sampailah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam di tanah kelahirannya, tanah suci Makkah al-Mukaramah. Baginda bertawaf di Kaabah, setelah itu sa’ie antara Safa dan Marwah.

Pada tanggal 8 Zulhijjah 10 H, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berangkat menuju Mina. Baginda solat zuhur, ashar, maghrib, dan isya di sana. Kemudian bermalam di Mina dan menunaikan solat subuh di tempat itu juga.

Setelah matahari terbit, beliau berangkat menuju Arafah. Setelah matahari mulai bergeser, condong ke Barat, baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam mula memberikan khutbah. Dan kedudukan lokasi tempat dimana baginda berkhutbah adalah di sebuah masjid yang didirikan pada pertengahan abad ke-2 H oleh penguasa Abbasiyah. Dan masjid ini diberi nama masjid Namirah. Di akhir khutbahnya, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


وَأَنْتُمْ تُسْأَلُونَ عَنِّى فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ؟ قَالُوا نَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ وَأَدَّيْتَ وَنَصَحْتَ. فَقَالَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ يَرْفَعُهَا إِلَى السَّمَاءِ وَيَنْكُتُهَا إِلَى النَّاسِ « اللَّهُمَّ اشْهَدِ اللَّهُمَّ اشْهَدْ ». ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Kalian akan ditanya tentangku, apakah yang akan kalian katakan? Jawab para sahabat: kami bersaksi bahawa sesungguhnya engkau talah menyampaikan (risalah), telah menunaikan (amanah) dan telah menasihati. Maka dia berkata dengan mengangkat jari telunjuk kearah langit, lalu dia balikkan ke manusia: Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, sebanyak 3 kali” (HR. Muslim).

Setelah baginda berkhutbah, Allah Ta’ala menurunkan ayat:


اليَومَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

“…Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu…” (Al-Maidah: 3).

Pada saat turun ayat tersebut, Umar bin Khattab pun menangis. Lalu ditanyakan kepadanya, “Apa yang menyebabkan kamu menangis?”

Umar menjawab, “Sesungguhnya tidak ada setelah kesempurnaan kecuali kekurangan.”

Dari ayat tersebut, Umar merasakan bahawa ajal Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam telah dekat. Apabila syariat telah sempurna, maka wahyu pun akan terputus. Jika wahyu telah terputus, maka tiba saatnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam kembali ke ribaan Rabnya Jalla wa ‘Ala. Dan itulah kekurangan yang dimaksud Umar, yakni kehilangan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Dari sini juga kita mengetahui keagungan Kota Mekah; di sanalah syariat yang suci ini dimulai dan di sana pula syariat disempurnakan.

Dalam kesempatan lainnya, -di Mina- Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kembali berkhutbah:

“Sesungguhnya setahun berputar sebagaimana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga bulannya berturut-turut iaitu Zulqa’dah, Zulhijjah dan Muharram. (Satu bulan lagi adalah) Rejab Mudhor yang terletak antara Jumadal (akhir) dan Sya’ban.” (HR. Bukhari).

Kemudian baginda bersabda, “Bulan apa ini?” Kami (para sahabat) menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda diam sampai kami mengira baginda akan mengganti nama bulan ini.

Lalu beliau kembali bersabda, “Bukankah ini bulan Zulhijjah?” Para sahabat menjawab, “Betul.”

Baginda melanjutkan, “Negeri apa ini?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Beliau kembali diam sampai kami mengira baginda akan mengganti nama tempat ini.

Lalu baginda bersabda, “Bukankah ini negeri al-haram?” Kami menjawab, “ya, ini tanah haram.”

Baginda melanjutkan, “Lalu, hari apa ini?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda kembali diam sampai kami mengira baginda akan mengganti nama hari ini.

Lalu baginda bersabda, “Bukankah ini hari nahr (menyembelih korban)?” Kami menjawab, “ya, ini hari nahr.”

Kemudian baginda bersabda,


فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، إِلَى يَوْمِ تَلْقَوْنَ رَبَّكُمْ، أَلا هَلْ بَلَّغْتَ؟

“Sesungguhnya darah dan harta kalian haram seperti sucinya hari ini di negeri ini dan di bulan ini sampai hari dimana kamu berjumpa dengan Rabb mu. Bukankah aku telah menyampaikan?”

Para sahabat menjawab, “ya, kamu telah menyampaikan.”


فَلْيُبِلِّغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ، فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ، فَلا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ

“Maka, hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir, kerana ada yang disampaikan lebih mengerti dari yang mendengar secara langsung. Janganlah kamu kembali kufur sepeninggalanku, sebahagian kalian saling membunuh sebagaian lainnya.”

Setelah khutbah ini, Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam mencukur rambutnya kemudian menunggani kenderaannya berangkat menuju ke Makkah untuk melakukan tawaf ifadhah dan solat Zuhur di Mekah. Di sana, baginda minum air zamzam. Setelah itu, kembali lagi ke Mina dan bermalam di sana.

Pada tanggal 11 Zulhijjah, saat matahari mulai tergelincir ke barat, baginda menuju jamarat untuk melempar jumrah. Dan di sana baginda kembali berkhutbah. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abi Nadhrah, Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


يَا أَيُّهَا النَّاُس، إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلاَ لاَ فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ، وَلاَ لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلاَ لأَحْمَرَ عَلىَ أَسْوَدَ، وَلاَ أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلاَّ بِالتَّقْوَى

“Ingatlah bahawa Rabb kalian itu satu, dan bapak kalian juga satu. Dan ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang ajam (bukan-Arab), tidak pula orang ajam atas orang Arab, tidak pula orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, dan tidak pula orang berkulit hitam di atas orang berkulit merah; kecuali atas dasar ketakwaan.”

Kemudian baginda bertanya, “Bukankah aku telah sampaikan?”

Para sahabat menjawab, “Rasulullah telah menyampaikan.”

Setelah itu baginda mengingatkan kembali tentang haramnya mengganggu harta, menumpahkan darah, dan mencabuli kehormatan. Lalu memerintahkan para sahabat untuk menyampaikannya kepada yang tidak hadir.

Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menetap di Mina di hari tasyrik yang ke-3. Setelah itu menuju ke Makkah untuk melaksanakan tawaf wada’. Kemudian baginda berangkat menuju Madinah. Dan berakhirlah proses haji yang baginda lakukan.

Penutup

Inilah peristiwa terbesar berkumpulnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan umatnya untuk kali terakhirnya. Baginda mengulangi ucapan “bukankah aku telah sampaikan?” persaksian dari umatnya sendiri bahawa baginda telah menyampaikan risalah yang telah Allah amanahkan kepada baginda. Sekaligus sebagai petanda sudah dekatnya ajal baginda.

Lebih kurang tiga bulan kemudian, baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam pergi untuk selama-lamanya, meninggalkan dunia fana ini menuju Rabnya. Baginda berpisah dengan sahabat-sahabatnya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menunaikan amanah, menasihati umat, dan telah berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah kepada baginda sallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wa sahbihi wa sallam.

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute