ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Tuesday, 25 November 2014

KARYA AGUNG MELAYU : SULATUS SALATIN (SEJARAH MELAYU), TAK LEKANG DEK PANAS, TAK LUPUK DEK HUJAN



Oleh : Dato’ Dr. Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Haji Hashim
Naib Canselor,
Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)

Beberapa Aspek Filolog Sejarah  Melayu

Setakat ini diketahui, teks SEJARAH MELAYU yang sering dijudulkan juga sebagai SULALATUS-SALATIN, barangkali dapat dianggap sebagai sebuah hasil sastera sejarah dalam bahasa Melayu yang kedua tertua selepas penghasilan HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI. Namun, ini, bukanlah bererti bahawa antara periode kelahiran HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI pada abad ke-14 dengan periode (belum dapat dipastikan masa yang tepat) penghasilan SEJARAH MELAYU tidak lahir sebuah penghasilan genre sastera yang serupa. Oleh sebab setakat ini belum pernah ditemui lagi sebuah teks yang sedemikian coraknya, maka andaian di atas buat sementara dapatlah dipertahankan.
           
Kajian mutakhir terhadap SEJARAH MELAYU ini menunjukkan bahawa di berbagai-bagai pusat koleksi dan kepustakaan dunia ini terdapat sekurang-kurangnya 29 buah naskhah SEJARAH MELAYU “Literature” tentang SEJARAH MELAYU hingga pada masa ini pula terdapat dalam berbagai-bagai bentuk, iaitu:

a. Dalam bentuk naskhah (jawi), berbagai-bagai versi, resensi dan salinan.
b. Dalam bentuk penyelenggaraan/penggarapan atau pengedisian yang masih dikira amat ‘preliminary’ coraknya seperti,

i) Edisi Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, (Jawi), 1831.
ii) Edisi Dulaurier, 1849-1856
iii) Edisi W.G. Shellabear, 1986
iv) Edisi R.O. Winstedt, 1938
v) Edisi T.D. Situmorang dan A.E. Teeuw berasaskan kepada edisi Munsyi Abdullah, 1952.
vi) Edisi Dato’ Madjoindo, (Jawi), Jakarta, 1959.
vii) Edisi A. Samad bin Ahmad, Kuala Lumpur, 1979.

Di kalangan 29 buah naskhah tadi, terdapat:
a) 12 buah naskhah di Netherlands
b) 11 buah naskhah di United Kingdoms
c) 5 buah naskhah di Lembaga Kebudayaan Indonesia Jakarta
d) 1 buah di Leningrad, Rusia.

Penelitian terperinci terhadap semua naskhah ini menunjukkan bahawa naskhah ini
adalah seperti berikut:

a) Terdapat dua buah naskhah yang mewakili versi T.S. Raffles, iaitu di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London, Raffles M.S. No. 18 dan sebuah Cod. Or 1704 di Perpustakaan Universitiet Lerden yang didapati kurang lengkap di bahagian hujungnya.

b) Enam buah naskhah dalam bentuk serpihan, tetapi tidak lengkap, iaitu sebuah di Jakarta, KBG 11 Mal: sebuah di Leiden, Cod. Or. 1760: empat buah di London, iaitu Raffles MS No. 35, 39, 68 dan 76.

c) Versi pendek yang diselenggarakan oleh Abdullah Munsyi, kemudian digarap oleh T. D. Situmorang dan A. E. Teeuw. Versi ini kemudian diusahakan oleh Dato’ Madjoindo, pada tahun 1831, 1952 dan 1959.  Semuanya wujud dalam enam buah naskhah, iaitu sebuah di Jakarta.  KBG 189 W: sebuah di Leningrad, Rusia; empat buah di Great Britain iaitu Raffles No. 80, Farquhar MS No. 5, Perpustakaan School of Oriental and African Studies No. 36495 dan 36499. Semua versi pendek ini berakhir setakat episod kematian Tun Ali Hati, di Johor.

d) Dua buah naskhah salinan yang disalin dari versi pendek yang dicetak di Singapura, iaitu Klinkert No. 5, dan Cod. Or. 6669, kedua-duanya tersimpan di Leiden.

e) Versi panjang yang dapat ditemui daripada sembilan buah naskhah, iaitu di Jakarta sebanyak dua buah naskhah, KBG 188 von de Wall dan KBG 190 von de Wall di Perpustakaan Koninklijk Institut Leiden, No. 631 senaskhah: dua buah naskahah di Great Britain, iaitu Maxwell No. 26 di Royal Asiatic Society dan di Manchester No. 1; empat buah naskhah di Universiteit Bibliotheek, Leiden, aitu Cod. Or. 1703, 1716, 1736 dan 3210. Maksud veris panjang di sini ialah kesemua naskhah ini berakhir dengan penyebutan episod serangan jambi terhadap jambi terhadap Johor pada tahun 1673 (menurut kolofon yang tercatat).

f) Sebuah versi yang telah diperpanjang, iaitu penyalinan semula (dengan pengubahan dan penukaran di sana sini) teks SEJARAH MELAYU dari versi panjang, lalu diperlanjutkan lagi riwayatnya hingga kepertengahan abad ke-19, dilakukan oleh seorang perawi dari keturunan Siak. Pada masa ini, terdapat empat buah naskhah seperti ini, iaitu sebuah di Jakarta, KBG 191 W di Museum Pusat di Leiden dan diberi judul RAJA-RAJA MELAYU saja, dan dua buah lagi terdapat di Leiden dan diberi tajuk SEJARAH RAJA-RAJA MELAYU, iaitu Cod. Or. 6342 dan Cod. Or 7304.  Ada pihak yang gemar memanggilnya sebagai HIKAYAT RAJA AKIL atau HIKAYAT SIAK.  Sebuah naskhah lagi di Perpustakaan Royal Asiatic Society London, bertanda Mal. 138.

g) Sebuah naskhah yang didakwa sebagai berasal dari Palembang, lalu dikatakan berversi Palembang. Ia tersimpan di Perpustakaan Koninklijk vor de Tropen, Amsterdam, dalam bentuk naskhah bertaip rumi, tetapi penyalinannya agak berkecamuk dan berbeza daripada sebarang naskhah yang tersebut di atas. Kewujudannya masih belum diketahui ramai dan belum pernah dikatalogkan.

Daripada kenyataan di atas, nyatalah bahawa teks SEJARAH MELAYU mempunyai naskhah yang amat kompleks dan paling merumitkan dalam bidang filologi, walaupun kemasyhurannya memang jelas. Ini dapat dibuktikan daripada perhatian yang diberikan oleh para pengkaji tempatan dan luar negeri terhadap teks ini, sama ada dalam kerja penggarapan dan pengedisian, mahupun dalam tugas penterjemahan. Tujuan kerja penggarapan ialah untuk mencari sebuah naskhah dari SEJARAH MELAYU yang dapat memberikan pembacaan dan pemahaman filologi sedefinitif yang mungkin.

Muat turun Sulatus salatin secara percuma disini

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute