[KENYATAAN MEDIA] PERLANTIKAN DUTA BESAR MALAYSIA YANG BARU

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI 
BERHUBUNG
PELANTIKAN DUTA BESAR MALAYSIA YANG BARU

Enam (6) orang Ketua Perwakilan Malaysia yang baru telah menerima Watikah Pelantikan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara pada hari Selasa, bertarikh 25 November 2014. Ketua-ketua Perwakilan tersebut adalah seperti berikut:


YBhg. Dato’ Zainuddin Yahya
Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China

YBhg. Dato’ Zainuddin Yahya telah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri sejak tahun 1983. Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Duta Besar Malaysia ke Belgium pada tahun 2011 sehingga 2014 dan Duta Besar Malaysia ke Syria pada tahun 2005 sehingga 2008.

Dato’ Zainuddin juga berpengalaman memegang jawatan-jawatan penting di Kementerian seperti Timbalan Ketua Setiausaha (Khidmat Pengurusan) dari tahun 2010 sehingga 2011  dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dari tahun 2009 sehingga 2010 . Beliau juga pernah berkidmat di Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada tahun 2001 sehingga 2004 dan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, Afrika Selatan pada tahun 1999 sehingga 2001.


YBhg. Dato’ Nafisah Mohamed
Duta Besar Malaysia ke Belgium

YBhg. Dato’ Nafisah Mohamed memulakan perkhidmatan beliau di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1983. Beliau telah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico pada tahun 2008 sehingga 2011 dan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji pada tahun 2005 sehingga 2008.

Beliau juga pernah menjawat beberapa jawatan penting seperti Ketua Pengarah Jabatan Penyelarasan dan Pelaksanaan dari tahun 2011 sehingga 2014, Setiausaha Bahagian Kanan, Direktorat Asia, Oceania dan Afrika Utara pada tahun 2011 dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom pada tahun 2001 sehingga 2005.

Selain daripada itu, beliau juga pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, Amerika Syarikat dari tahun 1987 sehingga 1990.


YBhg. Dato’ Ahmad Izlan Idris
Duta Besar Malaysia ke Jepun

YBhg. Dato’ Ahmad Izlan Idris memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1984. Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian , Asia Barat dari tahun 2011. Beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Peru dari tahun 2008 sehingga 2011.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, Amerika Syarikat dari tahun 2003 sehingga 2006. Beliau juga pernah berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei pada tahun 1997 sehingga 2001, Kedutaan Besar Malaysia di The Hague, Belanda dari tahun 1994 sehingga 1997 dan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand dari tahun 1988 sehingga 1991.


Encik Mustafa Mansor
Duta Besar Malaysia ke Sudan

Encik Mustafa Mansor telah berkhidmat dengan Kementerian Luar Negeri sejak tahun  1986. Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Sudan, beliau memegang jawatan sebagai Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia dari tahun 2011. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah, Seksyen Latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri dari tahun 2010 hingga tahun 2011.

Encik Mustafa juga pernah ditugaskan ke Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Brazil pada tahun 1998 sehingga 2002 dan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dari tahun 1989 sehingga 1993.


Encik Khairi Omar
Duta Besar Malaysia ke Cuba 

Encik Khairi Omar memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994 dan mula berkhidmat di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1998. Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Cuba, Encik Khairi menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) dan Oceania sejak dari tahun 2011.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Vietnam pada tahun 2007 sehingga 2011 dan pernah bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, Amerika Syarikat dari tahun 1999 sehingga 2004.


Encik Mohd Haniff Abd Rahman
Duta Besar Malaysia ke Myanmar

Encik Mohd Haniff memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri sejak tahun 1989. Sebelum ini, beliau merupakan Konsul Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada dari tahun 2011.

Beliau juga pernah memegang jawatan penting di Kementerian seperti sebagai Setiausaha Bahagian , Pertubuhan Persidangan Islam Antarabangsa (OIC) pada tahun 2011 dan Setiausaha Bahagian Timur Tengah dan Afrika Utara pada tahun 2009 sehingga 2011.

Beliau pernah ditugaskan ke Pejabat Perhubungan Malaysia di Pristina, Kosovo dari tahun 2000 sehingga 2002, ke Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun pada tahun 1997 sehingga 2000 dan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Suva, Fiji pada tahun 1993 sehingga 1997.


PUTRAJAYA
25 November 2014 

Post a Comment

0 Comments