ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Friday, 28 November 2014

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI MENGENAI PEMBENTANGAN KERTAS PUTIH KE ARAH MENANGANI ANCAMAN KUMPULAN ISLAMIC STATE

TEKS UCAPAN PEMBENTANGAN KERTAS PUTIH KE ARAH MENANGANI ANCAMAN KUMPULAN ISLAMIC STATE

Oleh : YAB. DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK, 
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat : Dewan Rakyat
Tarikh : 26/11/2014

Dengan izin, Tuan Yang Dipertua, saya ingin memohon membentangkan di bawah Peraturan 27(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai Kertas Putih bertajuk "Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State" untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita seorang rakyat Malaysia menjadi pengebom berani mati kumpulan militan Islamic State atau IS di Iraq. Ini merupakan kali pertama seorang rakyat Malaysia bertindak sedemikian. Dalam insiden ini, Ahmad Tarmimi Maliki telah merempuh ibu pejabat pasukan keselamatan Iraq di wilayah Anbar dengan sebuah SUV yang dimuatkan dengan bahan letupan. Akibat tindakan itu seramai 25 orang anggota pasukan tentera elit Iraq telah terbunuh. Pada usia muda 26 tahun, Tarmimi sepatutnya membantu menyara keluarga sebaliknya memilih untuk melakukan tindakan sia-sia dan bertentangan dengan ajaran Islam.

3. Selain Tarmimi, empat orang lagi rakyat Malaysia telah terbunuh di Syria pada tahun ini. Saya sedih dan bersimpati mengenangkan nasib mereka yang kehilangan ahli keluarga yang tersayang. Saya juga bimbang bilangan ini mungkin akan meningkat kerana seramai 39 orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sedang berada di Syria dan 40 lagi mungkin menerima nasib yang sama sekiranya pihak berkuasa tidak menahan mereka.

4. Sepuluh hari yang lalu tanggal 16 November 2014, sekali lagi dunia digemparkan dengan penyembelihan hidup-hidup seorang lagi warga Amerika Syarikat, Peter Kassig oleh IS walaupun beliau telah memeluk Islam dan menukar nama kepada Abdul Rahman.

5. Di Sydney, seorang remaja berusia 17 tahun, Abdullah Elmir, warga Australia sanggup melarikan diri dari rumah dan memeranjatkan keluarga dan dunia apabila muncul dalam satu video lengkap bersenjata di kalangan kumpulan militan IS di Syria. Anak muda ini mencabar kerajaan Australia dan negara-negara pakatan untuk menyerang mereka. Dia juga secara angkuh menyatakan tidak akan berhenti berjuang selagi bendera IS tidak berkibar di Rumah Putih dan Istana Buckingham. Perubahan mendadak seorang remaja yang masih bersekolah, tiba-tiba menjadi militan menunjukkan betapa kuat pujukan dan propaganda IS.

6. Dalam satu kejadian lain pada bulan Mei 2014, Mehdi Nemmouche, 29 tahun, yang pernah berada lebih setahun di Syria bertindak sendirian melakukan serangan yang membunuh empat orang awam di Belgium setelah terpengaruh dengan fahaman ekstrem IS.

7. Sebenarnya, umat Islam kini menghadapi cabaran getir dari satu kumpulan militan yang menyasarkan kita dan anak-anak kita supaya pergi ‘berjihad’ ke Syria dan Iraq atas jalan Islam. Kita berada di satu persimpangan di mana kita harus berusaha dengan lebih gigih untuk menjaga agama, bangsa dan negara. Saya yakin ramai rakyat Malaysia masih tidak mengetahui IS yang sebenar sehingga mereka mudah terpedaya dengan ideologi ekstrem kumpulan itu.

Tuan Yang di-Pertua,

8. Kertas Putih ini bertujuan mendedahkan wajah sebenar IS yang bertopengkan Islam bagi mencapai cita-cita mereka untuk menubuhkan negara Islam mengikut acuannya. Modus operandi perjuangan mereka berakar umbi daripada Al Qaeda dan mirip kumpulan militan Al Qaeda telah diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan jumhur ulama-ulama arus perdana hari ini.

9. Sebagaimana sifatnya kumpulan militan-militan yang lain, IS juga menyalahtafsirkan ajaran Islam umpamanya dalam konsep jihad. IS beranggapan matlamat penubuhan negara Islam hanya dapat dicapai melalui apa yang dipanggil "Jihad Peperangan". Sebenarnya, ideologi Salafi-Jihadi yang diperjuangkan oleh kumpulan ini adalah berlandaskan ekstremisme dan keganasan yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jihad sebenar adalah membawa pengertian yang lebih besar dalam mencapai matlamat Maqasid Syariyah, termasuk melindungi keselamatan negara, menjaga agama, akidah, nyawa, akal maruah atau keturunan dan harta benda.

10. Kumpulan ini juga telah mengeksploitasi konsep hijrah yang sebenar. Sebaliknya, IS menyeru umat Islam berhijrah ke Syria dan Iraq atas nama Islam sedangkan muslihat mereka sebenar adalah untuk membantu kumpulan itu berperang bagi meluaskan kawasan penaklukan. Rakyat perlu menyedari bahawa peperangan ini hanya merupakan satu pertembungan politik dan konflik sektarian yang tiada kaitan dengan konsep jihad atau hijrah seperti yang diterima oleh jumhur ulama. IS cuba menangguk di air keruh dengan menggambarkan konflik ini sebagai peperangan akhir zaman, jalan pintas untuk mencapai agenda, cita-cita dan niat salah mereka. Pejuang asing seramai 15,000 orang yang berjuang untuk IS telah dipergunakan demi memenuhi agenda mereka.

11. Penyelewengan ajaran Islam oleh IS juga semakin ketara apabila sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam yang tidak sehaluan dengan pendiriannya, dan menghalalkan pembunuhan mereka. Walhal, ajaran Islam yang sebenar adalah berpegang teguh kepada persaudaraan sesama Islam dan melindungi hak bukan Islam.

12. Kita juga banyak mendengar tentang kekejaman IS sehinggakan wanita dan kanak-kanak juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa. Mereka juga sesuka hati menjatuhkan hukuman bunuh ke atas sesiapa sahaja tanpa hak untuk membela diri. Insiden pembunuhan pada awal November 2014 yang melibatkan sejumlah 322 orang termasuk 50 wanita dan kanak-kanak di Anbar, Iraq juga menunjukkan mereka tidak teragak-agak membunuh penduduk sesama Sunni.

13. Kekejaman IS semakin tidak mengenal nilai kemanusiaan apabila sanggup menyembelih hidup-hidup rakyat Amerika Syarikat iaitu James Foley dan Steven Sotloff serta rakyat Britain iaitu David Haines dan Alan Henning. Banyak lagi perbuatan tidak berperikemanusiaan kumpulan ini, namun tidak sanggup saya katakan dalam Dewan yang mulia ini.

14. Lagipun saya tidak boleh terfikir bagaimana seorang manusia sanggup menyembelih manusia lain yang tidak lagi dapat melawan. Lebih-lebih lagi apabila ibu-ibu mangsa sendiri merayu supaya anak-anak mereka tidak diapa-apakan. Lebih menghairankan lagi, bagaimana kumpulan militan IS langsung tidak menunjukkan sedikit pun rasa kesal, sebaliknya berbangga mempamerkan tindakan ganas ini melalui media sosial. Tentu kita dapat bayangkan betapa hiba dan marahnya keluarga mangsa sehingga boleh menimbulkan kebencian yang amat sangat kepada agama Islam.

Tuan Yang di-Pertua,

15. Dunia Islam dan ulama-ulama antarabangsa mengutuk apa yang dilakukan IS. Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh, Mufti Arab Saudi menganggap IS adalah musuh nombor satu dunia Islam sementara deklarasi penubuhan negara Islam oleh IS adalah bertentangan dengan syariat Islam. Sheikh Shawqi Allam, Mufti Besar Mesir pula melabelkan IS sebagai entiti pengganas yang menyalahi Islam dan peraturan-peraturan syariah serta mencemar imej agama Islam.

16. Malaysia juga mempunyai pendirian yang jelas terhadap IS. Selain menyenaraikan IS sebagai kumpulan pengganas, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-106 baru-baru ini telah merumuskan penyertaan umat Islam negara ini dalam kumpulan militan IS di Iraq dan Syria adalah bertentangan dengan syarak dan kematian mereka tidak dikategorikan sebagai mati syahid. Ini berdasarkan hujah bahawa kumpulan ini memerangi dan membunuh sesama Islam.

17. Saya merasakan bahawa sebagai sebuah negara yang turut mempelopori pendirian wasatiyyah sebagaimana tuntutan ajaran Islam dalam semua aspek, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan fahaman ekstrem IS adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan perlembagaan negara. Sehubungan ini, Malaysia akan mempertingkatkan usaha menjelaskan jihad yang sebenar serta memperbetulkan persepsi Barat yang kerap mengaitkan Islam dengan keganasan.

Tuan Yang di-Pertua,

18. Melihat potensi ancaman daripada kumpulan ini, kita bimbang dan tidak dapat dinafikan kepulangan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Syria dan Iraq boleh meningkatkan lagi risiko keselamatan kepada negara. Lebih menakutkan lagi, dengan pengalaman yang mereka ada, taktik peperangan yang mereka miliki, militan-militan ini berupaya melakukan aktiviti pengganasan secara bersendirian, dengan izin, "lone wolf". Dengan kepakaran ketenteraan dan kemahiran membuat bom yang diperolehi di Syria, mereka berpotensi melancarkan serangan pada bila-bila masa sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang besar kepada harta awam.

19. Pada masa yang sama, kita berasa khuatir mereka akan mewujudkan semula sel-sel pengganas dan membentuk jaringan dengan kumpulan-kumpulan militan sedia ada dalam negara dan serantau. Umpamanya, mereka boleh membentuk jaringan dengan kumpulan Abu Sayyaf di kepulauan Mindanao, selatan Filipina yang telah melakukan sumpah taat setia kepada IS.

20. Oleh kerana kawasan operasi kumpulan Abu Sayyaf ini amat hampir dengan pantai timur Sabah, ia akan meningkatkan risiko keselamatan di kawasan itu. Setakat ini terdapat lima orang suspek Malaysia yang dipercayai masih bersembunyi di selatan Filipina. Sekiranya rangkaian IS berjaya wujud di Sabah, tidak mustahil ia akan merebak ke Sarawak sehingga menggugat keselamatan dan keharmonian pelbagai kaum di sana.

21. Cabaran kepada masalah ini amat besar kerana IS menggunakan media sosial untuk mengembangkan ideologinya bagi menarik sokongan masyarakat khususnya menyasarkan generasi muda. Apatah lagi IS turut menggunakan pelbagai bahasa asing dalam propaganda dan pujukan mereka termasuk bahasa Indonesia yang dilihat sebagai satu strategi IS untuk menarik sokongan serta simpati penduduk Islam yang besar bilangannya di rantau Asia Tenggara.

22. Dalam menghadapi ancaman ini, telah sampai masanya bagi kerajaan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengekang pengaruh IS. Ini sejajar dengan tindakan negara-negara lain yang mana telah memperkenalkan dan memperkemaskan undang-undang antipengganasan sebagai jalan utama menangani ancaman pengganasan.

23. Sehubungan itu, Kertas Putih ini mencadangkan satu undang-undang baru yang sesuai digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas. Kerajaan bercadang membentang rang undang- undang ini pada sesi Parlimen akan datang.

24. Selain daripada itu, Kertas Putih ini juga mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah atau POCA dan Kanun Keseksaan, khusus bagi menangani ancaman pengganasan dan militan.

Tuan Yang di-Pertua,

25. Dalam melihat konflik di Syria dan Iraq ini, pihak kerajaan menghormati keprihatinan rakyat Malaysia terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di sana. Kerajaan juga berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia termasuk akses kepada media sosial, namun, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan ia tidak mengancam keselamatan negara.

26. Kerajaan sedar undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk membendung ideologi IS. Saya amat berharap supaya mendapat sokongan daripada semua lapisan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fahaman sedemikian.

27. Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia terutama golongan belia dan ibu bapa supaya menolak ideologi ekstrem yang boleh merosakkan masa depan kita semua. Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini tidak ternilai dan harus terus dipelihara.

Tuan Yang di-Pertua,

28. Sebagai kesimpulan, adalah diharapkan Kertas Putih ini dapat menjelaskan dengan lebih mendalam tentang IS dan ancamannya kepada keselamatan negara. Kerajaan mencadangkan penggubalan satu undang-undang khusus serta pemerkasaan akta-akta sedia ada.

29. Selain daripada undang-undang, semua lapisan rakyat perlu bersama-sama kerajaan menolak sebarang ideologi ekstrem dan yakin bahawa konsep wasatiyyah adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

30. Pada masa yang sama, Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa menangani ancaman radikalisme, ekstremisme, pengganasan dan militan.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute