MALAYSIA-ARAB SAUDI PERTINGKAT KERJASAMA PERTAHANAN

Oleh : Anasz*

Lawatan rasmi Khadimul Haramian Asy-Syarifain, Salman bin Abdul Aziz Al-Saud Hafizahullah, telah membuahkan beberapa hasil yang memberansangkan. Selain peningkatan kerjasama dalam aspek ekonomi seperti perkongsian kepentingan dalam projek Rapid Pengerang diantara Petronas dan Saudi Aramco, perkara yang menarik untuk dilihat ialah aspek pertahanan.

Hubungan ketenteraan Arab Saudi dengan Malaysia tidaklah serapat Arab Saudi dengan Amerika Syarikat. Hal ini kerana, Malaysia bukanlah negara penyumbang kepada pembanggunan ketenteraan negara berkenaan, berbanding Amerika Syarikat. Malah jika dilihat dari sudut penglibatan negara-negara lain dalam pertahanan Arab Saudi sekalipun, Pakistan lebih jauh kehadapan. Misalnya ketika pembebasan Masjidil Haram ketika ditawan oleh kumpulan pengganas pada tahun 1979, Pakistan merupakan negara yang pertama menggerakkan pasukan komandonya bagi membantu Saudi Arabian National Guard (SANG) untuk membebaskan masjid berkenaan.

Hubungan ketenteraan Malaysia - Arab Saudi melalui fasa baharu terutama sekali pada tahun 2015 apabila Malaysia menjadi wakil tunggal negara Islam di Asia Tenggara ke eksais terbesar latihan ketenteraan negara-negara Islam di King Khalid Military City, Arab Saudi. Eksais melibatkan 20 buah negara dengan kekuatan anggota seramai 350,000 telah memberikan pengalaman baru kepada anggota tentera Malaysia dalam strategi peperangan padang pasir.







Kecemerlangan anggota tentera Malaysia dalam latihan sebelum ini telah memberikan keyakinan kepada Arab Saudi untuk menjemput pasukan tentera Malaysia untuk bersama mereka dalam latihan ketenteraan North Spear pada bulan November 2016 yang turut melibatkan Amerika Syarikat. Berbanding eksais ketenteraan North Thunder yang melibatkan penyertaan anggota tentera yang ramai dengan pergerakkan aset yang besar, latihan North Spear ini pula melibatkan bilangan anggota tentera yang sedikit dan memfokuskan kepada pasukan elit tentera (komando/special forces) dari negara masing-masing. 

Lawatan Raja Salman ke Malaysia juga telah mempertingkatkan lagi hubungan rapat Kuala Lumpur-Riyadh melalui beberapa insentif yang ditawarkan kepada Malaysia. Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Hishamuddin Hussien, Arab Saudi telah bersetuju mempertimbangkan untuk menjual beberapa aset pertahanan milik negara berkenaan kepada Malaysia selain beberapa insentif yang lain. Berikut merupakan persetujuan diantara Malaysia dan Arab Saudi dalam sektor pertahanan ;



A) Penubuhan King Salman Centre for International Peace (KSCIP), bersempena nama Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. KSCIP bakal ditubuhkan menerusi kerjasama antara Ideology Warfare Center (IWC) atau Markaz Harb Fikriah di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi dan Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. KSCIP bakal diuruskan secara bersama oleh Universiti Islam Sains Malaysia (USIM). Manakala rakan kongsi strategik dari Arab Saudi yang turut terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia).

KSCIP ditubuhkan bertujuan mengenal pasti kaedah terbaik bagi membendung penyebaran dakyah dan ideologi keganasan oleh golongan ekstremis dan kumpulan pengganas di seluruh dunia. Idea penubuhan KSCIP tercetus hasil perbincangan saya dan Timbalan Putera Mahkota Muhammad bin Salman yang bersependapat bahawa usaha membendung permasalahan ini tidak seharusnya terbatas kepada penguatkuasaan undang-undang dan operasi ketenteraan semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan input dan hasil kajian akademik yang menyeluruh.

B) Malaysia bakal menempatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC) yang terletak di Riyadh, Arab Saudi untuk membantu Angkatan Tentera Arab Saudi (SAF) memikirkan strategi terbaik bagi menangani ancaman kumpulan DAESH. Ia tidak melibatkan sebarang operasi ketenteraan.

C) Arab Saudi memberi pertimbangan serius untuk menawarkan penjualan lebihan aset ketenteraan milik SAF kepada Malaysia. Penjualan ini tidak mensasarkan keuntungan sebaliknya bertujuan membantu meningkatkan keupayaan ketenteraan ATM. Dalam hal ini, Malaysia memfokuskan kepada 2 aspek iaitu jet pejuang untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter untuk Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). Aset-aset ini bukan sahaja bersesuaian membantu melaksanakan penugasan dan operasi di peringkat serantau malah turut berupaya meningkatkan persefahaman untuk beroperasi secara bersama antara angkatan tentera Malaysia dan Arab Saudi. Pada masa sama, Malaysia juga akan mempertimbangkan perolehan aset-aset ketenteraan yang lain dari Arab Saudi sekiranya bersesuaian dan diperlukan oleh ATM pada masa akan datang. 

D) Malaysia melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersetuju menawarkan perkongsian kepakaran dan latihan bersama bagi meningkatkan keupayaan anggota Tentera Laut Diraja Saudi (RSNF) dalam mengendalikan kapal selam. Malaysia akan memastikan latihan ini dilaksanakan secara berterusan selama tempoh kapal selam pertama RSNF dibina.

F) Malaysia dan Arab Saudi bersetuju mengadakan lebih banyak latihan ketenteraan secara bersama bagi membantu meningkatkan keupayaan dan kepakaran angkatan tentera masing-masing.

Secara kesimpulannya, hubungan Malaysia dan Arab Saudi kini berada di tahap yang tertinggi, dan ini dapat dilihat dengan kehadiran Raja Salman ke Malaysia pada 26 Febuari 2017 hingga 1 Mac 2017 yang lalu. Apa yang pasti, hubungan rapat terutama sekali dalam bidang pertahanan ini tidaklah didasari atas kepentingan negara masing-masing, sebaliknya hubungan ini dijalin atas dasar ukhwah dan semangat persaudaraan Islam.

*Penulis merupakan graduan Sarjana dalam bidang Strategi dan Keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments