ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Wednesday, 17 May 2017

PELACURAN BERKASTA DI PULAU PINANG


Oleh : Tan Geck Choon Rumah Pelacuran di Pulau Pinang dibahagikan kepada tiga ketegori, iaitu rumah pelacuran kelas pertama dikenali sebagai da zhai, kelas kedua ialah xi zhai dan rumah pelacuran kelas yang paling rendah tarafnya ialah pao zhai (Man Sang Pao, 12 Mei 1987). Menurut Ong Seng Huat, rumah-rumah pelacuran yang terkenal pada abad ke-19 ialah Sai Yue Lou, Xin Sai Feng, Gui Yue Lou, De Yue, Chui Feng, Shang Yue, dan Xin Yan. Bilangan rumah pelacuran di Lembuh Campbell dan Lebuh Cintra dianggarkan lebih daripada 100 buah. Rumah pelacuran kelas pertama biasanya terdiri daripada bangunan tiga atau empat tingkat yang telah diubah suai (Man Sang Pao, 12 Mei 1987). Tingkat paling bawah ialah tempat menyembah dewa dewi dan dikenali sebagai sheng ting atau 'ruang dewa'. Tingkat kedua dan ketiga merupakan bilik yang disediakan untuk melakukan aktiviti pelacuran. Tingkat keempat ialah zhai ting, iaitu tempat mengadakan jamuan makan malam. Rumah pelacuran kelas pertama ini dihias mengikut cita rasa masyarakat kelas pertama. Rumah ini berperabot lengkap, menekankan gaya dan kualiti kehidupan si penghuni seperti menggunakan camca (sudu) perak dan mangkuk berjenama yang diimport dari China. Pelanggan rumah pelacuran kelas pertama ini terdiri daripada saudagar-saudagar dan pengusaha-pengusaha Cina yang kaya. Selain itu, tempat ini juga merupakan tempat pejuang-pejuang parti Kuo Min Tang berhimpun atau bermesyuarat secara sulit untuk menentang kerajaan Manchu. Pemimpin-pemimpin kongsi gelap sering mengunjungi rumah ini. Pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan perayaan kuih bulan Cap Goh Mei, pelanggan akan mengadakan jamuan makan di zhing ting (Man Sang Pao, 23 Mei 1987) dikenali sebagai kai ting (jamuan makan malam). Kai ting biasanya diadakan pada malam Ahad. Tuan kai ting akan ditemani seorang ketua pelacur bersama-sama pelacur lain. Ketua pelacur itu akan mewakili tuannya melayani tetamu dengan minuman keras. Pelacur-pelacur lain akan duduk bersama tetamu sambil berbual-bual, bermain finger games[1] manakala tuan kai ting bertujuan untuk mendapatkan perniagaan, mengambil kesempatan berbincang dengan pelanggan mereka. Sebelum jamuan tamat, pelacur akan memberi sebiji buah pinang kepada setiap tetamu. Kai ting tidak semestinya melibatkan kegiatan seks. Kadangkala anak-anak orang kaya di Pulau Pinang mengadakan kai ting untuk menunjukkan kedudukan[2]. Kai ting perlu ditempah terlebih dahulu. Kebenaran mengadakan kai ting bergantung pada kesangupan Ah Ku (pelacur kelas pertama) untuk melayani mereka. Hal ini kerana Ah Ku kelas pertama memilih tetamu. Mereka tidak mementingkan wang tetapi menekankan perhubungan persaudaraan atau semangat setia kawan. Lantaran itu, bagi anak-anak muda yang kaya dan ingin bersuka ria melalui kai ting akan berasa kurang senang dan malu jika mereka ditolak Ah Ku. Sebaliknya, sesiapa yang mendapat layanan Ah Ku di rumah pelacuran kelas pertama akan berasa amat bangga. Tambahan pula, kos untuk mengadakan kai ting boleh menelan belanja sebanyak 60 sterling untuk satu malam, iaitu lebih daripada 25 dolar selat[3]. Namun mereka sanggup membayar. Disini dapat dilihat sikap 'murah hati' mereka yang mengadakan kai ting ini memandangkan sekati beras cuma dapat dijual dengan harga 3 sen sahaja sedangkan orang kaya ini sanggup berbelanja lebih 25 dolar Selat semalam. Rumah pelacuran kelas kedua atau xi zhai berpusat di sekitar Lebuh Citra. Kemunculan rumah pelacuran kelas kedua adalah untuk memenuhi keperluan pelanggan yang tidak mampu ke rumah pelacuran kelas pertama. Hal ini kerana bayaran di rumah pelacuran xi zhai ini adalah dua kali ganda lebih murah daripada rumah pelacuran kelas pertama. Perbezaan rumah pelacuran kelas pertama dengan rumah pelacuran kelas kedua ialah dinding rumah pelacuran kelas kedua mempunyai sedikit hiasan dinding berbanding rumah pelacuran kelas pertama. Dinding rumah pelacuran kelas pertama dihiasi dengan tulisan kaligrafi cina dan lukisan pemandangan yang indah. Peralatan yang digunakan di rumah pelacuran kelas pertama lebih mahal dan mewah, contohnya penyepit makanan diperbuat dari kayu yang bermutu tinggi. Bekas makanan yang dipakai adalah daripada jenis import yang berkualiti. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan kelainan taraf si pengguna daripada orang biasa. Rumah pelacuran kelas ketiga atau pao zhai kelihatan ringkas; hanya terdapat sebuah katil dan almari dalam sesebuah bilik. Rumah pelacuran ini dikenali sebagai 'banggunan tangga batu' kerana pelacur kelas ketiga kebiasaanya duduk di atas tangga batu banggunan untuk menarik pelanggan. Phao zhai berpusat di sekitar Jalan Kuala Kangsar, jalan-jalan di sekitar rumah pelacuran kelas ketiga dikenali sebagai Da Pao Jie atau Da Pao Jian yang bererti 'bilik mercun'. Istilah ini merujuk kepada perkhidmatan seks di rumah pelacuran yang sangat pantas seperti "mercun yang sedang dibakar, sekelip mata sahaja sudah habis dibakar" (Wong Sin Kiong, 1998). ------ [1] Finger games atau permainan jari ialah sejenis permainan yang dimainkan semasa mengambil minuman keras. Permainanya terdiri daripada dua orang; pihak yang kalah akan didenda meminum segelas arak atau lebih mengikut arahan pemenang; Goh Chin Kooi (1987:12) [2] Dikatakan seorang usahawan abad ke-19 telah menggunakan cara kai ting dalam perniagaan beliau. Pada dasarnya, beliau tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengadakan kai ting, namun, beliau berikhtiar untuk memperolehi wang melalui pinjaman. Tujuan beliau berbuat sedemikian ialah untuk meningkatkan status agar mendapat kepercayaan daripada saudagar-saudagar yang berprestij. Beliau berjaya dan mula muncul sebagai salah satu jutawan di Pulau Pinang; Man Sang Pao (23 Mei 1987) [3] Satu dolar Selat boleh ditukarkan dengan 2 sterling dan 4 pence mengikut catatan pertukaran wang sejak tahun 1904. Satu sterling boleh menukar 12 pence. Dengan perkataan lain, 1 dolar Selat bersamaan dengan 28 pence. Oleh itu, 60 sterling boleh menukar 25 dolar Selat dan bakinya 20 pence. Hal ini bererti nilai 60 sterling ialah lebih daripada 25 dolar Selat; Li Dun Jen (1981); Lim Teck Ghee (1977). Nota : Disalin dari buku berjudul 'Pelacur Imigran Cina di Pulau Pinang' : 2013. Penerbit USM.

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute