KENAPA ARAB SAUDI, UAE, BAHRAIN DAN MESIR PUTUSKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN QATAR?


Oleh : Staff Al-Arabiya
Terjemahan oleh : Jebat

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir telah mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar pada hari ini, hasil dari keteganggan yang berlaku beberapa minggu yang lalu.

Arab Saudi

Menurut agensi berita rasmi Arab Saudi, Saudi Press Agency, Arab Saudi mengambil tindakan berkenaan selepas melihat berlakunya “pelanggaran secara serius dan sistematik oleh Doha beberapa tahun kebelakangan ini dengan matlamat mewujudkan perselisihan diantara kesatuan Arab, mencabar kedaulatan negara selain membantu kumpulan pengganas dengan tujuan menganggugugat kestabilan rantau ini.

Arab Saudi mendakwa Qatar telah menyokong dan membantu kumpulan ekstrimis seperti Ikhwanul Muslimin, DAESH / ISIS dan Al-Qaeda menerusi siaran media milik negara berkenaan.

“Qatar juga menyokong aktiviti kumpulan pengganas yang dibelakangi oleh Iran di daerah Qatif dalam wilayah Arab Saudi selain di negara jiran, Bahrain. Qatar juga telah memberikan bantuan kewangan, menerima dan melindungi pengganas yang mencari suaka politik yang telah menganggu gugat kesatuan di dalam dan luar negara. Mereka (Qatar) menggunakan media mereka untuk menyemarakkan perselisihan dalaman negara. Kerajaan Arab Saudi juga mengambil perhatian bahawa Doha telah menyokong militia Syiah Houthi walaupun selepas negara berkenaan menyatakan bahawa mereka menyokong kerajaan sah Yaman,” tambah kenyataan berkenaan.

UAE

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, UAE telah memberikan sokongan penuh kepada Arab Saudi dalam tindakan mereka keatas Qatar, dan berkata tindak tanduk Qatar telah mengancam kestabilan dan keselamatan di rantau berkenaan, selain memanipulasikan keadaan dan tidak memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian bersama.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan UAE itu juga menyatakan bahawa rakyat Qatar diberikan tempoh masa selama 14 hari untuk meninggalkan negara berkenaan. Malah rakyat Qatar juga dilarang masuk ke UAE walaupun sekadar untuk tujuan transit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu juga menyatakan bahawa kerajaan UAE melarang rakyatnya dari melawat atau transit ke negara berkenaan atas apa jua alasan.

Bahrain

Dalam pada itu, Bahrain mengambil keputusan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara jirannya itu ekoran “campur tangan secara berterusan oleh Qatar yang memberikan kesan kepada keselamatan dan kestabilan Bahrain sekaligus satu campurtangan terhadap urusan dalaman negara Bahrain.”

Kenyataan berkenaan juga menyebut bahawa tindakan media milik Qatar yang telah memberi peluang kepada kumpulan pengganas menyebarkan propaganda mereka selain memberikan bantuan kewangan kepada pengganas yang disokong oleh Iran, adalah salah satu punca yang membawa kepada tindakan pemutusan hubungan diplomatik tersebut.

Rakyat Qatar diberikan masa selama 14 hari untuk meninggalkan wilayah Bahrain, manakala para diplomat Qatar diberikan tempoh selama 48 jam untuk meninggalkan negara berkenaan. Dalam masa yang sama, kerajaan Bahrain juga melarang rakyatnya dari melawat atau tinggal di Qatar.

“Tindakan merbahaya Qatar ini bukan sahaja memberikan kesan kepada Bahrain,tetapi juga kepada negara-negara jiran yang lain.” tambah kenyataan berkenaan.

Mesir

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Mesir, salah satu punca yang menyebabkan kerajaan negara berkenaan memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Qatar ialah berpunca dari tindakan Qatar yang menyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin, yang mana Kaherah mengklasifikasikan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas.

“Qatar telah mempromosikan ideologi Al-Qaeda, malah (mereka) menyokong DAESH yang beroperasi di semenanjung Sinai. Tindakan Qatar yang mencampuri urusan dalaman Mesir dan negara-negara lain dengan cara menimbulkan ancaman keselamatan melalui benih hasutan yang disebarkan oleh mereka kepada masyarakat Arab”.

Penutupan Sempadan

Arab Saudi telah menutup segala akses laluan perkapalan, udara dan darat ke Qatar. UAE, Mesir dan Bahrain pula menutup laluan perkapalan dan udara dengan Qatar.

Pakatan Ketenteraan Arab turut menggantung Qatar dari menyertai operasi menstabilkan semula Yaman. Keputusan berkenaan diambil ekoran sikap Qatar yang terus menyokong kumpulan militan DAESH dan Al-Qaeda, yang sekaligus memberi kesan kepada usaha mengembalikan keamanan di Yaman.

Post a Comment

0 Comments