KENAPA EMIR QATAR MELAWAT MALAYSIA?


Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad Al-Thani kini berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama 2 hari. Kehadiran beliau ke Kuala Lumpur turut diiringi oleh delegasi ahli perniagaan dan menteri-menteri kabinet Qatar.

Antara rangka kerja lawatan beliau ke Malaysia ialah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia bagi mengukuhkan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang tenaga, ekonomi dan pelaburan.

Berikut merupakan gambaran kasar mengenai hubungan ekonomi dan politik diantara Qatar dan Malaysia.

Piala Dunia

Dalam persediaan menganjurkan Piala Dunia FIFA 2022, pelbagai projek berskala mega sedang dibangunkan di negara berkenaan. Antaranya ialah pembinaan rangkaian rel, lapan buah stadium baharu dan bandar baharu di Lusail.

Dalam ledakan pembinaan, Qatar memerlukan banyak bahan binaan seperti Kayu dan ini adalah peluang strategik terbaik bagi Malaysia untuk mengeksport kayu ke negara berkenaan. Sejak berlakunya krisis diplomatik dengan beberapa negara GCC yang menyaksikan pemboikotan ke atas negara berkenaan, Malaysia telah menggantikan peranan Arab Saudi sebagai pembekal besi keluli utama ke Qatar.

Dalam lawatan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Febuari yang lalu, TPM Malaysia telah menyampaikan hasrat dan harapan agar syarikat Malaysia diberi peluang untuk menyertai projek pembanggunan bagi program Piala Dunia FIFA 2022.

Sehingga hari ini, terdapat 15 syarikat Malaysia yang terlibat dalam pelbagai sektor antaranya infrakstuktur dan hospitaliti.

Perdagangan Dua Hala

Qatar dan Malaysia memeterai dana pelaburan bersama bernilai US$ 2 bilion pada tahun 2011.

Sehingga 2016, berdasarkan laporan media Malaysia, jumlah perdagangan antara kedua buah negara dianggarkan bernilai 566 juta dolar Amerika. Manakala menurut Agensi Media Qatar pula menganggarkan sehingga hari ini, jumlah perdagangan kedua-dua buah negara mencecah 1.1 Bilion Dolar Amerika.

Kebanyakkan produk yang diimport oleh Malaysia dari Qatar ialah petroleum,  petroleum, bahan kimia, produk aluminium, jentera ringan dan peralatan.

Hubungan Diplomatik

Kehadiran Emir Qatar ke Malaysia merupakan lawatan pemimpin negara ketiga dari GCC untuk tahun ini setelah Arab Saudi dan Bahrain. Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Arab Saudi dan Qatar.

Dalam isu krisis antara Qatar dan negara jirannya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, beliau mengharapkan hubungan antara Qatar dan negara jirannya dapat dipulihkan secepat mungkin. Katanya "Kami berdoa kepada ALLAH yang maha kuasa, agar semua perbezaan antara saudara Arab kita akan diselesaikan dengan baik dan perpaduan serta keharmonian negara-negara GCC dapat dipulihkan."

Qatar dan Malaysia mempunyai pandangan yang sama mengenai beberapa krisis yang membabitkan isu serantau terutama sekali mengenai konflik Palestin Israel dan krisis kemanusiaan bagi masyarakat Rohingya di Myanmar.

Kedua-dua negara menjalankan hubungan diplomatik pada tahun 1974 melalui kedutaan Qatar di Indonesia. Pada tahun 2004, Qatar membuka pejabat kedutaannya di Kuala Lumpur.


Bekas Emir Qatar, Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani pernah melakukan lawatan ke Malaysia pada tahun 2009. Dan pada 2010, Yang Dipertuan Agong Malaysia ke 13, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah  melakukan lawatan balas selama 4 hari ke Qatar atas jemputan Amir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani.

Post a Comment

0 Comments