LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE TURKI

LAWATAN KERJA YB DATO’ SRI ANIFAH AMAN,
MENTERI LUAR NEGERI KE ISTANBUL, TURKI
BERSEMPENA SESI KE-17 MAJLIS MENTERI-MENTERI
KUMPULAN LAPAN NEGARA MEMBANGUN (D-8)

19 OKTOBER 2017

YB Dato’ Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-17 Majlis Menteri-Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Istanbul, Turki pada 19 Oktober 2017. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Kementerian Luar Negeri. Mesyuarat ini akan didahului dengan Sesi Ke-39 Mesyuarat Pesuruhjaya D-8 pada 17-18 Oktober 2017 dan diikuti oleh Sidang Kemuncak Ke-9 D-8. 

Mesyuarat ini akan membincangkan serta menilai kemajuan dan pencapaian kerjasama D-8 sepanjang tempoh dua dekad yang lalu, khususnya di dalam enam (6) bidang utama yang telah dikenalpasti, iaitu Perdagangan; Kerjasama Industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS); Pertanian; Pengangkutan; Tenaga dan Mineral; dan Pelancongan.

Mesyuarat ini juga dijangka akan mempertimbangkan dan memuktamadkan dua dokumen hasil Sidang Kemuncak D-8, iaitu Deklarasi Istanbul dan Pelan Tindakan D-8 Istanbul. Deklarasi Istanbul secara langsung menzahirkan pembaharuan komitmen negara-negara anggota terhadap objektif dan hala-tuju strategik kumpulan D-8, manakala Pelan Tindakan D-8 Istanbul pula menggariskan kaedah dan inisiatif yang akan diambil bagi meningkatkan kerjasama ekonomi negara-negara anggota di dalam jangkamasa pendek, sederhana dan panjang.  

YB Menteri Luar Negeri dijadualkan untuk menyampaikan satu kenyataan negara semasa mesyuarat berkenaan pada 19 Oktober 2017. Beliau juga dijangka akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Kumpulan D-8 telah ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki sebagai satu rangka kerja untuk meningkatkan kerjasama ekonomi di antara negara-negara sependapat yang dianggotai oleh lapan negara anggota, iaitu Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Turki. 

PUTRAJAYA
18 Oktober 2017
LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE TURKI LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE TURKI Reviewed by pena minang on October 19, 2017 Rating: 5

No comments:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

Powered by Blogger.