ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 19 October 2017

TPM MELAWAT TURKI

LAWATAN KERJA YAB DATO' SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI,
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE ISTANBUL, TURKI
BERSEMPENA 
SIDANG KEMUNCAK KE-9 KUMPULAN LAPAN NEGARA MEMBANGUN (D-8)
20 OKTOBER 2017 

YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Ke-9 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang akan diadakan di Istanbul, Turki pada 20 Oktober 2017. YAB Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri serta Kementerian Luar Negeri.

Bertemakan "Expanding Opportunities through Cooperation", Sidang Kemuncak ini dianjurkan sempena ulang tahun D-8 yang ke-20 sejak penubuhannya secara rasmi pada tahun 1997. Para pemimpin akan membincangkan serta menilai kemajuan dan pencapaian kerjasama D-8 sepanjang tempoh dua dekad yang lalu, di samping melakarkan hala tuju kerjasama ekonomi untuk dekad yang akan datang khususnya di dalam enam (6) bidang utama yang telah dikenalpasti, iaitu Perdagangan; Kerjasama Industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS); Pertanian; Pengangkutan; Tenaga dan Mineral; dan Pelancongan.

Para pemimpin negara anggota D-8 juga dijangka akan menerima pakai dua (2) dokumen hasil, iaitu Deklarasi Istanbul dan Pelan Tindakan D-8 Istanbul. Deklarasi Istanbul secara langsung menzahirkan pembaharuan komitmen negara-negara anggota terhadap objektif dan hala-tuju strategik kumpulan D-8, manakala Pelan Tindakan D-8 Istanbul menggariskan kaedah dan inisiatif yang akan diambil bagi meningkatkan kerjasama ekonomi negara-negara anggota di dalam jangkamasa pendek, sederhana dan panjang.  

YAB Timbalan Perdana Menteri dijadualkan untuk menyampaikan kenyataan negara semasa Sidang Kemuncak pada 20 Oktober 2017.

Semasa persidangan tersebut juga, YAB Timbalan Perdana Menteri akan memperkenalkan YBhg. Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari yang akan mengambil alih jawatan Setiausaha Agung D-8 bermula 1 Januari 2017.  Beliau akan menggantikan TYT Dr. Seyed Ali Mohammad Mousavi yang telah memegang jawatan tersebut selama empat tahun.  YBhg. Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir, Brunei dan Qatar. 

Sidang Kemuncak ini akan didahului dengan Sesi Ke-17 Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 pada 19 Oktober 2017 dan Sesi Ke-39 Mesyuarat Pesuruhjaya D-8  pada 17-18 Oktober 2017. 

YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau di sela-sela Sidang Kemuncak tersebut bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Kumpulan D-8 telah ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki sebagai satu rangka kerja untuk meningkatkan kerjasama ekonomi di antara negara-negara sependapat yang dianggotai oleh lapan negara anggota, iaitu Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Turki. 

PUTRAJAYA
18 Oktober 2017

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute