ISU PENEMPATAN TENTERA MALAYSIA DI ARAB SAUDI - SUATU PENCERAHAN

Gambar hiasan

Keterangan : Gambar ini adalah gambar tentera Malaysia yang menyertai eksais pertahanan terbesar di dunia Islam "North Thunder" dari Februari - Mac 2016 di Bandar Tentera Raja Khalid di Timur Laut Arab Saudi.

Oleh : Anasz*


1. Malaysia tidak terlibat dalam sebarang operasi bersenjata di Yaman.

2. Tindakan kerajaan Malaysia terdahulu meletakkan tentera Malaysia di Arab Saudi adalah sebagai manifestasi tanggungjawab kerajaan Islam Malaysia yang tidak mahu ketinggalan dalam mempertahankan keselamatan dua tanah suci Makkah dan Madinah jika kedua kawasan ini di serang oleh musuh (Pakistan, Bahrain, UAE, Mesir dan beberapa negara Arab lain sudah lama menyatakan sokongan ini). Dan kenyataan ini diulang berkali-kali oleh Menteri Pertahanan Malaysia pada ketika itu kepada media.

3. Antara tugas utama ATM di Arab Saudi adalah untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Yaman. Dalam masa yang sama, ATM turut menjalankan operasi evakuasi rakyat ASEAN di negara berkenaan melalui beberapa lapangan terbang yang berada dalam kawalan tentera kerajaan Sah Yaman yang disokong oleh pakatan negara-negara Islam Arab. Untuk rekod antara warga ASEAN yang diselamatkan oleh ATM dalam operasi berkenaan adalah rakyat Indonesia.



4. Selain itu, antara misi lain yang dijalankan oleh ATM di Arab Saudi ialah bantuan kemanusiaan di Somalia. Pada 17 Mac 2017, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien menyatakan bahawa ATM akan mengatur gerak pasukan seramai tiga pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat daripada Kor Kesihatan Diraja selain pasukan sokongan daripada kumpulan infantri dengan kekuatan satu seksyen (satu pegawai dan 10 anggota) untuk memberi perlindungan keselamatan kepada pasukan Kor Kesihatan.

5. Kesemua anggota ini diatur gerak ke Somalia bagi tujuan operasi kemanusiaan di Somalia menggunakan sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang turut membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan.

6. Kenyataan Persatuan Bekas Tentera Pencen "Patriot" yang mempertikaikan tindakan kerajaan terdahulu menempatkan tentera Malaysia di Arab Saudi, dan mengklasifikasikan ianya sebagai satu "serangan" ke atas Yaman adalah satu kenyataan yang bodoh, tidak melakukan kajian secara terperinci dan uneducated.

7. Untuk pengetahuan pembaca yang budiman, operasi ketenteraan negara-negara Sunnah Arab ke atas Yaman bukanlah peperangan diantara Arab Saudi, UAE, Sudan, Bahrain, Mesir, Maghribi, Kuwait dll dengan Yaman, sebaliknya ianya adalah operasi ketenteraan yang berlansung di Yaman dalam usaha mengembalikan Yaman kepada kerajaan sah Yaman.

8. Tidakkah mereka ini mengetahui bahawa yang meminta bantuan negara-negara Arab untuk memerangi Syiah Houthi yang didokong oleh Iran ini adalah datangnya dari kerajaan Sah Yaman pimpinan Abdur Rabbo Mansour Al-Hadi. Tidakkah mereka tahu mana satu kerajaan dan mana satu pemberontak? Adakah apabila negara GCC (kecuali Oman dan Qatar) dan negara-negara liga Arab yang lain membantu kerajaan sah Yaman menawan semula wilayah yang dikuasai puak pemberontak dikira sebagai menyerang negara Yaman atau berperang dengan Yaman?

9. Ianya tidak ubah seperti apa yang berlaku di Malaysia ketika era konfrantasi Malaysia-Indonesia dan cabaran komunis dimana kerajaan Persekutuan Tanah Melayu / Malaysia meminta bantuan negara komenwel mempertahankan kedaulatan negaranya yang diancam oleh musuh. Adakah kita mengatakan bahawa negara-negara Komenwel seperti Australia, Britain, Fiji, dan Australia berperang dengan Malaysia / Tanah Melayu? Tentu sekali tidak. Sebaliknya kita menyatakan bahawa tentera negara komenwel ini berperang dengan anasir-anasir musuh yang cuba mengganggu gugat kerajaan sah Tanah Melayu / Malaysia. Jadi, apa yang dilakukan oleh Pakatan negara Arab Sunnah di Yaman adalah persis bantuan yang diberikan oleh tentera Komanwel ke atas Tanah Melayu / Malaysia.

10. Kerajaan terdahulu bukanlah kerajaan yang gemar melupakan jasa baik yang pernah dihulurkan oleh Arab Saudi ketika Malaysia berhadapan dengan krisis. Ketika krisis konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia, kerajaan Arab Saudi lah yang bergerak membantu mencari jalan perdamaian diantara kedua-dua negara nusantara ini. Malah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (PM Pertama Malaysia), yang merupakan rakan baik kepada Al-Marhum Raja Faisal bin Abdul Aziz Al-Saud, telah dilantik menjadi Setiausaha Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) yang pertama. Satu penghormatan sebuah negara baharu yang kecil seperti Malaysia.

11. Dan ketika rakyat Malaysia terkandas di Mesir (Ketika fenomena Arab Spring pada 2011), Arab Saudi telah memberikan kebenaran agar ruang udaranya digunakan oleh Tentera Malaysia dalam 'Ops Piramid' selain membenarkan rakyat Malaysia memasuki negara berkenaan tanpa Visa selain menjadikan Jeddah sebagai pusat penempatan sementara pelajar dan rakyat Malaysia yang terlibat dalam Ops Piramid berkenaan. Malah melalui hubungan rapat pemimpin terdahulu dengan pemerintah Saudi dapat dilihat apabila seorang putera raja Arab Saudi, Putera Mahkota Arab Saudi Putera Turki Abdullah al-Saud telah berkenan membekalkan dua pesawat Boeing 747 untuk membawa rakyat Malaysia, yang dipindahkan dari Mesir, dari negara itu untuk pulang ke tanah air, dimana segala operasi penerbangan diberikan secara percuma.



12. Perlu diketahui bahawa, operasi ketenteraan di Yaman adalah selaras dengan resolusi majlis keselamatan PBB, 2216, yang menyatakan sokongan dan bantuan kepada kerajaan sah Yaman untuk mengembalikan legitimasi kerajaan sah Yaman ke atas negara berkenaan. (Rujuk : https://www.un.org)

13. Akhir kalam, Yang Terbodoh itu rakyat Malaysia. Yang Terbanggang itu pun rakyat Malaysia. Dan ALLAH mengurniakan pemimpin sesuai dengan kualiti kebodohan rakyatnya. Bak kata Perdana Menteri Malaysia ke 7 Tun Dr. Mahathir, banyak rakyat Malaysia Uneducated.

*Penulis merupakan penyelidik bebas dan graduan sarjana dalam bidang Strategi dan Analisis Keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments