Terkini

AZIZ SATTAR MENULIS : HURU-HARA DI MALAYA & SINGAPURA


Oleh : Allahyarham Datuk Aziz Sattar*

Sebelum tentera Jepun menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941 dan Singapura, saya sudah masuk darjah lima. Belim sempat saya masuk darjah enam, Jepun sudah mula menyerang Malaya dan Singapura, dan keadaan menjadi kelam kabut.

Pesawat tentera Jepun mengugurkan bom tanpa belas kasihan dan banyak nyawa orang yang tidak berdosa menjadi korban. Rumah dan harta benda musnah, hidup sentiasa dalam ketakutan, mayat bergelimpangan di sana sini dan di bawah runtuhan.

Hingga sekarang saya masih ingat akan peristiwa saya sekeluarga berlindung di bawah katil besi di rumah sewa ayah saya. Bunyi tembakan meriam bertalu-talu. Dalam waktu yang sama, rumah sewa ayah saya juga terkena bom. Tetapi mujur bom itu terkena dapur belakang.

Namun demikian, rumah kami runtuh juga dan serpihan batu dan kayu penuh di atas katil besi tempat saya dan keluarga berlindung. Syukur kerana saya sekeluarga tiada yang cedera. Untuk keluar dari bawah katil besi, kami mengambil masa yang lama. Ramai juga jiran yang datang membantu.

Apabila British menyerah kalah kepada tentera Jepun pada tahun 1942, ramai orang British cuba lari untuk menyelamatkan diri. ada juga yang selamat dan ada juga yang tertangkap dan dijadikan tawanan perang. Dalam suasana gawat itu, harta benda sudah tidak diambil peduli. Semuanya ditinggalkan begitu sahaja.

Dalam kesempatan itu, ramai orang yang pergi menggeledah rumah-rumah orang British yang ditinggalkan. Apa-apa yang masih ada di dalam rumah itu diambil. Saya tidak ketinggalan mengambil apa-apa sahaja yang ditemukan. Saya dapati, banyak barang berharga yang tersembunyi di bawah kolong rumah seperti pinggan mangkuk yang berharga, barang hiasan dan senjata api.

Kehadiran tentera Jepun pada mulanya amat dialu-alukan dan disambut dengan baik oleh segenap lapisan masyarakat Singapura, kerana mereka menjanjikan perubahan. Tetapi janji tinggal janji. Hari demi hari kehidupan penduduk bertambah terhimpit. Makanan mula dicatu. Sudahlah begitu, untuk mendapatkan makanannya penduduk kena beratur dari malam hingga ke pagi.

Mengharungi hidup yang begitu azab, saya terpaksa berhenti sekolah dan cuba mencari kerja bagi membantu keluarga. Kerja pertama yang saya lakukan ialah menyabit rumput di kawasan kem tentera Jepun dan tempat-tempat lapang. Gaji sehari cuma seringgit wang Jepun. Gaji sebanyak itu hanya dapat membeli sekati dua ubi kayu. Untuk mendapatkan beras hancur pun sukar didapati. Dalam mengharungi hidup yang begitu sempit, boleh dikatakan di mana-mana ada tanah kosong, di situ ada ubi kayu. Ubi kayu juga sudah menjadi makanan penting pada zaman itu.

Selepas empat bulan tentera Jepun memerintah, saya dapat bekerja di sebuah gudang, di Cecil Street, Singapura. Gudang itu menyimpan barang-barang berharga kepunyaan peniaga British. Antara barang yang tersimpan di situ ialah pakaian yang mahal, rokok tin pelbagai jenama, alat solek, barang hiasan, beras, tepung, gula dan keperluan lain yang disembunyikan oleh tentera Jepun.

Kerana kesempitan hidup, rasa marah saya sukar dikawal apabila melihat begitu banyak barang-barang mewah tersimpan untuk penjajah. Saya dans seorang pekerja lain berpakat dengan Benggali jaga untuk mencuri barang-barang tersebut.

Dengan persetujuan bersama, maka barang pertama yang saya curi ialah beras dan gula. Selepas itu barulah saya mencuri barang-barang yang berharga. Tidak beberapa lama kemudian, barang-barang yang berharga dipindahkan ke tempat lain yang tidak diketahui.

Begitupun, sekurang-kurangnya saya telah dapat melunasi dendam saya kepada tentera Jepun di samping membantu keluarga saya mendapatkan makanan dan keperluan asas yang lain.

*Dipetik dari Buku 'Meredah Gelombang Seni : Sebuah Memoir' karya Datuk Aziz Sattar

No comments

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.